POLITIK KENEGARAAN RASULULLAH
HIJRAH & STRATEGI PEMBINAAN NEGARA ISLAM MADINAH
Hijrah Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- ke Madinah membawa hikmah yang besar, iaitu memberi erti kelahiran sebuah negara Islam dan wujudnya sistem pemerintahan Islam (khilafah) di bawah pimpinan Rasulullah sebagai ketua pemerintahan negara.
Usaha menyebarkan Islam sehingga diterima oleh penduduk Madinah bukanlah bermula setelah hijrah, akan tetapi ianya telah bermula sejak penurunan wahyu ketika Nabi -صلى الله عليه وسلم- berada di Mekah. Seruan Baginda mengajak manusia kepada jalan Allah dan agama Islam terus berjalan dan telah menarik hati para pengunjung Baitullah pada musim haji.
Rentetan daripada itu, Rasulullah mengutuskan Mus’ab bin Umair untuk mengajar penduduk Madinah membaca al-Quran dan mengajar segala sesuatu mengenai Islam dan untuk mematangkan mereka soal-soal agama.[1] Pada tahun yang mendatang, telah diwujudkan perjanjian-perjanjian yang menjamin kedudukan Rasulullah di Madinah.[2]
Ketika awal ketibaan Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- di Madinah, terdapat tiga perkara utama yang dilakukan oleh Baginda -صلى الله عليه وسلم- , sebagai asas pembinaan masyarakat yang baharu, iaitu :
- Pembinaan masjid.
- Mempersaudarakan diantara seluruh kaum Muslimin, khususnya orang Muhajirin dan Ansar.
- Memetrikan sebuah perlembagaan yang didalamnya ditentukan garis-garis kasar sistem penghidupan umat Islam sesama sendiri, dan menjelaskan perhubungan dengan bangsa lain secara umum dan bangsa yahudi secara khusus.[3]
PERLEMBAGAAN MADINAH – ASAS PEMBENTUKAN NEGARA ISLAM YANG MAPAN DAN DINAMIK
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, mapan bermaksud; mantap, stabil, teguh dan dikenali.[4] Manakala maksud dinamik pula ialah ; bertenaga dan berkekuatan serta mampu membuat penyesuaian serta menerbitkan pembaharuan dan kemajuan.[5] Piagam ataupun perlembagaan Madinah yang dibentuk oleh Rasulullah -صلى الله عليه وسلم- , telah membentangkan beberapa fasal berkaitan perjanjian umat Islam dengan golongan bukan Islam. Ianya termasuk perjanjian yang berkait dengan urusan golongan Yahudi Madinah.
Pembentukan perlembagaan ini dijadikan sebagai landasan utama yang dipersetujui bersama oleh kaum Muslimin, serta penduduk Madinah. Hal ini menjadi bukti bahawa masyarakat Islam pada awalnya telah wujud berasaskan perlembagaan dan tata pentadbiran yang lengkap. Kewujudan perlembagaan ini juga menjadi bukti bahawa Islam ialah agama dan politik.
Hakikatnya, kewujudan perlembagaan ini adalah sebagai suatu platform ke arah pelaksanaa hukum-hukum syariah Islamiyyah dalam masyarakat dan negara. Hukum hakam syariat tidak akan dapat dilaksanakan dimana-mana pun seandainya perlembagaan yang diusahakan oleh Rasulullah tidak terlaksana dengan jayanya.[6]
Demikianlah juga sekiranya umat Islam mengabaikan aspek pemerintahan Islam dalam pembinaan masyarakat muslim[7], nescaya hukum hakam syariat tidak dapat dilaksanakan secara sempurna. Seperti kata al-Imam al-Ghazali r.h dalam al-Iqtisad fi al-I’tiqad :
الدِّينُ أُسٌّ والسُّلْطَانُ حَارِسٌ وَمَا لَا أُسَّ لَهُ فَمَهْدُومٌ وَمَا لَا حَارِسَ لَهُ فَضَائِعٌ[8]
Maksudnya: “Agama itu adalah asasnya sedangkan pemerintah sebagai pengawalnya. Apa yang tidak ada asasnya, nescaya boleh membawa keruntuhan dan apa yang tidak ada pengawalnya akan menjadi hilang.”[9]
[1] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2008. Fiqh al-Sirah (terj.Ustadh Mohd Darus Sanawi ‘Ali). Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 2/214
[2] Perjanjian ‘Aqabah.
[3] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2008. Fiqh al-Sirah (terj.Ustadh Mohd Darus Sanawi ‘Ali). Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 2/271
[4] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=mapan
[5] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=dinamik
[6] Muhammad Sa’id Ramadan al-Buti. 2008. Fiqh al-Sirah (terj.Ustadh Mohd Darus Sanawi ‘Ali). Selangor : Dewan Pustaka Fajar (DPF). 2/289
[7] seperti terpedaya dengan pemikiran sekular
[8] Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali al-Tusi. 2004. Al-Iqtisad fi al-I’tiqad. Beirut – Lubnan : Dar al-Kutub al-Ilmiyyah. 128.
[9] Bayan Linnas Siri Ke-209: Politik Dalam Islam. https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3630-bayan-linnas-siri-ke-209-politik-dalam-islam diakses pada 6 Julai 2023.