KETOKOHAN IMAM HAFS
Siapakah tokoh yang dikenali sebagai Imam Hafs? Nama sebenar beliau ialah Hafs bin Sulayman bin al-Mughirah al-Asadiy al-Kufiy al-Bazzar. Beliau dilahirkan pada tahun 90 hijrah iaitu pada zaman tabi’ dan tabi’-tabi’in serta merupakan anak tiri kepada Imam ‘Asim. Imam Hafs sering bertalaqqi dan memperdengarkan bacaan al-Quran di hadapan Imam ‘Asim secara ‘aradh dan talqin.
Imam al-Daniy berkata: “Beliaulah yang mengajarkan bacaan Imam ‘Asim kepada umat Islam. Ketika mana beliau berada di Baghdad, beliau mengajarkannya dan ketika berada di Makkah, beliau juga mengajarkannya. Ibn al-Munadi turut berkata: “Hafs membaca al-Quran di hadapan ‘Asim berkali-kali khatam. Ulama terdahulu menganggap hafazan beliau mengatasi Abu Bakr ‘Ayyash bin Shu’bah”.
Di dalam disiplin ilmu sanad, Imam Hafs telah bertalaqqi al-Quran daripada Imam ‘Asim bin Bahdalah Abi al-Najjud al-Kufiy, daripada Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulamiy, daripada ‘Ali bin Abi Talib, daripada Rasulullah S.A.W, daripada Jibril A.S, daripada Allah Azza Wajalla.
Apakah pula yang dimaksudkan dengan talaqqi musyafahah sepertimana yang dilakukan oleh Imam Asim? Talaqqi ialah pelajar bersemuka atau berhadapan dengan guru. Musyafahah pula ialah dari mulut ke mulut iaitu pelajar belajar al-Quran dengan memerhati gerak bibir guru untuk mendapatkan sebutan makhraj yang betul.
Terdapat 3 kaedah Talaqqi Musyafahah yang diamalkan dalam pembacaan al-Quran. Antaranya ialah:
1- Kaedah Sama’: Guru hanya membaca, manakala murid hanya mendengar. Kaedah ini diamalkan pada zaman ulama’ salaf. (Kaedah ini tidak sesuai digunapakai pada zaman sekarang).
2- Kaedah ‘Aradh: Anak murid membaca dan memperdengarkan bacaan, manakala guru hanya menyemak bacaan.
3- Kaedah Talqin: Guru akan membaca dan anak murid akan mendengar. Seterusnya, anak murid pula akan membaca dan guru akan menyemak bacaan. Kaedah ini bermula pada zaman Rasulullah SAW dan merupakan kaedah paling tinggi berbanding kaedah yang lain.
Di dalam disiplin ilmu qiraat pula, Imam Hafs bin Sulayman merupakan perawi yang kedua bagi Imam ‘Asim, di samping Imam Abu Bakr Shu’bah bin ‘Ayyash yang merupakan perawi pertama.Selain itu, bacaan al-Quran menurut Riwayat Hafs daripada Imam ‘Asim merupakan bacaan al-Quran yang diamalkan oleh majoriti umat Islam di dunia. Penerimaan umat Islam terhadap riwayat ini telah bermula sejak pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah. Pada era pemerintahan Khilafah Uthmaniyyah di Turki, pemerintah telah mencadangkan agar mushaf al-Quran dicetak dan diedarkan kepada semua wilayah jajahan berdasarkan kepada bacaan yang paling hampir dari sudut lafaz dan rasm. Disebabkan kaedah bacaan yang mudah dan kurangnya khilaf wajah, maka ditetapkan riwayah Hafs sebagai bacaan rasmi umat Islam di wilayah pemerintahan Uthmaniyyah. Manakala negara lain yang bukan wilayah jajahan, terus mengamalkan bacaan tradisi.
Menurut Shaykh ‘Amr Khalid, terdapat beberapa keistimewaan riwayah Hafs yang menjadi popular dalam kalangan umat Islam:
1. Fasahah pada sebutan kalimah dan ‘ibarah Bahasa Arab.
2. Merangkumi kaedah bahasa Arab yang utama.
3. Lafaz bacaannya menyamai dengan kesemua loghat yang ada.
4. Hukum tajwid dan qiraat yang mudah dipelajari oleh semua lapisan masyarakat.
Tahukah anda bahawa bacaan al-Quran umat Islam di Malaysia ialah melalui:
رِوَايَةُ حَفْصٍ عَنْ عَاصِمٍ مِن طَرِيقِ الشَّاطِبِيَّةِ
Riwayat Hafs daripada ‘Asim menerusi Tariq al-Shatibiyyah’.
Secara tuntasnya, riwayah Hafs daripada Imam ‘Asim yang menjadi disiplin utama majoriti umat Islam di Malaysia adalah berdasarkan kepada segala apa yang telah disusun oleh seorang tokoh al-Quran beberapa kurun selepas kewafatan Imam Hafs iaitu Imam al-Qasim bin Firruh al-Shatibiy, yang lebih dikenali sebagai Imam al-Shatibiy atau Tariq al-Shatibiy. Semoga dengan kita lebih mengenali ketokohan Imam hafs, ia akan menambahkan lagi kefahaman dan kecintaan kita terhadap ilmu al-Quran dan Qiraat.