Apakah amalan wanita yang haid di bulan Ramadan?
Haid adalah fitrah yang telah ditetapkan oleh Allah pada semua wanita. Definisi haid dalam bahasa Arab bermakna as-sailan ertinya mengalir. Dan menurut syarak ialah darah yang keluar dari dasar rahim seorang wanita pada waktu-waktu tersebut dalam keadaan sihat dan bukan kerana disebabkan oleh suatu penyakit atau sebab-sebab lainnya.
Seperti yang kita ketahui ketika kedatangan haid terdapat beberapa ibadah yang tidak dapat dilakukan oleh kaum wanita kerana dilarang oleh syarak. Namun, Islam tidak menafikan peluang dan hak mereka untuk merebut dan meraih ganjaran yang besar di dalam bulan Ramadhan al-Mubarak ini. Bahkan terdapat banyak amalan-amalan yang boleh dilakukan oleh mereka sekalipun dalam keadaan haid.
1. PERBANYAKKAN DOA DAN ZIKIR.
Firman Allah SWT:
يَٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱذْكُرُوا۟ ٱللَّهَ ذِكْرًا كَثِيرًا وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: “Wahai orang yang beriman, berzikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya. Dan bertasbihlah kepada-Nya di waktu pagi dan petang.”
(Surah al-Ahzab: 41-42)
Bagi perempuan yang haid, mereka digalakkan untuk membaca doa-doa dan juga zikir-zikir semasa berada di dalam bulan Ramadhan. Sepertimana sabdaan Nabi SAW dari saidatina Aisyah r.anha:
يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ إِنْ وَافَقْتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ مَا أَدْعُو قَالَ تَقُولِينَ اللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنِّي
Maksudnya: Wahai Rasulullah, apakah pandangan kamu sekiranya aku bertemu dengan lailatul qadar apakah yang patut aku berdoa ? Maka kata Nabi S.A.W: ‘’Ucapkanlah: Ya Allah, sesungguhnya Kau maha Pengampun, dan Kau sukakan pengampunan, maka ampunkanlah aku’’. (Riwayat Ibnu Majah,3850)
2. PERBANYAKKAN SELAWAT KE ATAS NABI MUHAMMAD SAW.
Daripada Abdullah bin ‘Amr r.a., bahawa Nabi SAW bersabda:
فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلَاةً صَلَّى الله عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya barangsiapa yang berselawat ke atasku dengan satu selawat, maka Allah SWT akan berselawat ke atasnya dengan sepuluh selawat.” (Riwayat Muslim,384)
3. MENDENGAR ALUNAN AL-QURAN.
Ketika sedang didatangi haid, para wanita masih boleh mendengarkan alunan ayat-ayat suci al-Quran. Disebutkan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Saidatina Aisyah r.a.:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَتَّكِئُ فِي حَجْرِي وَأَنَا حَائِضٌ، ثُمَّ يَقْرَأُ القُرْآنَ
Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW meletakkan kepalanya di pangkuanku saat aku sedang haid, dan ia membaca al-Quran.” (Riwayat Bukhari, 297)
4. MEMBERI MAKAN KEPADA ORANG YANG BERPUASA.
Amalan mudah bagi seorang wanita adalah menyediakan juadah berbuka buat orang yang berpuasa. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani r.a.:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” (Riwayat Tirmizi,807)
Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam menukilkan dalam kitab beliau menjelaskan fadhilat memberi makan kepada orang yang berpuasa:
‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’. (Rujuk Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam)
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah SWT:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.
Surah Al-An’aam (160)
Wallahua’lam