NUZUL AL-QURAN : AL-QURAN MENYERU KEPADA KESATUPADUAN UMMAH
Konsep persaudaraan Islam adalah diikat dengan keimanan. Tanpa keimanan yang sahih, persaudaraan dan semangat ukhuwwah Islamiyyah tidak akan terrealisasi dan tidak akan terbina dengan kukuh.
Memperdamaikan perselisihan diantara kaum muslimin merupakan satu sikap yang terpuji. Mempamerkan akhlak yang buruk dan tercela merupakan dosa yang dibenci. Seseorang Muslim dituntut supaya bergaul dengan sesama mereka dengan cara yang mampu menjinak dan menyatukan hati. Hal ini dinyatakan dalam firman Allah SWT :
﴿إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ١٠﴾ [الحجرات: 10]
Maksudnya : «Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat» (Surah al-Hujrat : 10)
Allah SWT juga melarang umat ini daripada menyerupai umat terdahulu yang saling berselisih dan berpecah belah, tidak melaksanakan amar makruf (menyuruh melakukan kebaikan) dan meninggalkan nahi mungkar (mencegah kemungkaran) padahal sudah datang kepada mereka keterangan dan dalil-dalil yang jelas. Seperti firman-Nya :
﴿وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ١٠٥﴾ [آل عمران: 105]
Maksudnya : «Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berceri-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), Dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar» (Surah Ali Imran : 105)
Dalam ayat yang sebelumnya, Allah SWT berfirman sebagai perintah kepada hamba-hamba Nya untuk bersatu dalam jemaah dan melarang daripada berpecah belah. Firman Allah SWT :
﴿وَاعْتَصِمُوا بِحَبْلِ اللَّهِ جَمِيعًا وَلَا تَفَرَّقُوا …﴾ [آل عمران: 103]
Maksudnya : «Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; …» (Surah Ali Imran : 103)
Menurut Tafsir Ibnu Katsir, maksud ‘tali Allah’ ialah janji Allah SWT, sebagaimana yang difirmankan-Nya pada ayat 112 Surah yang sama :
﴿ضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ أَيْنَ مَا ثُقِفُوا إِلَّا بِحَبْلٍ مِنَ اللَّهِ وَحَبْلٍ مِنَ النَّاسِ …﴾ [آل عمران: 112]
«Mereka ditimpakan kehinaan di mana sahaja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia.”. …» (Surah Ali Imran : 112)
Selain itu, maksud tali Allah juga ditafsirkan dengan maksud al-Quran. Oleh yang demikian, umat Islam perlu menyedari bahawa kekuatan umat ini terletak pada kesatuan akidah yang menjadikan al-Quran sebagai manual perjalanannya. Umat ini akan sentiasa lemah selagimana mengabaikan ikatan ukhuwwah dan hidup dalam pecah belah serta saling membenci.
Imam al-Syahid Hasan al-Banna pernah berkata : “Persaudaraan yang saya maksudkan ialah hati-hati dan roh-roh dihubungkan dengan ikatan akidah. Akidah adalah hubungan yang paling ampuh dan berharga. Persaudaraan adalah saudara iman dan perpecahan adalah saudara kufur. Kekuatan yang pertama ialah kekuatan perpaduan. Perpaduan tidak akan wujud tanpa kasih sayang. Rasa kasih sayang yang paling rendah ialah berlapang dada (bersikap terbuka) dan paling tinggi ialah mengutamakan orang lain.”
Rujukan :
- Tafsir Ibnu Katsir
- Tafsir al-Maudhui li Suwar al-Quran al-Karim.
- Syarah Hadis 40 Imam al-Nawawi & Tatmim al-Kafi.