Bumi Kelahiran Nabi Yang Dirindui
Rasulullah SAW dilahirkan di sebuah negeri yang Allah SWT telah memuliakannya dan mengangkat kedudukannya sehingga menjadi negeri paling dicintai oleh Allah SWT. DI situlah terdapat pelbagai kelebihan dan sejarah para nabi yang perlu diambil iktibar oleh kita semua.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi, Nabi SAW bersabda:
وَاللَّهِ إِنَّكِ لَخَيْرُ أَرْضِ اللَّهِ وَأَحَبُّ أَرْضِ اللَّهِ إِلَى اللَّهِ وَلَوْلَا أَنِّي أُخْرِجْتُ مِنْكِ مَا خَرَجْتُ
Maksudnya: Demi Allah, sesungguhnya kamu (Bumi Mekah) merupakan sebaik-baik bumi Allah dan [merupakan] bumi yang paling dicintai oleh Allah. Kalaulah tidak kerana aku dihalau keluar darimu, aku tidak akan keluar.
Mekah merupakan bumi yang dimakmurkan oleh bapa para Nabi iaitu nabi Ibrahim A.S dan memiliki banyak fadhilat seperti yang telah dinyatakan dalam al- Quran serta hadis Nabi SAW. Allah SWT berfirman dalam surah Ali-Imran, ayat 96:
إِنَّ أَوَّلَ بَيۡتٖ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكٗا وَهُدٗى لِّلۡعَٰلَمِينَ ٩٦
Maksudnya: Sesungguhnya rumah (ibadah) pertama yang dibangunkan untuk manusia, ialah (Baitullah) yang di Bakkah (Mekah) yang diberkati dan menjadi petunjuk kepada seluruh alam.
Secara umumnya, kita sudah mengetahui bahawa Baitullah ini diperbaharui binaannya pada zaman Nabi Ibrahim A.S. Dengan keberkatan daripada doa baginda, negeri Mekah ini menjadi makmur serta menjadi tumpuan ramai jemaah haji dan para peniaga yang singgah ke kota Mekah, khususnya setelah munculnya mata air Zamzam sebagaimana pada kisah Nabi Ismail A.S yang masyhur. Lokasinya juga yang strategik di antara negeri perdagangan Syam dan Yaman banyak menyumbang ke arah kemajuan serta kemakmuran di kota yang diberkati ini.
Bumi Mekah disebut sebagai Tanah Haram yang bermaksud diharamkan untuk kita menumpahkan darah di dalamnya. Bahkan sebelum kedatangan Islam itu sendiri, masyarakat Quraisy sememangnya sangat menghormati Bilad Allah al-Harām; iaitu Mekah, sehingga tidak dibenarkan untuk membunuh atau menumpahkan darah di tanah suci Mekah. Bahkan seandainya seseorang itu mendapati pembunuh ayahnya di hadapan matanya sendiri di kota Mekah, pembunuh tersebut tidak boleh diapa-apakan. Dia hanya akan ditangkap ataupun diselesaikan urusan pembalasannya di luar kota Mekah. Hal ini menyebabkan Mekah menjadi tempat yang dicemburui oleh pelbagai kawasan.
Firman Allah SWT di dalam surah al-Ankabut, ayat 67:
أَوَ لَمۡ يَرَوۡاْ أَنَّا جَعَلۡنَا حَرَمًا ءَامِنٗا وَيُتَخَطَّفُ ٱلنَّاسُ مِنۡ حَوۡلِهِمۡۚ أَفَبِٱلۡبَٰطِلِ يُؤۡمِنُونَ وَبِنِعۡمَةِ ٱللَّهِ يَكۡفُرُونَ ٦٧
Maksudnya: TIdakkah mereka perhatikan, bahawa kami telah menjadikan (negeri mereka) tanah suci yang aman, padahal manusia di sekitarnya saling merompak. Mereka (setelah nyata kebenaran) mereka masih percaya kepada yang batil dan ingkar kepada nikmat Allah?
Begitu juga kisah yang biasa kita dengari berkaitan tentera bergajah yang hendak menyerang Kaabah. Itulah Abrahah yang datang bersama bala tenteranya untuk meruntuhkan Kaabah kerana cemburu kepada kota mulia tersebut. Walaupun begitu, sebelum masuk ke Kota Mekah, pasukan tersebut telah diserang burung-burung yang melemparinya dengan batu-batu kecil sehingga mereka musnah. Allah SWT telah menceritakan kisah tersebut di dalam al- Qur’an, iaitu pada surah al-Fil, ayat 1 hingga 5:
أَلَمۡ تَرَ كَيۡفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِأَصۡحَٰبِ ٱلۡفِيلِ ١ أَلَمۡ يَجۡعَلۡ كَيۡدَهُمۡ فِي تَضۡلِيلٖ ٢ وَأَرۡسَلَ عَلَيۡهِمۡ طَيۡرًا أَبَابِيلَ ٣ تَرۡمِيهِم بِحِجَارَةٖ مِّن سِجِّيلٖ ٤ فَجَعَلَهُمۡ كَعَصۡفٖ مَّأۡكُولِۢ ٥
Maksudnya:
1. Tidakkah engkau (Muhammad) memerhatikan bagaimana Tuhanmu telah bertindak terhadap pasukan bergajah?
2. Bukankah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia?
3. Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung yang begitu banyak jumlahnya.
4. Yang melempari mereka dengan batu daripada tanah liat yang dibakar.
5. Sehingga mereka dijadikan-Nya seperti daun-daun yang dimakan (ulat).
Kesimpulannya, bumi Mekah merupakan bumi yang barakah dan bumi tempat lahirnya Nabi kita yang tercinta. Di situlah insan agung ini membesar, menetap dan mengharungi kehidupannya di sana lebih 50 tahun lamanya. Tanamlah cita-cita untuk kita pergi ke bumi Mekah, supaya mendapat banyak manfaat dan keberkatan dalam hidup kita.