PERISTIWA PENTING DALAM BULAN SYAABAN.
Bulan Syaaban adalah merupakan bulan kelapan di dalam tahun Hijrah dan ia merupakan bulan kedua selepas Rejab yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan. Syaaban berasal daripada perkataan ‘sya’ba’ yang bermaksud berpecah dan menyimpang. Syaaban juga membawa maksud ‘bulan pemisah’ kerana ia memisahkan antara bulan Rejab dan Ramadan. Jika Rejab dianggap sebagai bulan ujian dan Ramadan sebagai bulan latihan, maka Syaaban yang mulia ini adalah sebagai bulan persediaan dan persiapan bagi melakukan kebaikan sebanyak mungkin termasuk memerangi hawa nafsu.
Selain menjadi bulan yang hampir dengan Ramadan dan sebagai bulan persiapan untuk menghadapi puasa di bulan Ramadhan, ada beberapa hal yang sering diperingati secara rutin pada setiap kali menjelang bulan Syaaban, iaitu pada malam nisfu Syaaban. Selain malam Nisfu Syaaban ada juga beberapa peristiwa penting yang terjadi pada bulan Syaaban. Disebutkan di dalam kitab “Ma Dza fi Sya’ban?” karya Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki Rahimahullahu, beliau menyebutkan ada tiga peristiwa penting yang perlu bagi kita untuk ingati dan hayati.
1. Peralihan kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram yang terjadi pada bulan Syaaban. Menurut Imam Al-Qurthubi Rahimahullahu ketika mentafsirkan Surah Al-Baqarah ayat 144 dalam kitab “Al-Jami’ li Ahkamil Qur’an” dengan mengambil pendapat daripada Abu Hatim Al-Busti (Ibnu Hibban) mengatakan bahawa Allah SWT memerintahkan baginda Nabi Muhammad SAW untuk mengalihkan arah kiblat pada malam selasa di bulan Syaaban yang bertepatan dengan malam nisfu Syaaban. Peralihan kiblat ini merupakan suatu hal dan keadaan yang sangat dinantikan oleh baginda Nabi Muhammad SAW. Bahkan diceritakan bahawa baginda Nabi Muhammad SAW berdiri menghadap ke langit setiap hari bagi menunggu wahyu berkenaan peralihan arah kiblat. Seperti mana yang disebutkan di dalam Surah Al-Baqarah (ayat 144):
قَدْ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِي السَّمَاءِ ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضَاهَا ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ ۚ وَحَيْثُ مَا كُنتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُ ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِن رَّبِّهِمْ ۗ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ
(Maksudnya: “Sungguh Kami melihat wajahmu sering mendongak ke langit, maka sungguh akan kami palingkan engkau ke kiblat yang engkau senangi. Maka hadapkanlah wajahmu ke arah Masjidilharam.Dan di mana sahaja engkau berada, hadapkanlah wajahmu kearah itu. Dan sesungguhnya orang-orang yang diberi Kitab (Taurat dan Injil) tahu bahawa (peralihan kiblat) itu adalah kebenaran daripada Tuhan mereka. Dan Allah tidak lalai terhadap apa yang mereka lakukan).
2. Amalan kita diangkat dan dipersembahkan kepada Allah SWT di dalam bulan Syaaban. Salah satu hal yang menjadikan bulan Syaaban sebagai bulan yang perlu untuk diutamakan adalah bahwa pada bulan ini segala amal perbuatan kita diserahkan kepada Allah SWT. Sayyid Muhammad bin Alawi Al-Maliki mengutip sebuah hadis riwayat An-Nasa’i yang meriwayatkan perbualan Usamah bin Zaid dengan baginda Nabi Muhammad SAW. “Wahai Nabi, aku tidak melihatmu berpuasa di bulan-bulan lain sebagaimana engkau berpuasa di bulan Syaaban?” Kemudian Rasulullah SAW menjawab, “Banyak manusia yang lalai di bulan Syaaban. Pada bulan itu semua amal diserahkan kepada Allah SWT. Dan aku suka ketika amalku diserahkan kepada Allah, ketika itu aku dalam keadaan berpuasa.” Penyerahan amal yang dimaksud dalam hal ini adalah penyerahan seluruh susunan data penyimpanan amal kita secara penuh. Walaupun, menurut Sayyid Muhammad Alawi Rahimahullah, ada beberapa waktu tertentu yang menjadi waktu penyerahan amal kepada Allah selain bulan Syaaban, iaitu setiap siang, malam, setiap minggu. Terdapat juga beberapa amal yang diserahkan langsung kepada Allah SWT tanpa menunggu waktu-waktu tersebut, iaitu seperti catatan amal solat lima waktu.
3. Penurunan ayat berkenaan anjuran untuk berselawat kepada baginda Rasulullah SAW pada bulan Syaaban, juga diturunkan ayat berkenaan anjuran untuk berselawat kepada baginda Nabi Muhammad SAW, iaitu dalam Surah Al-Ahzab ayat 56:
إِنَّ اللَّهَ وَمَلَائِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ ۚ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
Maksudnya, “Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu untuk Nabi Muhammad SAW dan ucapkanlah salam dengan penuh penghormatan kepadanya.” kebanyakkan para ulama mengatakan bahawasanya bulan Syaaban adalah merupakan bulan selawat. Kerana pada bulan itulah ayat tentang anjuran untuk berselawat diturunkan. Pendapat ini dikuatkan lagi oleh pendapat Imam Syihabuddin Al-Qastolani dalam Al-Mawahibnya, serta Imam Ibnu Hajar Al-Asqalani yang mengatakan bahwa ayat itu turun pada bulan Syaaban tahun ke-2 hijrah.
Para ulama salaf juga memberikan didikan kepada kita bahawa jika tibanya bulan Syaaban, mereka memperbanyakkan membaca Al-Qur’an serta menginfakkan sama ada dari sudut tenaga, harta benda, makanan dan minuman bagi membantu orang-orang mempersiapkan bekal memasuki Ramadan yang bakal tiba. Mereka juga meninggalkan berbagai kesibukan duniawi dan beralih untuk bersiap-siap menyambut kedatangan bulan suci Ramadan. Di bulan Syaban juga, mereka memperbanyakkan berpuasa, berzikir dan sentiasa menghidupkan malam dengan solat. Mereka menamakan bulan ini syaaban ini sebagai syahrul qurra’ (bulan bagi para pembaca Al-Qur’an). Semoga kita semua sentiasa menjadi umat baginda Nabi Muhammad SAW yang sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan segala amal kebajikan di bulan yang mulia ini.