TAHUN DUKACITA NABI MUHAMMAD SAW
Abu Talib insan yang telah menjaga baginda SAW dan telah banyak melindungi baginda saat awal permulaan fasa dakwah. Walaupun begitu, sehingga akhir hayat Abu Talib tidak terbuka hati untuk memeluk agama Islam. Abu Talib telah meninggal dunia pada bulan Rejab, tahun kesepuluh kenabian, selepas enam bulan berakhirnya peristiwa pemulauan. Dikatakan bahawa kematian beliau ialah pada bulan Ramadan, iaitu tiga hari sebelum kewafatan Khadijah r.ha.
Dalam hadis yang sahih riwayat daripada al-Musayyah, katanya, “Menjelang kematian Abu Talib, Rasulullah SAW mengunjungi beliau, dan di sisi beliau adanya Abu Jahal. Rasulullah SAW berkata, “Hai, bapa saudaraku, ucapkanlah la ilaha illallah, satu kalimah yang aku akan berhujah dengannya di sisi Allah.” Abu Jahal dan Abdullah bin Abi Umayyah pula berkata,“Hai, Abu Talib, adakah kamu tidak suka dengan agama Abd al-Muttalib?” Lalu, sentiasalah mereka berdua mengulangi kata-kata itu sehingga kalimah terakhir yang diucapkan oleh Abu Talib ialah, ‘Di atas agama Abd al- Muttalib.’ Maka, Rasulullah SAW berkata, “Akan ku pohonkan keampunan untukmu selagi aku tidak dilarang berbuat demikian.”
Maka dengan itu turunlah ayat:
مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَن يَسۡتَغۡفِرُواْ لِلۡمُشۡرِكِينَ وَلَوۡ كَانُوٓاْ أُوْلِي قُرۡبَىٰ مِنۢ بَعۡدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمۡ أَنَّهُمۡ أَصۡحَٰبُ ٱلۡجَحِيمِ ١١٣
Maksudnya: Tidaklah sepatutnya bagi nabi dan orang yang beriman meminta ampun bagi orang musyrik sekalipun orang itu kaum kerabat sendiri, sesudah nyata bagi mereka bahawa orang musyrik itu adalah ahli neraka. (Al-Tawbah: 113)
إِنَّكَ لَا تَهۡدِي مَنۡ أَحۡبَبۡتَ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ يَهۡدِي مَن يَشَآءُۚ وَهُوَ أَعۡلَمُ بِٱلۡمُهۡتَدِينَ ٥٦
Maksudnya: Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan siapa yang akan mendapat petunjuk (kepada memeluk Islam). (Al-Qasas: 56)
Dalam hadis sahih Riwayat al-Abbas bin Abd al-Muttalib mengatakan bahawa beliau berkata kepada Rasulullah SAW, “Apakah engkau tidak dapat menolong bapa saudaramu sedangkan dia melindungi kamu dan marah demimu?” Jawab Rasulullah SAW, “Dia berada dalam tempat yang cetek dari neraka. Kalaulah tidak kerana aku, nescaya dia berada di lapisan terbawah dari neraka.”
Kewafatan Saidatina Khadijah r.ha:
Selepas kematian Abu Talib, kira-kira dua bulan atau tiga hari (berdasarkan dua perbezaan pendapat), Khadijah Ummul Mukminin r.ha pula meninggal dunia, iaitu pada bulan Ramadan, tahun kesepuluh kenabian. Ketika itu, usia beliau ialah 65 tahun; Rasulullah SAW ketika itu berusia 50 tahun.
Sesungguhnya Khadijah r.ha adalah salah satu nikmat terbesar yang dikurniakan Allah SWT kepada Rasulullah SAW. Khadijah r.ha tinggal bersama Rasulullah SAW selama suku abad, sentiasa bersama-sama merasai saat-saat mencemaskan, membantu Rasulullah SAW semasa keadaan yang getir dan sukar, menyebarkan risalahnya, menyertai Rasulullah SAW membayar harga jihad yang pahit, mengorbankan kepentingan diri dan harta bendanya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Dia beriman denganku ketika orang ramai mengkufuriku; dia mempercayaiku ketika orang ramai mendustakan aku; dia berkongsi denganku harta bendanya ketika orang ramai menghalangku, dan Allah nengurniakan kepadaku anaknya dan menghalangku mendapat anak daripada selainnya.”
Dalam hadis sahih daripada Abu Hurairah ra, katanya, “Jibrail datang kepada Rasulullah SAW sambil berkata, ‘Wahai Rasulullah, ini Khadijah telah datang membawa bersama-samanya bekas di dalamnya ada lauk atau makanan atau minuman. Apabila dia sampai kepadamu, sampaikan salam Tuannya kepadanya dan khabarkan berita gembira kepadanya dengan sebuah rumah di syurga daripada permata yang di dalamnya tidak ada hiruk-pikuk dan keletihan.””
Dua peristiwa yang menyedihkan (kematian Saidatina Khadijah r.ha dan Abu Talib) ini berlaku dalam selang beberapa hari sahaja. Peristiwa-peristiwa ini menyebabkan perasaan sedih dan pilu dalam jiwa Rasulullah SAW. Setelah berturut-turut musibah yang menimpa Rasulullah SAW angkara kaumnya sendiri. Mereka semakin berani terhadap Rasulullah SAW. Selepas kematian Abu Talib, mereka menyakiti Rasulullah SAW secara terbuka. Oleh sebab itu, bertambahlah dukacita Rasulullah SAW sehingga Rasulullah SAW berputus asa terhadap mereka.
Maka, Rasulullah SAW pun keluar ke Taif dengan harapan dapat menyampaikan dakwah di sana atau mendapatkan bantuan penduduk Taif untuk Rasulullah SAW menghadapi kaumnya. Malangnya, Rasulullah SAW tidak menemui orang yang mahu memberi Baginda SAW perlindungan atau membantunya. Malah, mereka menyakiti Rasulullah SAW dengan lebih hebat lagi. Mereka bertindak ke atas Rasulullah SAW dengan lebih buruk berbanding apa yang dilakukan oleh kaum Rasulullah SAW sendiri.
Oleh itu, disebabkan penderitaan bertalu-talu yang Rasulullah SAW hadapi pada tahun itu, maka Rasulullah SAW menamakan tahun tersebut sebagai Tahun Kesedihan. Gelaran tahun ini menjadi terkenal dalam sejarah Islam.