HIKMAH MEMAKAI PAKAIAN BAHARU DI HARI RAYA.
Menjelang sambutan perayaan Hari Raya, ramai dikalangan masyarakat mula membanjiri pusat beli-belah bersama keluarga untuk mendapatkan pelbagai barangan sebagai persiapan memeriahkan lebaran. Pembelian baju baru sebagai baju raya dilihat suatu simbolik untuk menyambut perayaan tidak kira Hari Raya Aidilfitri mahupun Hari Raya Aidiladha. Hal ini dilihat selari untuk menyahut galakan menghidupkan sunah berhias dengan pakaian-pakaian yang cantik. Seolah-oleh memakai baju baru di hari raya telah menjadi keharusan yang tidak boleh ditinggalkan. Dalam syariat agama juga terdapat hadis, atsar, dan ijtihad para ulama yang menganjurkannya. Diantaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi:
عَنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ قَالَ: أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم فِى الْعِيدَيْنِ أَنْ نَلْبِسَ أَجْوَدَ مَا نَجِدُ
Maksudnya, “Diriwayatkan dari Al-Hasan bin Ali RA, ia berkata, ‘Rasulullah SAW telah memerintahkan bagi kami pada dua hari raya ini ( Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Aidiladha ) agar memakai pakaian terbaik yang kami temukan,’” (HR Al-Baihaqi dan Al-Hakim).
قَالَ الشَّافِعِيُّ رَحِمَهُ اللهُ تَعَالَى … فَأُحِبُّ في الْعِيدَيْنِ أَنْ يَخْرُجَ بِأَحْسَنَ ما يَجِدُ من الثِّيَابِ
Maksudnya, “Imam As-Syafi’i Rahimahullahu Ta’ala berkata, ‘… maka aku sangat menyukai pada dua hari raya ini, manusia keluar dengan baju terbaik yang ia temukan,’” (Lihat Muhammad bin Idris As-Syafi’i, Al-Umm, [Beirut, Cetakan Darul Ma’rifah: 1393 H], juz 1, halaman 248).
Perkara ini juga dapat dilihat melalui perbuatan sahabat Nabi SAW melalui sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar:
أَخَذَ عُمَرُ جُبَّةً مِنْ إِسْتَبْرَقٍ تُبَاعُ فِي السُّوقِ، فَأَخَذَهَا، فَأَتَى بِهَا رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، ابْتَعْ هَذِهِ تَجَمَّلْ بِهَا لِلْعِيدِ وَالوُفُودِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «إِنَّمَا هَذِهِ لِبَاسُ مَنْ لاَ خَلاَقَ لَهُ»
Maksudnya: “Umar mengambil jubah dari sutera tebal yang dijual di pasar. Beliau mengambilnya dan memberikan jubah tersebut kepada Rasulullah SAW dan mengatakan, “Wahai Rasulullah belilah jubah ini, berhias dengannya untuk hari raya dan menerima kunjungan tetamu. Maka Rasulullah SAW mengatakan kepada Umar: “Sesungguhnya ini adalah pakaian yang tidak dapat bahagiann (di akhirat).” Hadis Riwayat Bukhari
Menurut Abu al-Hasan al-Sindi, hadis tersebut menyatakan bahawa berhias di hari raya termasuk kebiasaan yang sudah lama wujud di kalangan para sahabat, dan Nabi SAW juga tidak mengingkarinya. Hal ini juga dinamakan hari raya dengan hari berhias. Firman Allah SWT:
قَالَ مَوْعِدُكُمْ يَوْمُ ٱلزِّينَةِ وَأَن يُحْشَرَ ٱلنَّاسُ ضُحًى
Maksudnya: Nabi Musa menjawab: “Tempoh yang aku tetapkan untuk kamu itu ialah hari perayaan (hari berhias diri), dan hendaklah orang ramai berhimpun pada waktu Duha” Surah Taha (59)
Walau bagaimanapun, para telah ulama membahaskan lebih terperinci mengenai ciri-ciri pakaian bagi menyambut perayaan Aidilfitri dan Aidiladha yang selari mengikut sunnah. Menurut al-Nawawi, memakai minyak wangi dan berhias pada kedua-dua perayaan tersebut adalah sunnah seperti pada hari jumaat. Begitu juga menurut al-Zuhaili bahawa:
يَسُنّ التَّطَيُّبُ لِلرِّجَالِ بِأَحْسَنِ مَا يَجِدُ مِنْ الطَّيِّبِ، قِيَاسًا عَلَى الجُمْعَةِ
Maksudnya: Disunatkan memakai minyak wangi lelaki dengan sebaik-baik wangian yang didapati berdasarkan hukum yang diqiaskan dengan hukum pada hari Jumaat. ( Al-Mu’tamad Fii al-Fiqh al-Syafi’I, Muhammad al-Zuhaili, Damsyik: Dar al-Qalam, Jilid.1, Halaman.561 )
Seterusnya, menurut al-Baijuri di dalam perbahasan pakaian pada hari Jumaat bahawa:
وَيَسُنُّ أَنْ تَكُونَ جَدِيدَة فَإِن لَمْ تَكُنْ جَدِيدَةٌ سُنًّ أَنْ تَكُونَ قَرِيبَةً مِنْهاَ. وَيَسُنُّ أَن يَزِيدَ الإِمَامَ فِي حُسْنِ الهَيْئَةِ للِاتِّبَاعِ وَلِأَنَّهُ مَنْظُورٌ إِلَيْهِ
Maksudnya: Disunatkan baju yang dipakai pada solat Jumaat dengan baju yang baharu. Jika tidak baru maka disunatkan dengan baju yang setara dengannya. Disunatkan juga agar imam menambahkan keterampilannya yang baik kerana dia diperhatikan (oleh orang ramai). ( Hasyiah al-Syeikh Ibrahim al-Baijuri Ala Fath al-Qarib, al-Baijuri, Mesir: Dar al-Kutub al-Islamiyyah, Jilid.1, Halaman.420 )
Kesimpulannya, inilah hikmah dianjurkan bagi kita memakai pakaian baharu di hari raya yang seharusnya dijaga dan diperhatikan, bukan hanya kerana untuk mempamerkan dan menjadi tatapan di hadapan orang sahaja. Inilah antara sunah bagi kita memakai baju baharu sempena Aidilfitri, namun jika tiada, disunatkan memakai pakaian yang hampir dengan baju yang baharu.