PERKARA YANG PALING DIBENCI ALLAH TAPI DIBOLEHKAN?
Islam melihat institusi kekeluargaan adalah amat penting dalam melahirkan generasi-generasi yang hebat. Bahkan jika kita melihat kepada fiqh Islami, kita akan dapati bahawa para fuqaha’ amat mementingkannya sehinggakan dalam kebanyakan kitab fiqh dan hadith pasti akan adanya satu kitab yang dinamakan al-Nikah yang mana membicarakan segala perkara yang berkaitan dengan nikah dan perceraian. Ini menunjukkan bahawa perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah dan cerai ini bukanlah sesuatu perkara yang boleh diremehkan bagi umat Islam.
Mengetahui hakikat kehidupan berkeluarga, awal-awal lagi Islam telah meletakkan garis panduan dalam memilih pasangan agar bahtera perkahwinan yang bakal dilayarkan dapat belayar dengan aman. Sekiranya badai melanda di tengah-tengah pelayaran, nakhoda tahu akan tugasnya untuk mengendali dan memandu bahtera tersebut betul pada laluannya kembali.Walaubagaimanapun, jika segala usaha telah dilakukan untuk mempertahankan institusi kekeluargaan itu tetapi hanya perceraian sahaja jalan keluarnya, maka Islam membenarkannya. Proses permohonan perceraian boleh dimohon melalui Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 juga telah menyatakan seseorang suami atau seseorang isteri yang hendak bercerai hendaklah menyerahkan suatu permohonan untuk perceraian kepada Mahkamah dalam borang yang ditetapkan, disertai dengan suatu akuan.[1]
Penceraian merupakan sesuatu yang tidak disukai oleh Islam tetapi dibolehkan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Perceraian dalam bahasa Arab dikenal dengan istilah talaq, yang secara etimologi adalah: “Talak secara bahasa adalah melepaskan tali”. Perceraian, dari segi bahasa Arab, bererti tindakan melepaskan atau menguraikan ikatan. Contohnya suami mengeluarkan lafaz “Aku ceraikan kau” atau “Aku lepaskan kau.[2] Lafaz perceraian boleh dibahagikan kepada 2 jenis iaitu dalam bentuk jelas (sareh) ataupun dalam bentuk tidak jelas atau sindiran (kinayah). Dari segi istilah pula bermaksud keruntuhan hubungan perkahwinan dan terputusnya hubungan suami isteri dengan bersebab. Talak merupakan perkara yang dibenci Allah s.w.t tetapi dibenarkan mengikut syarak dan dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman:
الطَّلاَقُ مَرَّتَانِ فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ
Maksudnya: Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. (Surah Al-Baqarah, 2:229)[3]
Menurut imam Ibnu Kathir, masyarakat Arab jahiliyyah pada waktu dahulu tiada satu sistem yang teratur untuk penceraian. Mereka boleh menceraikan isteri mereka sesuka hati dan rujuk semula walaupun beberapa kali sehingga ratusan kali. Maka, agama Islam datang kemudiannya untuk mengajarkan bahawa talak yang boleh dirujuk adalah sebanyak dua kali dan jika tidak mahu untuk dirujuk maka lepaskanlah isteri tersebut dengan baik tanpa menzaliminya.
Di dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “Perkara halal yang paling dibenci pada sisi Allah ialah talak.” (Riwayat Abu Daud). Berdasarkan hadis ini, meskipun talak dibenarkan oleh syarak, talak tetap menjadi perkara yang dibenci. Penceraian bukanlah sesuatu yang digalakkan oleh agama Islam namun apabila sudah tiada lagi cara dan jalan untuk berdamai bagi menyelamatkan rumah tangga yang dibina, maka penceraian menjadi pilihan yang terakhir.
[1] Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Selangor) 2003
[2] Analisis Perceraian Dalam Komplikasi Hukum Islam, 2012
[3] Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, 2022