RASULULLAH SAW CONTOH IKUTAN TERBAIK
Inilah insan yang Allah SWT menjadikannya sebagai qudwah (teladan) dan uswah (contoh) kepada kita semua untuk mencontohinya dalam segenap kehidupan kita. Ianya bukan sekadar dalam urusan amal ibadah sahaja, bahkan jua dalam seluruh jalan kehidupan kita sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab, ayat 21:
لَّقَدۡ كَانَ لَكُمۡ فِي رَسُولِ ٱللَّهِ أُسۡوَةٌ حَسَنَةٞ
Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu satu teladan yang baik untuk kalian [ikuti dan teladani].
Dalam bab ibadah, Nabi Muhammad SAW telah memerintahkan umatnya untuk mengikuti petunjuk sempurna baginda dalam beribadah. Sebagaimana contoh ibadah solat, dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلَّى
Kamu semua solatlah sebagaimana kamu semua melihat aku solat.
Oleh itu, jika kita ingin melakukan suatu amalan yang sempurna dan diterima oleh Allah SWT, maka sudah pastilah kita perlu mengikuti dan menuruti sunnah serta pedoman baginda SAW yang berperanan sebagai utusan Allah SWT yang menjelaskan tentang hakikat dan kaifiat menunaikan hak Yang Maha Pencipta.
Ketika kita solat, kita akan melakukan takbir, berdiri, membaca al-Fatihah, rukuk, iktidal, sujud, menoleh ke kanan dan ke kiri ketika memberi salam persis apa yang diajarkan oleh Nabi Muhammad SAW. Kita tidak boleh berlebihan melaksanakan kewajipan solat sehingga lebih daripada lima waktu sehari yang telah disyariatkan oleh agama Islam. Malah, kita tidak dibolehkan untuk menambah sebarang rakaat mahupun sebarang amal ibadah lain yang tidak ditunjuk atau diajar oleh baginda SAW.
Nabi Muhammad SAW mengajar serta meminta kita untuk menunaikan ibadah haji sebagaimana yang telah baginda laksanakan baik dari sudut rukunnya, amalannya atau tatacaranya. Dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:
خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ
Ambillah daripadaku tatacara pengerjaan haji kamu semua.
Justeru dalam suatu ibadah itu, kita tidak boleh mengadakannya semata-mata kerana dirasakan ianya baik menurut neraca fikiran kita, sedangkan ianya tidak pernah dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW dan tiada pula saranannya dalam agama Islam.
Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim Rahimahumullah dalam kedua- dua hadis sahih mereka, tiga orang lelaki datang ke rumah Saidatina A’ishah R. Anhuma iaitu rumah Nabi Muhammad SAW, lalu mereka bertanya kepada Saidatina A’ishah R. Anhuma – mafhumnya: “Bagaimana ibadah Nabi? Sebab kami melihat Nabi adalah seorang Rasul yang terpelihara dan telah diampunkan oleh Allah atas segala kesilapan yang lalu mahupun yang akan datang. Tetapi kita ini adalah insan biasa yang banyak kekurangan dan dosa, maka ibadah Nabi pasti dahsyat sebagai seorang Rasul!”.
Mereka ini menyangka bahawa kuantiti ibadah Nabi sentiasa berterusan tidak berhenti. Lalu lelaki yang pertama itu berkata: “Sesungguhnya aku akan berpuasa dan tidak akan berbuka”.
Seorang lelaki yang lain pula berkata: “Aku pula akan bangun sepanjang malam (qiyam al-layl) dan aku tak akan tidur”.
Lelaki ketiga pula berkata: “Aku tidak akan berkahwin kerana aku ingin beribadah semata-mata.”
Nabi terdengar perbualan mereka ini, lalu keluar dan bertanya:
أَنْتُمُ الَّذِينَ قُلْتُمْ كَذَا وَكَذَا؟ أَمَا وَاللَّهِ إِنِّي لَأَخْشَاكُمْ لِلَّهِ وَأَتْقَاكُمْ لَهُ، لَكِنِّي أَصُوْمُ وَأُفْطِرُ، وَأَصَلِّي وَأَرْقُدُ, وَأَتَزَوَّجُ النِّسَاءَ
Adakah kalian yang berkata sekian-sekian? Sesungguhnya aku ini demi Allah merupakan manusia yang paling takut kepada Allah dan yang paling bertaqwa kepada Allah. Tetapi aku berpuasa dan aku berbuka, aku bangun solat dan aku tidur serta aku juga berkahwin.
Selain itu, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:
هَلَكَ الْمُتَنَطِّعُونَ
Binasalah mereka yang melampaui batas.
Baginda SAW juga bersabda:
مَنْ رَغِبَ عَنْ سُنَّتِي فَلَيْسَ مِنِّي
Sesiapa yang membenci sunnahku (petunjuk yang ditunjuk oleh aku ini), maka dia bukanlah sebahagian daripada golonganku.
Kesimpulannya, jelas Nabi Muhammad SAW merupakan qudwah (teladan) kepada kita semua baik dari segi amal ibadah mahupun urusan kehidupan seharian kita.