HARI-HARI, HARI IBU!
Masyarakat dunia sejak dahulu lagi telah sinonim dengan satu perayaan atau upacara yang disandarkan kepada Agama pada setiap hari Ahad minggu kedua bulan Mei. Bahkan di Malaysia juga sudah berdekad lamanya sebahagian besar masyarakat di negara ini meraikan sambutan dan perayaan ini tanpa mengetahui akan sejarah dan asal-usulnya. Sambutan atau perayaan yang dimaksudkan ialah sambutan Hari Ibu. Sebelum kita masuk ke perbahasan berkenaan hukum meraikan Hari Ibu dalam Islam, mari kita singkap sedikit sejarah berkenaan sambutan Hari Ibu ini.
Pada awalnya, Hari Ibu ini adalah satu perayaan yang dilakukan pada setiap kali musim bunga. Sambutan ini diraikan oleh Masyarakat Greece dalam usaha menunjukan tanda penghormatan kepada ibu kepada tuhan mereka iaitu “Rhea”. Bagi masyarakat di England pula, mereka merayakan satu hari yang dinamakan sebagai “Mothering Sunday’. Perayaan ini disambut pada setiap Ahad keempat setiap “Lent” iaitu satu tempoh dalam 40 hari sama ada bulan Februari atau Mac. Selama tempoh 40 hari ini masyarakat kristian disana akan berhenti daripada melakukan perkara tertentu atau makan makanan tertentu yang disandarkan kepada Agama. Amalan dan tradisi agama mereka ini menular ke seluruh dunia dan kini disambut sebagai tanda hormat kepada “Mother Church”. Pada 1907 Anna Jarvis menjalankan kempen melancarkan hari Ibu dimana beliau berjaya mempengaruhi Mothers’ church di Grafton agar meraikan ulang tahun kedua kematian ibunya pada setiap ahad kedua bulan Mei. Akhir sekali, Presiden Woodrow wilson pada tahun 1914 secara rasminya telah Isytiharkan Hari Ibu sebagai hari cuti umum dan mesti diraikan.
Maka selepas dihuraikan serba sedikit sejarah sambutan Hari Ibu, kita dapat faham dengan jelas asal sambutan ini adalah disandarkan kepada perayaan atau sambutan bagi agama Kristian. Maka atas dasar ini juga ulama berbahas akan hukum meraikan Hari Ibu. Dalam Irsyad Al-Fatwa Hari Ibu boleh diraikan dengan syarat enganggap Hari Ibu atau Hari Bapa sebagai penghormatan tambahan buat mereka, bukannya menyempitkan skop menghormati mereka hanya pada tarikh tersebut. Selain itu, Tidak menjadikan ia sebagai satu bentuk perayaan dengan ertikata perayaan keagamaan, tetapi sebagai sambutan secara adat sahaja. Ulama’ yang mengharamkan pula menganggap sambutan ini menyerupai orang kafir.
Sebagai kesimpulan, Sewajarnya seseorang Islam sentiasa menghormati ibubapa dan pada saat yang sama memahami ajaran Islam supaya ketaatannya sentiasa selaras dengan syariat Islam.