JANGAN LUPA !
Tatkala diwaktu ini mungkin ramai dalam kalangan kita yang sedang bersungguh-sungguh dalam meningkatkan lagi amalan kerana sedar atau tidak kita telah 3 hari memasuki fasa 10 malam terakhir ramadan tahun ini. Bagi mereka yang sedar, alhamdulillah dan pastinya mereka lah sebahagian yang sedang mempergiatkan amalan mereka. Bagi yang baru sedar, masih ada masa untuk kita sama-sama berusaha mencari rahmat dan keampunan daripada Allah SWT. Banyak hadis-hadis yang thabit daripada Baginda sallallahu alaihi wasallam berkaitan anjuran untuk memperbanyakan amalan pada 10 malam terakhir. Namun, apa yang ingin ditekankan disini ialah satu perkara yang juga cukup penting untuk kita sama-sama ambil perhatian terutama bagi mereka yang belum melaksanakannya. Perkara tersebut ialah berkenaan bayaran zakat fitrah.
Zakat fitrah juga dikenali zakat badan, zakat puasa, zakata ramadan, dan zakat Fitri kerana masa untuk menyempurnakannya adalah pada akhir Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri. Zakat fitrah merupakan antara zakat yang wajib ditunaikan umat Islam cuma berbeza dengan zakat yang lain, hanya zakat fitrah sahaja yang wajib dikeluarkan pada bulan ramadan. Bagi zakat fitrah, ulama’ telah mengeluarkan panduan bagi siapakah yang wajib mengeluarkan zakat fitrah ini dan bilakah waktu yang perlu bayar zakat fitrah ini. Golongan pertama yang wajib menunaikan zakat fitrah ialah individu yang mempunyai lebihan makanan dan hartanya untuk dirinya dan juga tanggungannya pada malam dan pagi raya. Seterusnya ialah, bayi yang lahir sebelum terbenam matahari akhir ramadan dan hidup sehingga terbenam matahari akhir ramadan. Ketiga, golongan yang diwajibkan zakat fitrah keatasnya ialah, mereka yang memeluk Islam sebelum terbenam matahari akhir ramadan dan mestilah berkekalan akan Islamnya. Terakhir, golongan yang diwajibkann zakat keatasnya sepertimana yang digarikan oleh para ulama’ ialah individu yang meninggal selepas terbenam matahari akhir ramadan.
Bagi waktu-waktu yang telah digariskan oleh para ulama’ untuk mengeluarkan zakat terdapat 4 pembahagian. Pertama, waktu wajib mengeluarkan zakat menurut mazhab Syafie dan hanbali ialah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya) dan pandangan ini jugalah yang diambil oleh mazhab Maliki. Seterusnya, waktu sunat mengeluarkan zakat fitrah ialah dikeluarkannya sebelum solat hari raya manakala makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat. Akhir sekali, waktu haram mengeluarkan zakat fitrah ialah menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur bahkan ianya berdosa. Namun, meskipun waktu haram dan berdosa kerana melambatkan bayaran zakat fitrah, individu tersebut tetap perlu membayar zakat fitrah tersebut tetapi ia dikira sedekah. Jika dilengahkan, maka akan bertambahlah dosa.
Sebagai kesimpulan, dalam kesibukan kita mengejar 10 malam terakhir dibulan ramadan ini, jangan sampai kita melupakan kewajipan kita iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Perkara inilah yang paling dipertanggungjawabkan kepada kita.
-Wallahualam-