KENAPA UMAT ISLAM PERLU PERTAHANKAN MASJIDIL AQSA?
Acap kali isu kezaliman dan penindasan daripada tentera Zionis Israel Laknatullah ini terhadap orang Palestin muncul, kita pasti tidak dapat lari daripada membincangkan satu isu yang sangat dekat dalam hati Palestin dan juga umat Islam yakni Masjidil Aqsa. Apakah maksud Al-Aqsa? Al-Aqsa bermaksud “yang paling jauh” kerana jauhnya lokasi Masjid Al-Aqsa daripada Masjid Al-Haram yang terletak di kota suci Mekah sewaktu peristiwa Isra’ Mikraj.
- Kiblat Pertama Umat Islam.
Umat Muslim pada awalnya, menunaikan solat dengan menghadap kiblat ke arah Masjidil Aqsa yang terletak di Palestin. Namun, apabila mendapat wahyu dariNya, Nabi Muhammad SAW kemudian menukarkan arah kiblat dari menghadap Masjidil Aqsa ke arah menghadap Kaabah yang terletak di Masjidil Haram, Makkah al-Mukarramah.
2. Bumi Mulia Kelahiran Ramai Para Nabi & Rasul.
Nabi Daud AS yang tinggal di Palestin dan Nabi Sulaiman AS yang berkuasa atas izinNya untuk memerintah keseluruhan Palestin serta Nabi Ya’akub yang juga lahir di kota suci Palestin.
3. Tempat Berkumpulnya Manusia.
Tempat berlakunya perhimpunan manusia selepas terjadinya hari Kiamat. “Nabi SAW ditanya oleh Maimunah mengenai Baitul Maqdis, Baginda bersabda: Bumi tempat berkumpul (mahsyar) dan penyebaran”, (Hadis Riwayat Ahmad)
4. Tanah Yang Diberkati.
Kedudukan Palestin yang terletak di Bumi Syam juga akan sentiasa diberkati dengan para malaikat yang membentangkan sayapnya. “Beruntunglah bagi penduduk Syam, maka kami bertanya: Mengapa wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Kerana para malaikat membentangkan sayap-sayapnya kepada mereka”, (Riwayat at-Tirmizi).
5. Fadhilat Ziarah Masjid Al-Aqsa.
Umat Islam perlulah berusaha bersungguh-sungguh agar berpeluang untuk menjejakkan kaki dan menziarahi ke tiga buah masjid yang utama ini iaitu masjid al-Haram, masjid al-Nabawi dan juga masjid al-Aqsa. “Janganlah kamu bersusah payah mengembara melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”, Riwayat al-Bukhari (1189).
6. Baginda SAW Dibawa Ke Masjid Al-Aqsa Pada Malam Mikraj.
“Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari masjid al-Haram (Makkah) ke masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui”, Al-Isra’: 1.
Apakah maksud Israk Mikraj? Jika kita mengamati akan pengertiannya, Israk merupakan perjalanan bermula dari Makkah ke Masjid al-Aqsa (Baitul Maqdis). Manakala Mikraj pula adalah perjalanan bermula dari Masjid al-Aqsa ke Sidratul Muntaha yang terletak di langit ketujuh. “Sidratul Muntaha diangkat dinampakkan kepadaku di langit ketujuh”, Riwayat Imam Ahmad (12702).
Pernah tak kita terfikir, kenapa Rasulullah SAW tidak dijalankan sahaja daripada Masjidil Haram terus ke Sidratul Muntaha? Ini tidak lain tidak bukan adalah kerana Allah SWT ingin menunjukkan kepentingan Baitul Maqdis kepada umat Islam seluruhnya.
Akhir kata, sudah tiba masanya umat Islam bersatu hati dan bingkas bangun daripada tidur yang lena! Ayuh kita sama-sama panjatkan doa kepada Palestin demi mempertahankan Masjidil Aqsa dan saudara seislam kita di sana. Sesungguhnya doa yang dipanjatkan adalah lambang solidariti berpanjangan kita untuk keamanan rakyat Palestin.
Berdoalah kepada Allah SWT agar mengurniakan kemenangan kepada rakyat Palestin, sebagaimana Allah SWT memberikan bantuan kepada Rasulullah SAW ketika Perang Badar. Palestin pasti bebas dan menang! Allahuakbar!