SERUAN LELAKI MUKMIN
“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” (Surah al-Jumuah ayat 9)
Surah al-Jumuah ayat 9 ini menunjukkan dalil pensyariatakan solat jumaat. sejarah telah mencatatkan bahwa Nabi Muhammad saw juga telah melakukan solat Jumaat untuk pertama kali dalam sejarah Islam di sebuah perkampungan Bani Salim bin Auf, kawasan perkampungan dekat dengan kota Madinah. Inilah perlaksanaan solat Jumaat yg pertama kali dalam sejarah Islam, dilakukan Rasulullah di dalam perjalanan hijrah dari Quba menuju Madinah. Sebelum itu, Nabi sallallahu alaihi wasallam singgah di perkampungan Quba, dan mendirikan sebuah masjid di sana sehingga masjid tersebut dinamakan dengan Masjid Quba. Setelah 4 hari berada di Quba, dan setelah selesai pembinaan masjid Quba tersebut, maka Rasulullah melanjutkan perjalanan hijrah menuju ke Madinah. Nabi sallallahu alaihi wasallam berangkat dari Quba di pagi hari Jumaat dan ketika telah masuk waktu solat Jumaat, turunlah perintah solat Jumaat kepada baginda. Oleh sebab itu Nabi sallallahu alaihi wasallam segera melaksanakan solat Jumaat yang pertama kali di kampung tersebut walaupun baginda ketika itu dalam keadaan musafir yakni dalam perjalanan hijrah menuju ke Madinah.
Para Ulama telah menggariskan beberapa golongan yang wajib untuk menunaikan solat Jumaat atau lebih mudah difahami syarat wajib solat jumaat. Mungkin ramai yang telah pun maklum berkenaannya namun ada juga yang masih belum. Terdapat 7 syarat wajib solat jumaat dimana yang pertama ialah Islam. Solat jumaat atau mana-mana ibadah khusus umat Islam adalah khusus bagi umat Islam sahaja yang mengaku beriman kepada Allah SWT. Seterusnya, golongan yang diwajibkan menunaikan solat jumaat ialah mereka yang telah baligh. Bagi kanak-kanak lelaki yang belum baligh tidak wajib solat jumaat keatasnya, namun meskipun begitu anak-anak seharusnya diajar daripada kecil untuk menunaikan solat jumaat. Syarat wajib yang seterusnya ialah mestilah berakal dimana tidak diwajibkan solat jumaat dan sebahagian besar ibadah umat Islam bagi mereka yang hilang akal atau gila. Selain itu, merdeka dimana tidak wajib bagi solat jumaat bagi hamba sahaya serta diwajibkan solat jumaat keatas lelaki. Timbul persoalan, bolehkah wanita solat jumaat? Jawapannya, boleh bagi perempuan solat jumaat sekiranya terdapat ruang untuk wanita bersolat jumaat di masjid. Solat jumaat juga wajib keatas mereka yang sihat dan mestilah pemastautin tetap di kawasan tersebut. Jika musafir, tidak wajib solat jumaat sekiranya memulakan perjalanan sebelum subuh. Mereka yang bermukim melebihi tiga hari tidak masuk hari sampai dan hari bertolak juga wajib menunaikan solat jumaat.
Ulama’ juga telah mengeluarkan beberapa syarat sah solat jumaat dimana diantara syarat sah solat jumaat ialah hendaklah didirikan dalam bangunan, bukan dikawasan lapang seperti padang dan sebagainya sebaiknya masjid. Seterusnya, minima jumlah jemaah mestilah tidak kurang daripada 40 orang yang pemastautin termasuk imam serta syarat sah lain solat jumaat ialah hendaklah solat tersebut dilaksanakan pada waktu zohor. Akhir sekali, syarat sah solat jumaat ialah tidak boleh adakan dua solat jumaat di tempat yang sama. Mudah-mudahan dengan perkongsian ini dapat membantu memberikan sedikit kefahaman kepada umat Islam hari ini berkenaan solat jumaat.