MUKMINKAH AKU? SIRI 2
MAKSUD IMAN
DALAM siri artikel sebelum ini, kita telahpun mengupas dua ciri yang terdapat pada diri orang yang beriman berdasarkan surah al-Mukminun. Sebelum melangkah kepada ciri dan sifat yang ada pada diri seseorang mukmin seterusnya, perlulah kita ketahui terlebih dahulu tentang maksud iman.
Dari sudut bahasa, menurut Mu’jam al-Wasit, iman bererti al-tasdiq iaitu membenarkan[1] , manakala maksud iman dari sudut syariat menurut Imam Ibnu Katsir sepertimana mengikut pandangan majoriti ulama ialah iman tidak mungkin ada kecuali diwujudkan melalui keyakinan, ucapan, dan amal perbuatan[2].
Iman dari sudut syarak juga diertikan sebagai membenarkan, mempercayai dan mengakui segala ajaran yang dibawa oleh Nabi -صلى الله عليه وسلم- secara lisan, mengaku dengan hati dan menunaikan ajaran tersebut.[3]
CUKUPKAH SEKADAR BERKATA “SAYA BERIMAN” TANPA MENGAMALKAN ISLAM?
Dalam kitab syarah Hadis Empat Puluh ada menyatakan, orang yang beriman hendaklah menjadi orang yang beramal, kerana amalnya membuktikan keimanannya. Jika tidak, maka imannya semata-mata perasaan dan cita-cita yang menyenangkan hatinya bahawa dia seorang yang beriman dan berharap akan mendapat kurniaan Tuhan.[4]
Hal ini bertepatan sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam Al-Hassan al-Basri:
وَلَيْسَ الْإِيمَانُ بِالتَّحَلِّي وَلَا بِالتَّمَنِّي، وَلَكِنَّهُ مَا وَقَرَ فِي الْقَلْبِ وَصَدَّقَهُ الْعَمَلُ، مَنْ قَالَ حَسَنًا وَعَمِلَ غَيْرَ صَالِحٍ رَدَّ اللَّهُ عَلَى قَوْلِهِ، وَمَنْ قَالَ حَسَنًا وَعَمِلَ صَالِحًا رَفَعَهُ الْعَمَلُ
Maksudnya: “Bukanlah iman itu dengan perhiasan dan cita-cita akan tetapi iman itu apa yang teguh dalam hati dan dibenarkan oleh amal. Barangsiapa berkata (iqrar) baik pada hal ia mengerjakan amal yang tidak baik, nescaya Allah tolak perkataannya. Dan barangsiapa berkata dan berbuat baik, nescaya dia diangkat oleh amalnya.
SIFAT DAN CIRI ORANG BERIMAN
Siri sebelum ini telah menerangkan dua sifat orang beriman, iaitu khusyuk dalam solatnya dan yang menjauhkan diri daripada kata-kata yang tidak berguna. Sambungan daripada surah al-Mukminun seterusnya menyatakan bahawa orang beriman itu adalah mereka yang :
3.MENUNAIKAN ZAKAT.
Firman Allah -سبحانه وتعالى-:
﴿قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ١ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ٢ وَالَّذِينَ هُمْ عَنِ اللَّغْوِ مُعْرِضُونَ٣ وَالَّذِينَ هُمْ لِلزَّكَاةِ فَاعِلُونَ٤﴾ [المؤمنون: 1-4]
Maksudnya : «Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman(1) Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya;(2) Dan mereka yang menjauhkan diri dari perbuatan dan perkataan yang sia-sia;(3) Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu);(4)»
Sifat mukmin sejati adalah mereka yang menunaikan kewajipan berzakat, iaitu membelanjakan sebahagian daripada harta yang dimiliki ke jalan Allah. Antara zakat yang wajib ditunaikan ialah zakat fitrah, zakat harta, zakat pertanian dan zakat perniagaan.[5]
Islam juga menggalakkan umatnya untuk berinfaq dengan pemberian sedekah. Hal ini kerana, dalam Islam, sesuatu harta bukanlah hak seseorang secara mutlak. Ianya adalah pemberian dan pinjaman daripada Allah -سبحانه وتعالى– , dan di dalam harta pemberian Allah kepada seseorang itu terkandung hak mereka yang memerlukan.
