DOA TENTERA TOLUT : SIRI AKHIR
LEMAH IMAN PUNCA KELEMAHAN
SETELAH terbukti kebenaran Tolut yang dipilih oleh Allah untuk memimpin Bani Israil dengan datangnya Tabut, Bani Israil akhirnya akur untuk menyertai peperangan bersama Tolut.
Tolut dipilih oleh Allah Ta’ala untuk memimpin satu kaum dan umat yang mengalami kekalahan dan kehinaan berulang kali dalam sejarah mereka. Tentera ini akan berhadapan dengan tentera yang menang, ramai dan mempunyai kelengkapan yang baik. Oleh itu, tentera Tolut perlulah memiliki kekuatan batin yang dapat mengalahkan kekuatan zahir yang ada pada tentera musuh dibawah pimpinan Jalut.
Kekuatan batin yang diperlukan bermaksud kekuatan iradat, iaitu iradat yang sanggup mengawal keinginan nafsu, sanggup menghadapi ketiadaan dan kesusahan, sanggup mengatasi kesempitan dan keperluan-keperluan, sanggup memetingkan kepatuhan dan memikul tugas, serta sanggup menempuhi ujian demi ujian.[1]
UJIAN SEBAGAI TAPISAN KEMENANGAN
Tentera Tolut berangkat ke medan perang dengan membawa bersamanya bala tentera dan orang-orang yang mentaatinya daripada kalangan Bani Israil. Seperti yang dinyatakan oleh al-Suddi, tentera Tolut ketika itu berjumlah 80 ribu orang.
Tolut berkata kepada pengikutnya apabila keluar bersama-sama tenteranya sebagaimana firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿فَلَمَّا فَصَلَ طَالُوتُ بِالْجُنُودِ قَالَ إِنَّ اللَّهَ مُبْتَلِيكُمْ بِنَهَرٍ فَمَنْ شَرِبَ مِنْهُ فَلَيْسَ مِنِّي وَمَنْ لَمْ يَطْعَمْهُ فَإِنَّهُ مِنِّي إِلَّا مَنِ اغْتَرَفَ غُرْفَةً بِيَدِهِ فَشَرِبُوا مِنْهُ إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ … ﴾ [البقرة: 249]
Maksudnya : «… “Sesungguhnya Allah akan menguji kamu dengan sebatang sungai, oleh itu sesiapa di antara kamu yang meminum airnya maka bukanlah ia dari pengikutku, dan sesiapa yang tidak merasai airnya maka sesungguhnya ia dari pengikutku, kecuali orang yang menceduk satu cedukan dengan tangannya”. (Sesudah diingatkan demikian) mereka meminum juga dari sungai itu (dengan sepuas-puasnya), kecuali sebahagian kecil dari mereka. …»
Imam Ibnu Katsir menukilkan pendapat Ibnu Abbas yang mengatakan bahawa sungai tersebut ialah sungai yang berada diantara Jordan dan Palestin, iaitu Sungai Syari’ah. Allah telah menguji tentera Tolut yang ramai itu dengan sebatang sungai.[2] Sesiapa yang minum lebih daripada satu cedokkan, maka dia digugurkan daripada mengikuti Tolut.
Tidak ada yang berjaya menyeberangi sungai bersama Tolut, melainkan orang-orang yang beriman dan taat kepada arahan Tolut.
Seterusnya, firman Allah – سبحانه وتعالى- :
﴿… فَلَمَّا جَاوَزَهُ هُوَ وَالَّذِينَ آمَنُوا مَعَهُ قَالُوا لَا طَاقَةَ لَنَا الْيَوْمَ بِجَالُوتَ وَجُنُودِهِ …﴾ [البقرة: 249]
Maksudnya : «… Setelah Talut bersama-sama orang-orang yang beriman menyeberangi sungai itu, berkatalah orang-orang yang meminum (sepuas-puasnya): “Kami pada hari ini tidak terdaya menentang Jalut dan tenteranya”. …»
Ertinya, mereka menarik diri untuk menemui musuh mereka kerana banyaknya jumlah musuh mereka. Kemudian mereka diberi dorongan oleh para Ulama mereka bahawa janji Allah itu benar. Dan sesungguhnya kemenangan itu berasal dari sisi Allah SubhanahuwaTa’ala, dan bukan kerana banyaknya jumlah tentera, oleh kerana itu mereka berkata seperti yang dinyatakan oleh firman Allah – سبحانه وتعالى- :
﴿… كَمْ مِنْ فِئَةٍ قَلِيلَةٍ غَلَبَتْ فِئَةً كَثِيرَةً بِإِذْنِ اللَّهِ وَاللَّهُ مَعَ الصَّابِرِينَ﴾ [البقرة: 249]
Maksudnya : «… “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah; dan Allah (sentiasa) bersama-sama orang-orang yang sabar”(249)»
DOA ORANG BERIMAN KETIKA MENGHADAPI MUSUH.
Apabila kelompok orang beriman daripada tentera Tolut yang jumlahnya sedikit menghadapi musuh mereka daripada tentera Jalut yang ramai, ketika inilah keluarnya ucapan berbentuk doa permohonan mereka kepada Allah – سبحانه وتعالى-,
﴿… رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانْصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ﴾ [البقرة: 250]
Maksudnya : «… “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami (Iaitu dalam menghadapi para musuh, jauhkanlah kami daripada melarikan diri dan ketidakberdayaan) serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir”(250)»
Orang-orang mukmin akhirnya memperoleh kemenangan terhadap tentera Jalut meskipun bilangan mereka ketika itu sedikit berbanding bilangan tentera Jalut.
PENGAJARAN :[3]
- Golongan pertama yang menyedari bahaya terhadap umat adalah para ulama dan para pemuka umat itu, sebagaimana yang dilakukan oleh para pemuka Bani Israil tatkala mereka meminta diangkatkan bagi mereka seorang raja.
- Orang-orang bodoh menganggap bahawa yang paling berhak menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai pengaruh dan kekayaan, sepertimana yang berlaku dalam kelompok Bani Israil. Padahal orang yang paling layak untuk menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai ilmu, pengalaman, kemampuan, dan keperibadian yang mulia.
- Berkat iman yang kuat, kesabaran, keteguhan, dan kepatuhan kepada pemimpin terkadang mampu mengalahkan kelompok yang besar. Iman yang dimaksudkan adalah iman kepada Allah, percaya akan pertemuan dengan-Nya, menunggu pahala yang besar dan kedudukan yang tinggi bagi orang-orang yang mati syahid.
- Doa dalam keadaan bahaya dan di tengah pertempuran sangat ampuh kerana doa adalah bukti iman dan membantu manusia untuk tetap tegar.
[1] Sayyid Qutub. t.th. Tafsir Fi Zilal al-Quran. Terj: Dr Yusof Zaki. 314. https://tafsirzilal.files.wordpress.com/2016/12/al-baqarah-melayu1_.pdf
[2] Ibnu Katsir. 2023. Tafsir Ibnu Katsir. Tah: Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh. Terj: M Abdul Ghoffar EM. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. 1/686
[3] Dr Wahbah az-Zuhaili. 2005. Tafsir al-Munir Jilid 1 : Aqidah, Syari’ah, dan Manhaj. Jakarta : Gema Insani. 1/621