APA PERLU SAYA BUAT USTAZ KALAU TERLUPA BILANGAN PUASA GANTI??
Bulan Rejab sudah menghampiri penghujungnya, ini menandakan bulan yang sangat dinantikan oleh para Muslimin akan tiba iaitu Bulan Ramadan Al-Mubarak. Bulan Rejab dan Syaaban merupakan bulan-bulan terakhir untuk umat Islam melakukan pecutan bagi menggantikan atau menqadhakan puasa Ramadan yang telah ditinggalkan.
Lazimnya mula muncul di fikiran masyarakat tentang kaedah atau cara menentukan bilangan puasa yang terlupa. Ini kerana ada sesetengan individu yang yang masih berhutang qadha puasa Ramadan yang lampau, mungkin 2 atau 3 tahun yang lepas. Ini menyebabkan timbul masalah berkaitan berapakah bilangan yang perlu diganti jika sudah terlupa bilangan yang tepat.
Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu faham dan tahu bahawa menggantikan puasa (qadha) yang pernah ditinggalkan pada Ramadan yang lepas adalah WAJIB bagi setiap individu Muslim.
Firman Allah SWT:
وَمَن كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِّنْ أَيَّامٍ أُخَرَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka bolehlah ia berbuka,kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain’.
(Surah al-Baqarah: 185)
CARA MENENTUKAN BILANGAN PUASA GANTI YANG TERLUPA
Para ulama’ telah menentukan 2 CARA yang sesuai bagi permasalahan fiqh ini:
1. Kaedah Pertama : Tahdidi (keyakinan)
Sesiapa yang terlupa di dalam hal ibadat, maka dia hendaklah mengambil sesuatu hukum yang lebih meyakinkan. Hal ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada individu yang lupa bilangan rakaat ketika solat.
Daripada Abu Said Al-Khudri r.a., Nabi SAW bersabda:
إِذَا شَكَّ أَحَدُكُمْ فِي صَلاَتِهِ فَلَمْ يَدْرِ كَمْ صَلَّى ثَلاَثًا أَمْ أَرْبَعًا فَلْيَطْرَحِ الشَّكَّ وَلْيَبْنِ عَلَى مَا اسْتَيْقَنَ
Maksudnya: “Apabila salah seorang dari kalian ragu dalam solatnya, dan tidak mengetahui berapa rakaat dia solat, tiga atau empat rakaat maka buanglah keraguan, dan ambilah yang pasti (iaitu yang sedikit).”
(Riwayat Muslim)
Maka bagi sesiapa yang terlupa akan jumlah puasa yang perlu digantikan, maka boleh menggunakan kaedah qiyas ini (menetapkan hukum sesuatu yang tertentu, kerana persamaan kedua-duanya dari segi illah (sebab). Maka individu terbabit hendaklah mengambil sesuatu bilangan yang pasti atau lebih meyakinkan, contohnya antara 10 atau 12 hari, dia perlulah memilih 12 hari disebabkan itu lebih pasti dan yakin serta tiada unsur ragu-ragu dan waswas.
Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:
اليَقِينُ لَا يُزَالُ بِالشَّكِّ
Maksudnya: “Keyakinan tidak dihilangkan dengan syak (keraguan).”
2. Kaedah Kedua: Taqribi (Anggaran)
Kaedah Taqribi ini ialah satu kaedah menetapkan jumlah hari yang terlupa berdasarkan anggaran yang terdekat.
Syeikh Muhammad bin Muhammad al-Mukhtar al-Shinqiti yang merupakan salah seorang ulama usul fiqh di Universiti Islam Madinah menjelaskan bahawa kaedah penentuan secara taqribi ini adalah dengan bertanya kepada seseorang, sebagai contoh:
“Adakah kamu telah tinggalkan 50 hari?”
“Terlalu sedikit”
“90 hari?” “Terlalu banyak”
Maka jumlah taqrib (anggaran) yang boleh diambil seseorang untuk menggantikan puasa yang tertinggal adalah sebanyak 75 HARI.
Jika seseorang tidak sempat menyelesaikan puasa ganti yang ada sedangkan dia mampu untuk melaksanakannya sehingga masuk bulan Ramadan seterusnya, dia bukan sahaja WAJIB menggantikannya di hari lain bahkan WAJIB juga membayar FIDYAH.
Namun perlu diingatkan, individu terbabit perlu berusaha sedaya upaya untuk menggantikan puasanya terlebih dahulu dan tidak sewenang-wenangya terus membayar fidyah dan mengabaikan tuntutan qadha itu. Ini lebih ihtiyati (berhati-hati) di dalam urusan agama dan supaya seseorang itu tidaklah terlalu bermudah-mudah.
KESIMPULAN
Puasa di bulan Ramadan ialah salah satu rukun Islam yang WAJIB setiap Muslim menunaikan secara penuh jika tiada sebarang uzur syarie seperti sakit dan musafir. Ulama’ menggariskan 2 cara untuk menentukan bilangan puasa qadha yang terlupa. Kaedah Tahdidi (keyakinan) serta Taqribi boleh digunapakai mengikut permasalahan yang sesuai. Sekiranya masih tidak mampu untuk menggantikannya WAJIB bagi setiap individu terbabit membayar fidyah.
Tag:Fiqh, jomshare, ramadhan, ustazustazahcom