4.MENJAGA KEMALUAN (KEHORMATAN)
Firman Allah -سبحانه وتعالى-;
﴿وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ٥ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ٦ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ٧﴾ [المؤمنون: 5-7]
Maksudnya : «Dan mereka yang menjaga kehormatannya,(5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela:(6) Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;(7)»
Berkenaan ayat ini, Imam Ibnu Katsir menyatakan ianya ialah orang-orang yang memelihara kemaluan mereka daripada yang haram, sehingga mereka tidak terjerumus dalam hal-hal yang dilarang oleh Allah -سبحانه وتعالى-, sama ada dalam bentuk perzinaan mahupun liwat (homoseksual).
Berdasarkan ayat ini juga :
﴿وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ. إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ… ﴾
Maksudnya : “Dan mereka yang menjaga kehormatannya,(5) Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya..”,
Imam al-Syafie -رحمه الله تعالى عنه- dan orang-orang yang sependapat dengan beliau menghukumkan haram terhadap perbuatan onani (masturbasi). Beliau menerangkan; “Pelaku perbuatan ini keluar daripada kedua bahagian tersebut. Kerana itu, Allah -سبحانه وتعالى- berfirman :
﴿ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاءَ ذَلِكَ فَأُولَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ٧﴾
Maksudnya : «Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas;(7)»
3. MEMELIHARA AMANAH
Firman Allah -سبحانه وتعالى- berkenaan sifat orang beriman:
﴿وَالَّذِينَ هُمْ لِأَمَانَاتِهِمْ وَعَهْدِهِمْ رَاعُونَ٨﴾ [المؤمنون: 8]
Maksudnya : «Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya;(8)»
Tafsiran ayat ini menyatakan bahawa ianya bermaksud, jika diberi kepercayaan mereka tidak akan mengkhianatinya, akan tetapi mereka menunaikannya kepada yang berhak. Begitu juga apabila mereka berjanji atau melakukan akad perjanjian, maka mereka menepatinya.[6]
Secara umumnya, amanah itu mempunyai dua kategori, iaitu yang pertama adalah amanah daripada Allah, dan keduanya amanah sesama insan. Menjaga amanah dalam kedua kategori tersebut adalah termasuk ciri-ciri mukmin sejati. Firman Allah -سبحانه وتعالى- dalam Surah al-Nisa ayat ke 58 :
﴿إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا …﴾ [النساء: 58]
Maksudnya : «Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), …»
Bersambung…
[1] Al-maany.com 2010-2023. https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/%D8%A5%D9%8A%D9%85%D8%A7%D9%86/?c=%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B9%D8%AC%D9%85%20%D8%A7%D9%84%D9%88%D8%B3%D9%8A%D8%B7
[2] Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Basri al-Dimasyqi. 1999. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Tah: Sami bin Muhammad Salamah. t.tp : Dar Toyyibah li al-Nashr wa al-Tauzi’. 1/165. Abdullah bin Muhammad bin Abd al-Rahman bin Ishak Alu Syaikh. 2023. Lubabut Tafsir Min Ibni Katsir. Terj: M. Abdul Ghoffar E.M. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. 1/68
[3] Akli Ahmad Mat Saman al-Azhari. Nov 2012. Risalah Fikriyah Pada Menghuraikan Matan Jauharah. Mesir : Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir. 60.
[4] Mustafa ‘Abdul Rahman. 2015. Hadith Empat Puluh (Terjemahan dan Syarahnya). Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 92.
[5] Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor. 2004. Ciri-ciri Mukmin. Selangor : Jabatan Agama Islam Selangor.
[6] Abu al-Fida’ Ismail bin Umar bin Katsir al-Qurasyi al-Basri al-Dimasyqi. 1999. Tafsir al-Quran al-‘Azim. Tah: Sami bin Muhammad Salamah. t.tp : Dar Toyyibah li al-Nashr wa al-Tauzi’. 6/274.