DUA-DUA MESTI ADA
Pernahkah kita tertanya-tanya mengapa di dalam al-Quran, terdapatnya ayat- ayat yang berkait antara satu sama lain ataupun ayat-ayat makrunah? Contohnya, apabila adanya ayat mengenai ‘solat’, maka mesti selepas itu adanya ayat mengenai ‘zakat’. Kita boleh lihat di dalam Surah al-Baqarah, ayat 110:
وَأَقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَءَاتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ
Maksudnya: “Dirikanlah solat dan tunaikanlah zakat.”
Ini menunjukkan jika adanya ‘solat’, mesti adanya ‘zakat’.
Begitu juga di dalam surah al-Anfal, ayt 20.
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَرَسُولَهُۥ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kepada Allah dan Rasulnya.”
Begitu juga bahawa adanya ‘taatlah kepada Allah, maka mesti adanya ‘taatlah kepada rasul’.
Ataupun apabila disebut tentang ‘menyembah Allah SWT’, maka selepas itu akan berkaitan ibu ayah, seperti ayat surah an-Nisa’, ayat 36 ini.
وَٱعۡبُدُواْ ٱللَّهَ وَلَا تُشۡرِكُواْ بِهِۦ شَيۡئًاۖ وَبِٱلۡوَٰلِدَيۡنِ إِحۡسَٰنٗا
Maksudnya: “Dan sembahlah Allah dan janganlah menyekutukan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibu bapa.”
Kata para ulama’, ayat sebegini biasanya saling berkait. Jikalau hilang satu, maka tertolaklah yang satu lagi.
Contohnya: ‘taatlah kepada Allah’ dengan ‘taatlah kepada rasul’.
Jika kita hanya taat hanya pada Allah SWT sahaja, dan tidak menerima untuk taat kepada Rasul termasuklah tidak menerima hadis hadis dan sunnah rasul. Ianya menjadi tertolak dan perlu untuk kita menerima kedua-duanya sekali.
Begitu juga jika kita tidak percaya dengan Tuhan, tetapi hanya percaya pada Rasul sahaja. Ianya tetap tertolak dan mesti ada kedua-duanya sekali.
Selain itu, bagi orang yang solat sahaja tetapi tidak mengeluarkan zakat. Ia tetap tertolak dan tidak diterima. Begitu juga bagi orang yang tidak solat, tetapi dia membayar zakat berjuta-juta sekalipun. Ia tetap tidak diterima.
Ataupun ‘hablum minallah wa hablum minannas’ (hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia). Ada orang mengatakan dia hanya menjaga hubungan dengan Allah sahaja, tetapi hubungan dengan manusia tidak dijaga. Hanya berzikir siang malam, tetapi kenduri orang, jiran meninggal dan kawan yang sakit, langsung tidak dipedulikannya. Adakah amalannya tertolak? Ya, turut tertolak.
Buktinya pada zaman Nabi Muhammad SAW.
Disebutkan dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari di dalam kitab Adab al-Mufrad bahawa suatu ketika, ada seorang sahabat menyampaikan kepada Nabi SAW tentang seorang wanita ahli ibadah tetapi suka menyakiti tetangganya. “Wahai Rasulullah, ada seorang wanita yang rajin solat malam, gemar berpuasa pada siang hari, banyak melakukan amal kebaikan dan banyak bersedekah. Namun dia sering menyakiti tetangganya dengan lisannya.”
Mendengarkan perkara ini, Nabi SAW menjawab, “Tiada kebaikan padanya dan dia termasuk penghuni neraka.”
Dalam riwayat lain disebutkan bahawa para sahabat bertanya kepada baginda tentang penyebabnya. “Kenapa?” Tanya salah seorang sahabat. Baginda menjawab, “Sebab mulutnya selalu menyakiti orang lain. Dia suka mengganggu tetangganya dengan ucapannya. Seluruh amal ibadatnya hancur kerana dia mempunyai akhlak yang buruk. Dia menjadi ahli neraka sebab amal ibadahnya tidak mampu menjadikan dirinya untuk berakhlak baik.”
Kita selalu solat siang malam di masjid, melakukan qiamullail, melakukan puasa sunat, membaca al-Quran sehingga khatam beberapa kali. Tetapi, kita selalu menyakiti hati jiran, kita sakitkan hati rakan-rakan di pejabat, orang atas diampu, rakan sebelah disiku, orang bawah dimalu, bergaduh dan mencari pasal dengan orang, maka tertolaklah semua amalan tadi. Disebut dalam hadis tadi, tempatnya di neraka.
Begitu juga dengan hak kejiranan yang perlu kita jaga. Jikalau jiran ajak untuk pergi kenduri, maka pergilah. Jikalau tidak boleh datang, mintalah maaf. Namun masalahnya kini, sekarang ramai orang yang tidak menjaga hak jiran. Contohnya, seseorang yang membela banyak kucing sehingga bau najis kucingnya sampai ke rumah sebelah. Belum lagi kalau kucingnya masuk ke rumah jiran.
Dalam hukum fiqh, jikalau kucing jiran membuang najis dalam rumah kita, kita boleh meminta tuan kucing datang untuk mencucinya. Jikalau jiran tadi tidak mahu cuci, kita boleh meminta ganti rugi disebabkan kita perlu memakai sabun, air dan peralatan lain untuk membersihkan kembali rumah kita yang dikotorkan oleh kucing jiran.
Begitu juga dengan ibu ayah yang menjaga solat dan ibadat mereka, tetapi anak mereka dibiarkan aurat terbuka. Ia adalah salah dan tidak dibolehkan. Hubungan dengan Tuhan dia jaga, tetapi sesama manusia, anak sendiri tidak dijaga. Ia tetap tidak dibolehkan kerana kita perlu menjaga kesemuanya. Jadi, apabila kita membaca mana-mana ayat al-Quran yang bersifat makrunah, maka kita mesti mengikut kedua-dua perintah yang diberikan. Janganlah kita mengambil yang mana kita suka sahaja dan tinggalkan yang satu lagi. Ini adalah perkara yang salah dan tidak betul.
Kesimpulannya, ingatlah kata-kata Imam Al-Ghazali berkaitan hidup berjiran:
1. Dahulukan ucapan salam setiap kali berjumpa.
2. Jangan banyak bertanya tentang keadaan dia.
3. Ziarahi dia atau kaum keluarganya bila dia sakit ataupun ditimpa musibah.
4. Tunjukkan kita bersedih dan bersimpati bila mereka ditimpa musibah dan terus beri pertolongan.
5. Nyatakan perasaan gembira bila mereka mendapat kesenangan atau kurniaan Allah.
6. Ampuni segala kesalahan atau keburukkannya.
7. Jangan buat sesuatu yang tidak menyenangkan jiran.
8. Jangan menyempitkan jalan menuju ke rumahnya.
9. Jangan mengintai-ngintai apa yang dibawanya pulang.
10. Tutuplah kecacatan atau kekurangan yang terlihat dan jangan dihebohkan.