DOA TENTERA TOLUT : SIRI 2
MUQADDIMAH
SIRI artikel sebelum ini telah menceritakan tentang sedikit latar belakang Tolut yang telah dipilih oleh Allah -سبحانه وتعالى- untuk menjadi pemimpin bagi Bani Israil. Tolut ialah nama Arab bagi Saul. Kaum Bani Israil sebelumnya telah meminta kepada Nabi mereka agar dikurniakan seorang pemimpin yang mampu memimpin mereka berperang dan menyatukan mereka.
Allah -سبحانه وتعالى- kemudiannya memilih Tolut sebagai pemimpin mereka. Akan tetapi, kaum Bani Israil tidak berpuas hati terhadap pemilihan Tolut sebagai ketua, kerana melihatkan kemiskinan Tolut dan dia bukanlah daripada keturunan raja mahupun nabi.
Dalam penulisan kali ini, kita akan melihat hikmah dan sebab terpilihnya Tolut menjadi pemimpin.
KEENGGANAN BANI ISRAIL UNTUK BERJIHAD & HIKMAH PEMILIHAN TOLUT SEBAGAI PEMIMPIN
Menurut Tafsir al-Munir, nabi yang dimaksudkan dalam kisah ini ialah Nabi Samuel. Kaum Bani Israil telah meminta kepada Nabi Samuel untuk memohon kepada Allah agar dikurniakan kepada mereka seorang pemimpin bagi mengetuai mereka menghadapi musuh yang telah mengusir dan merampas hak-hak mereka.
Namun, Nabi mereka mengenali tabiat kaumnya berdasarkan pengalaman hidup bersama mereka. Nabi mereka berkata sebagaimana yang dinyatakan dalam firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿… قَالَ هَلْ عَسَيْتُمْ إِنْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الْقِتَالُ أَلَّا تُقَاتِلُوا …﴾ [البقرة: 246]
Maksudnya : «.. Nabi mereka menjawab: “Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang”…»
Kemudian dalam ayat seterusnya dinyatakan :
﴿… قَالُوا وَمَا لَنَا أَلَّا نُقَاتِلَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَقَدْ أُخْرِجْنَا مِنْ دِيَارِنَا وَأَبْنَائِنَا فَلَمَّا كُتِبَ عَلَيْهِمُ الْقِتَالُ تَوَلَّوْا إِلَّا قَلِيلًا مِنْهُمْ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِالظَّالِمِينَ٢٤٦﴾ [البقرة: 246]
Maksudnya : «… Mereka berkata: “Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?” Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim(246)»
Kemudian dalam ayat ke 247, dinyatakan bahawa Tolut telah dipilih sebagai pemimpin kaumnya. Tolut mempunyai kelebihan sebagaimana yang disebut dalam firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿… قَالَ إِنَّ اللَّهَ اصْطَفَاهُ عَلَيْكُمْ وَزَادَهُ بَسْطَةً فِي الْعِلْمِ وَالْجِسْمِ …﴾ [البقرة: 247]
Maksudnya : «… Nabi mereka berkata:” Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Tolut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan”. …»[1]
Tafsir Ibnu Katsir menyebutkan, erti ayat ini ialah, Tolut lebih mengetahui daripada kalian, lebih mulia, lebih perkasa, lebih kuat dan lebih sabar dalam peperangan, serta lebih sempurna ilmunya daripada kalian.
Oleh kerana itu, ia layak menjadi seorang raja kerana berpengetahuan, mempunyai bentuk tubuh yang bagus, dan kuat fizikal serta mental.[2]
Kemudian dalam ayat seterusnya, Allah -سبحانه وتعالى- berfirman :
﴿… وَاللَّهُ يُؤْتِي مُلْكَهُ مَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ٢٤٧﴾ [البقرة: 247]
Maksudnya : «… Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya(247)»
Ulama mentafsirkan ayat ini sebagai, Dialah Maha Bijaksana yang melakukan apa yang dikehendaki Nya.
TANDA KEBENARAN TOLUT
Apabila Tolut diangkat sebagai pemimpin bagi Bani Israil, kaumnya membantah keputusan itu dengan begitu keras. Lalu, sebagai membuktikan Tolut sebagai pemimpin yang dipilih oleh Allah -سبحانه وتعالى- untuk Bani Israil, Nabi mereka kemudiannya berkata kepada mereka: “Sesungguhnya tanda keberkahan kerajaan Tolut bagi kalian iaitu Allah akan mengembalikan Tabut yang telah diambil daripada kalian.
Firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿وَقَالَ لَهُمْ نَبِيُّهُمْ إِنَّ آيَةَ مُلْكِهِ أَنْ يَأْتِيَكُمُ التَّابُوتُ فِيهِ سَكِينَةٌ مِنْ رَبِّكُمْ وَبَقِيَّةٌ مِمَّا تَرَكَ آلُ مُوسَى وَآلُ هَارُونَ …﴾ [البقرة: 248]
Maksudnya : «Dan Nabi mereka, berkata lagi kepada mereka: “Sesungguhnya tanda kerajaan Talut itu (yang menunjukkan benarnya dari Allah) ialah datangnya kepada kamu peti Tabut yang mengandungi (sesuatu yang memberi) ketenteraman jiwa dari Tuhan kamu, dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; …»
Dalam Tafsir Ibnu Katsir menyebutkan, bahawa Ibnu Jarir meriwayatkan daripada Ibnu Abbas mengenai firman Allah -سبحانه وتعالى- :
﴿… وَبَقِيَّةٌ مِمَّا تَرَكَ آلُ مُوسَى وَآلُ هَارُونَ …﴾ [البقرة: 248]
Maksudnya : «… dan (berisi) sebahagian dari apa yang telah ditinggalkan oleh keluarga Nabi-nabi Musa dan Harun; …»
Iaitu tongkat Nabi Musa dan Lauh Nabi Musa. Antara mufassir yang lain menyatakan ianya berisi Taurat.[3]
Menurut Tafsir al-Munir, Tabut ialah kotak penyimpanan Taurat. Ia dikatakan diperbuat daripada kayu yang bersalut emas. Bani Israil akan membawa bersama peti Tabut dalam peperangan yang dihadapi bagi mendapatkan kemenangan atas musuh.
Tabut yang dinyatakan dalam kisah ini sebelumnya telah jatuh ke tangan bangsa Palestin yang mengambilnya dari Bani Israil setelah berhasil mengalahkan mereka, kemudian Allah -سبحانه وتعالى- mengembalikan Tabut tersebut kepada mereka sebagai tanda keabsahan Tolut sebagai pemimpin mereka.
Akhirnya, Bani Israil mengakuinya sebagai raja dan ingin berjihad bersamanya.[4]
Apakah yang berlaku seterusnya?
Adakah Tolut berjaya memimpin kaumnya untuk mengalahkan musuh?
Apakah doa yang diungkapkan oleh tentera Tolut ketika menghadapi musuh yang begitu ramai?
Bersambung…
PENGAJARAN AYAT[5]
1.Antara pengajaran yang boleh kita ambil daripada kisah yang terdapat dalam ayat ini ialah, kekuasaan tidak ditentukan melainkan dengan kecekapan, ilmu keterampilan, kekuatan peribadi dan keteguhan kemahuan. Ayat ini menjelaskan kriteria pemimpin dan kondisi-kondisi kepemimpinan. Orang yang berhak menjadi pemimpin adalah orang yang mempunyai ilmu, agama, dan kekuatan, bukan dilihat daripada nasabnya.
[1] Syeikh Abdullah Basmeih. t.th. Tafsir Pimpinan al-Rahman. t.tp : t.pt.
[2] Ibnu Katsir. 2023. Tafsir Ibnu Katsir. Tah: Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh. Terj: M Abdul Ghoffar EM. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. 1/683
[3] [3] Ibnu Katsir. 2023. Tafsir Ibnu Katsir. Tah: Dr Abdullah bin Muhammad bin Abdurrahman bin Ishaq Alu Syaikh. Terj: M Abdul Ghoffar EM. Jakarta : Pustaka Imam Asy-Syafi’i. 1/685
[4] Dr Wahbah az-Zuhaili. 2005. Tafsir al-Munir Jilid 1 : Aqidah, Syari’ah, dan Manhaj. Terj: Abdul Hayyie al-Kattani dkk. Jakarta : Gema Insani. 1/614
[5] Dr Wahbah az-Zuhaili. 2005. Tafsir al-Munir Jilid 1 : Aqidah, Syari’ah, dan Manhaj. Terj: Abdul Hayyie al-Kattani dkk. Jakarta : Gema Insani. 1/612