NILAI AIR MATA KERANA ALLAH
Tahukah anda bahawa di antara 7 golongan yang dilindungi oleh Allah SWT di hari akhirat kelak, yang ketika itu tiada perlindungan kecuali perlindungan dan naungan milik Allah SWT, adalah seseorang yang ketika dia mengingati Allah SWT lalu matanya menitiskan air mata.
Berdasarkan hadis dari Abu Hurairah R.A, dari Nabi Muhammad SAW, Baginda bersabda:
عَنْ أَبِيْ هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللهُ عَنْهُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : سَبْعَةٌ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لَا ظِلَّ إِلَّا ظِلُّهُ: اَلْإِمَامُ الْعَادِلُ، وَشَابٌّ نَشَأَ بِعِبَادَةِ اللهِ ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ فِي الْـمَسَاجِدِ ، وَرَجُلَانِ تَحَابَّا فِي اللهِ اِجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ ، فَقَالَ : إِنِّيْ أَخَافُ اللهَ ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَ بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لَا تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ اللهَ خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ
Maksudnya: “Ada tujuh golongan yang dilindungi Allah dalam lindungan-Nya pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan-Nya: Pemimpin yang adil, pemuda yang tumbuh dalam ketaatan kepada Allah Ta’ala, orang yang hatinya selalu terkait dengan masjid, dua orang yang saling mencintai di jalan Allah, keduanya bertemu kerana-Nya dan berpisah kerana-Nya, orang yang bersendirian berzikir kepada Allah lalu menitiskan air matanya, seorang lelaki yang diajak berzina oleh wanita yang mempunyai kedudukan dan cantik kemudian dia berkata, ‘Saya takut kepada Allah Ta’ala’, dan orang yang bersedekah kemudian menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang telah disedekahkan oleh tangan kanannya.” (HR. Al-Bukhari).
Ketahuilah betapa besarnya nilai air mata yang keluar iaitu yang lahir dari hatinya yang mengingati Allah SWT. Ini sehingga ia tergolong bersama mereka yang memperolehi satu-satunya perlindungan di sana iaitu perlindungan Allah SWT. Harganya bukanlah duit ataupun emas, tetapi hati yang benar-benar tulus mengingati serta rasa takut kepada Allah, dan ia diterjemahkan melalui air mata yang mengalir. Begitulah yang namanya naungan Allah itu tidak dapat dibeli di mana-mana, namun sedarilah bahawa ia telah ada pada mata kita kini.
Namun demikian, berapa ramai orang yang menangis hari ini hanya kerana perkara yang remeh temeh, seperti menangis kerana pasukan yang disokong kalah dalam perlawanan, menangis ditinggalkan kekasih hati atau menangis kerana kematian artis kesayangan. Sesungguhnya kita makhluk yang dimuliakan Allah SWT dengan iman, perlulah yakin yang seharusnya hati kita senantiasa berhubung dengan Allah SWT. Maka usahlah kita biarkan hati ini berhubung dengan sesuatu yang tidak ada nilainya di sisi Allah SWT.
Berbeza dengan orang yang hatinya senantiasa digantung dengan perkara yang tidak ada nilai di sisi Allah SWT. maka tatkala hilang ia maka mudah air matanya mengalir kerananya. Dan susah ia menangisi sesuatu yang bernilai di sisi Allah SWT. Ini walaupun dirinya ingin berpura-pura menangis. Sebaliknya hati yang terdidik dengan sesuatu yang ada nilai di sisi Allah SWT, maka mudah air matanya mengalir tatkala mengingati Allah SWT.
Oleh itu, berusahalah untuk banyak mengingati Allah SWT kerana hanya dengan itu akan menghubungkan hati kita kepada Allah. Seumpama sistem internet itu ada suis penyambungnya, maka mengingati Allah SWT itulah suis kepada berhubungnya hati kita dengan Allah SWT. Namun di sana terdapat halangan yang meluputkan hati ini daripada berhubung dengan Allah SWT. Itulah namanya cinta kepada dunia. Halangan ini dapat ditangani apabila kita benar-benar berusaha menghadirkan hati tatkala kita beribadah kepada Allah SWT.
Orang yang membaca Al-Quran yang dia bukan sekadar membaca, tetapi mencerminkan dirinya dengan Al-Quran dengan menghayati setiap ayat-ayat Allah sehingga menyedarkan akan bagaimana kedudukan Allah SWT di hatinya. Tanyakan pada hati tatkala bersendirian, walaupun menjadi kewajipan kita mengucap bahawa kita redha kepada Allah, namun sudahkah Allah SWT redha kepada diri kita? Itu pertanyaan yang perlu ditanya kepada diri sendin.
Natijahnya, ketahuilah bahawa seseorang yang berzikir mengingati Allah secara sendirian itu lebih membawa khusyuk kepada Allah SWT. Cubalah terutama di malam hari, ingat segala kesilapan kita kepada Allah, dan luahkanlah apa sahaja yang terbuku di hati itu kepada Allah SWT. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Ar-Ra’d, ayat 28:
ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَتَطۡمَئِنُّ قُلُوبُهُم بِذِكۡرِ ٱللَّهِۗ أَلَا بِذِكۡرِ ٱللَّهِ تَطۡمَئِنُّ ٱلۡقُلُوبُ ٢٨
Maksudnya: Iaitu orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia.