ADAKAH KITA LELAKI DAYUS?
“Tiga yang tidak memasuki syurga sampai bila-bila iaitu si dayus, si wanita yang menyerupai lelaki dan orang yang ketagih arak. Lalu sahabat berkata: Wahai Rasulullah SAW, kami telah faham erti orang yang ketagih arak, tetapi apakah itu dayus? Bersabda Nabi SAW: Iaitu orang yang tidak memperdulikan siapa yang masuk bertemu dengan ahlinya (isteri dan anak-anaknya)”, Riwayat At-Thabrani, Majma az-Zawaid, 4/327.
Takrif dayus sepertimana yang didefinisikan dalam Irsyad Al-Fatwa #259: Hukum Suami Membiarkan Isteri Berzina, di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, dayus adalah bercabang pada lidah atau lemah lembut. Ia juga dimaksudkan dengan seseorang lelaki yang tiada ghairah untuk mempertahankan keluarganya.
Sedangkan mengikut takrif Sunnah, tafsiran Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kabair, dayus adalah apabila seseorang itu mengiyakan perbuatan keji seperti zina kepada keluarganya. Tamsilnya, dia tidak kisah siapa yang menemui kaum keluarganya atau isterinya.
Selain itu, Ibn al-Athir juga menukilkan di dalam Fatwa al-Syukbah al-Islamiyah, bahawa dayus ini boleh juga terjadi apabila seseorang lelaki itu tidak merasai cemburu atau rasa peduli terhadap ahli keluarganya. Hal ini demikian kerana, sifat cemburu mesti ada pada seorang lelaki apatah lagi yang bergelar suami dan ayah demi menjaga kehormatan dan maruah isteri, anak-anak dan keluarganya.
Memang tidak dapat dinafikan, bukan mudah untuk menggalas tanggungjawab menjadi seorang suami kerana ianya sangat besar. Syeikh al-Maraghi di dalam tafsir Al-Maraghi menyatakan, tanggungjawab suami adalah menyediakan kelengkapan dari segi makanan, minuman dan pakaian serta menjaga keselamatan dan segala urusannya. Nafkah yang harus diberikan pula adalah mengikut kebiasaan masyarakat setempat seseorang perempuan itu.
Makanya, sifat kepimpinan atau dipanggil juga sebagai sifat “Qawwam” seharusnya melindungi dan mencegah ahli keluarganya daripada perbuatan dosa dan maksiat. Firman Allah SWT, maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”, Surah al-Tahrim, 6.
Rentetan daripada itu, suami yang reda serta mendiamkan diri daripada segala maksiat yang merosakkan maruah ahli keluarganya tanpa sebarang tegahan dan teguran, maka ia akan termasuk dalam golongan yang dayus.
Dayus Berdosa Besar
Hal ini dapat dilihat apabila para Ulama bersetuju dengan tegasnya mengkategorikan bab dayus ini termasuk dalam perkara yang berdosa besar seperti yang dinukilkan di dalam kitab Matalib Uli Nuha, sehingga disebutkan bahawa Allah SWT melaknat lelaki dayus dan wajiblah dipisahkan suami itu daripada isterinya dan diharamkan bergaul dengannya.
Kendatipun begitu, ia bukanlah satu fatwa yang terpakai secara meluas, tetapi ia sudah cukup untuk menunjukkan betapa tegasnya sebahagian ulama dalam hal kedayusan seseorang lelaki ini.
Oleh kerana itu, Islam amat menuntut rasa cemburu seorang suami mahupun seorang ayah yang berpada-pada terhadap ahli keluarganya. Hal ini demikian kerana, dengan perasaan cemburulah, seseorang itu bertindak untuk mencegah segala kejahatan serta maksiat yang berlaku. Tetapi perlu diingatkan, sebarang tindakan si suami hendaklah berpandukan ilmu dan kefahaman yang benar serta bukti yang jelas agar tidak sesekali menzalimi sang isteri hanya kerana melalui sangkaan semata-mata.
Secara kesimpulannya, selalu bermuhasabahlah agar rumah tangga yang dibina hanyalah bertujuan untuk mencapai kebahagiaan menuju akhirat dan menggapai mardhatillahNya. Justeru, sentiasalah berdoa dan mengingati Allah SWT dalam setiap apa yang dilakukan. “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami, perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang bertaqwa”, Surah al-Furqan, 74.