ADUH!PENINGLAH JAMAK QASAR
Ramai dalam kalangan umat Islam pada hari ini khususnya umat Islam di Malaysia apabila tiba sahaja musim cuti, mereka akan pergi bercuti bersama ahli keluarga atau pulang ke kampung halaman untuk menziarahi ibu bapa atau saudara mara. Ada juga yang perlu melaksanakan tugas kerja yang jauh dari tempat tinggal. Maka dalam tempoh permusafiran mereka ini, sering menjadi kekeliruan buat sebahagian besar umat Islam di negara ini berkenaan rukhsah solat iaitu solat jamak dan qasar. Ada yang keliru berapakah had jarak minima yang membolehkan jamak dan qasar. Ada juga yang keliru berapa lama tempoh sah yang membolehkan seseorang itu jamak dan qasar solat. Akhirnya, terhasil perdebatan antara orang awam yang kurang memahami perbahasan isu ini sehingga menyebabkan timbul keraguan dalam hati mereka apabila ingin melaksanakan rukhsah ini.
Pertama sekali disana ada beberapa syarat seperti yang disebut oleh para ulama’ sebagai syarat sah solat jamak dan qasar. Antara syaratnya ialah perjalanan perlu sampai had 81 kilometer atau lebih. Kedua, perjalanan tersebut mestilah jelas hala tujunya dan yang terakhir perjalanan tersebut bukan bertujuan maksiat kepada Allah SWT. Maka apabila kesemua syarat ini bertepatan dengan situasi semasa individu tersebut, maka adalah layak baginya mengambil rukhsah solat iaitu solat jamak dan qasar. Meskipun begitu, tidak dinafikan disana terdapat perselisihan pandangan dalam kalangan fuqaha berkaitan jarak dan jangka masa yang membolehkan seseorang itu melaksanakan solat jamak dan qasar. Jika melihat daripada sudut jarak, secara umumnya tiada sebarang nas atau dalil daripada Al-Quran dan sunnah yang menceritakan secara spesifik jarak yang membolehkan qasar solat. Secara umum juga, ulama mazhab syafie, maliki dan hanbali sepakat menetapkan jarak untuk qasar solat ialah dua marhalah manakala bagi mazhab hanafi mereka menetapkan tiga marhalah. Namun perlu diketahui bahawa apabila ulama menyatakan dua atau tiga marhala, ianya lebih kepada jarak anggaran bukan jarak yang tepat. Sebagai contoh, ulama berbeza pandangan dalam menetapkan berapakah jumlah kilometer bagi dua marhalah. Ada ulama mengatakan 81 km, 84 km dan 89 km. Maka kembali ke syarat umum iaitu sekurangnya 80 km baru layak solat qasar.
Jika daripada sudut tempoh masa, berlaku khilaf dalam kalangan ulama mazhab berkenaan berapa lama tempoh seseorang itu boleh melaksanakan solat jamak qasar. Menurut mazhab as-Syafie, jika seseorang itu berniat untuk tinggal disuatu tempat 3 hari dan keatas tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, maka dia sudah dikira bermukim dan tidak boleh melaksanakan jamak dan qasar. Ada sebahagian kita yang salah faham dengan mengatakan, sekiranya kita memang sudah maklum tinggal di tempat tersebut lebih daripada 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, maka untuk tempoh tiga hari masih boleh jamak dan qasar. Maka, ini adalah salah faham. Dalam mazhab as-syafie, sebagai contoh kita tahu akan duduk disana selama lima hari, maka apabila sampai sahaja ke destinasi individu tersebut tidak boleh jamak dan qasar. Sebahagian ulama’ semisal Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyyim berpendapat, seseorang itu boleh jamak dan qasar solat selama mana dia berada di tempat yang dia tuju selagi mana dia tidak berniat untuk menetap disana. Namun, sekiranya berasa khawatir, pendapat pertama adalah lebih ahwat (berhati-hati).
Sebagai kesimpulan, solat jamak dan qasar ini adalah sedekah daripada Allah SWT kepada mereka yang bermusafir. Maka, adalah lebih afdal kita mengambil rukhsah ini berbanding meninggalkannya ketika musafir.