KAKI WANITA ADALAH AURAT: Antara Kejahilan atau Kesengajaan
Jika kita telusuri perbahasan ulama mengenai aurat, maka kita akan lihat berlaku khilaf dalam membincangkan anggota yang menjadi aurat bagi lelaki. Namun, bagi perempuan, sepakat para ulama’ menyatakan bahawa aurat seorang wanita terhadap lelaki yang bukan mahram ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan tapak kaki. Namun, berapa ramai wanita pada hari ini yang sedar akan tuntutan kepada perlunya menutup aurat sehinggakan ramai yang pada hari ini masih bangga mendedahkan perhiasan diri mereka kepada khalayak. Adakah mereka ini masih jahil atau tergolong dalam golongan yang sengaja mencari murka Allah. Sedarilah bahawa setiap yang diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya, pasti ada hikmah dalam menjaga maslahah mereka yang mengaku beriman.
Seperti mana yang telah dimaklumkan, aurat wanita adalah seluruh tubuhnya iaitu dari hujung rambut hingga hujung kaki kecuali muka dan pergelangan tangannya. Ia telah direkodkan dalam hadith sahih yang berbunyi:
Asma’ binti Abu Bakar telah masuk ke tempat Rasulullah s.a.w berada sedangkan dia memakai pakaian nipis. Rasulullah s.a.w lalu berpaling daripada memandangnya sambil berkata, “Wahai Asma’ sesungguhnya seorang wanita itu apabila telah baligh (haid) maka tidak boleh baginya menampakkan tubuhnya kecuali ini dan ini, seraya menunjukkan wajah dan telapak tangannya.” (H.R. Abu Daud)
Di zaman moden kini tak ramai yang mahu menutup aurat sepenuhnya seperti mana yang dilandaskan oleh syarak. Bahkan dalam semua anggota yang perlu ditutup bagi seorang wanita, ada satu anggota yang sering terlepas daripada menutupnya iaitu kaki. Mungkin ada yang beranggapan kaki bukanlah suatu yang wajib ditutup kerana ia tidak mendatangkan syahwat kepada lelaki, namun tanggapan itu jelas salah. Ada juga yang mungkin tidak mengetahui bahawa pergelangan kaki adalah termasuk daripada aurat yang wajib ditutup wanita. Zaman kini wanita beranggapan bahawa pergelangan kaki bukan lagi satu aurat walhal dalam Al-Quran telah jelas menyuruh wanita menutup aurat sepenuhnya.
“Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani” (Al-Ahzab, 33:59)
Namun kerana pergelangan kaki adalah anggota paling bawah dan sentiasa terdedah, maka ada rukhsah (keringanan) ke atasnya dalam menutupinya. Antaranya ialah:
1)Wanita yang di mana adik iparnya (adik lelaki kepada suaminya) tinggal tetap bersamanya dan suami dibenarkan untuk tidak menutup aurat kaki (pergelangan kaki) di dalam rumahnya oleh kerana ia akan sentiasa sibuk membuat kerja rumah yang mungkin mendedahkan ia dengan basah pada kaki. Namun jika adik iparnya bukan tinggal tetap (tempoh masa lama) bersama abangnya, maka tidak dibenarkan atas keringanan ini.
2)Wanita yang sibuk membuat kerja dapur, di mana dia terdedah kepada persekitaran dan pekerjaan yang basah, tatkala itu pula terdapat orang bukan mahram memasuki dapur untuk sesuatu hajat, maka keringanan ke atasnya untuk tidak menutup pergelangan kaki.
Oleh itu, tutuplah aurat kaki dengan apa cara sekalipun, sama ada melabuhkan kain sehingga tidak menampakkan pergelangan kaki atau gunalah cara mudah iaitu memakai stoking yang tebal supaya tidak ternampak pergelangan kaki dan warna kulit. Jika kita sudah menutup aurat dengan memakai tudung yang labuh, baju yang longgar, tetapi pergelangan kaki masih tidak tertutup, itu menandakan kita punya masalah dalam memahami aurat yang dilandaskan syarak. Pakailah pakaian seperti mana kita solat kerana solat kita hanya sah dengan menutup aurat dengan sempurna. Bahkan antara hikmah disyariatkan menuntup aurat ini adalah untuk menjaga kehormatan seorang wanita Islam disamping mengelakkan para ajnabi daripada melihat mereka dengan pandangan syahwat yang mampu merosakan diri mereka.