KARNIVAL GEGAR UMMAH “MEMASYARAKATKAN AL-QURAN”
Sebuah karnival dianjurkan oleh Ustazustazah Dot Com Sdn Bhd dengan sokongan dan tajaan dari Qudwah Group Company. Karnival ini juga merupakan sebuah program kerjasama dengan Pentadbiran Daerah Rembau, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan cawangan Rembau dan Masjid Jamek An-Nur Rembau. Karnival ini bertujuan untuk menyuburkan rasa cinta akan kitab suci Al-Quran disamping dapat meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan mempelajari ilmu Al-Quran, melahirkan masyarakat yang celik akan Al-Quran serta membentuk generasi yang menjiwai kemanisan ilmu pengetahuan, memiliki ketrampilan diri, daya saing yang sihat, bersemangat juang, kreatif dan inovatif, membuka ruang dan peluang masyarakat setempat menjana ekonomi sepanjang program berlangsung, memperluaskan jaringan kerjasama antara agensi-agensi kerajaan dengan syarikat swasta dalam menjayakan program yang dirancang dan menggalakkan penyertaan semua pihak terdiri daripada pelajar-pelajar sekolah rendah atau menengah, remaja, warga emas dan orang awam melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan yang dianjurkan. Ia juga dapat mengeratkan silaturahim dan membina jaringan ukhuwah antara masyarakat setempat dan pelbagai agensi yang terlibat yang terdiri daripada syarikat swasta, agensi-agensi kerajaan dan pelajar IPTA/S dalam mempromosikan aplikasi Khair.
Karnival ini terbahagi kepada dua kategori aktiviti iaitu aktiviti tertutup dan terbuka. Aktiviti tertutup bermula pada 8 sehingga 11 Februari 2023. Antara aktiviti tertutup yang diadakan ialah Latihan Tenaga Pengajar (LTP) menggunakan kaedah ABAHATA yang dikendalikan oleh Institut Pengajian Al-Quran (IPaQ) Petaling Jaya yang diadakan pada 8 – 9 Februari 2023 dan Konvensyen Ustazustazah.com yang diadakan pada 11 Februari 2023 dengan tema ‘Simposium penerapan nilai Al-Quran dalam lifestyle anak-anak’. Aktiviti ini disertai oleh wakil-wakil Pejabat Agama Islam Daerah Rembau, wakil daripada Jawatankuasa Masjid Jamek An-Nur Rembau, staff Ustazustazah Dot Com dan Qudwah Group.
Aktiviti terbuka pula ialah hari kemuncak karnival iaitu pada 12 Februari 2023 yang menghimpunkan pelbagai selebriti dakwah dalam mengimarahkan Dataran Rembau disebelah malam. Antara selebriti dakwah yang terlibat ialah Ustaz Wadi Annuar, Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman, Ustaz Nazrey Johani, Ustaz Uda Kassim dan Inteam. Segala persiapan dilokasi telah bermula dua minggu sebelumnya. Pemasangan kain rentang di serata daerah Rembau dan hebahan dilakukan dengan meluas disemua medium yang ada. Pada 11 Februari 2023, seawal jam 10.00 pagi kerja-kerja pemasangan khemah, pentas dan lampu limpah giat dijalankan. Persiapan lokasi sahaja memakan masa hampir 24 jam untuk disiapkan. Persiapan disambung lagi pada sebelah pagi tanggal 12 Februari 2023. Memastikan setiap ruangan dipasang lampu limpah, bekalan elektrik mencukupi dan dapat disalurkan kepada semua khemah yang ada.
Jam 3.00 petang, bermula sesi persiapan bagi khemah-khemah pameran agensi kerajaan yang turut hadir memeriahkan karnival. Orang ramai mula berkunjung seawal jam 4.00 petang ke Dataran Rembau. Jam demi jam, dataran kian dibanjiri umat manusia. Ada yang berpayung, membawa anak, dengan keluarga dan sebagainya. Allah itu Maha Berkuasa. Cuaca tidak menyebelahi. Hujan lebat menyebabkan keadaan rumput di dataran tidak begitu menyenangkan bagi pengunjung. Walaubagaimanapun, syukur ke hadrat Illahi, Dia masih memberi ruang dan semangat buat para pengunjung untuk terus setia di dataran sehingga akhir program serta menggerakkan hati-hati mereka untuk turut hadir bagi memeriahkan karnival Gegar Ummah. Pengunjung yang hadir dijangka mencecah 5000 orang. Alhamdulillah ala kulli hal. Setiap yang dirancang, setiap ujian yang datang, Allah adalah sebaik-baik Perancang dan terdapat hikmah dalam setiap yang terjadi. Semoga semua mesej dakwah yang disampaikan oleh para selebriti memberi impak ke dalam hat pengunjung dan memberi nilai yang baik buat mereka.