Rasulullah SAW, Insan Paling Dermawan
Dalam hidup kita, barangkali kita akan membaca atau mendengar tentang sifat pemurah seseorang sama ada yang kita kenal mahupun tidak. Dalam sejarah Islam, kita sering didendangkan tentang kemurahan hati para sahabat Nabi seperti Saidina Abu Bakar, Uthman bin Affan dan Abd al-Rahman bin Auf R,Anhum. Namun, kita terlupa bahawasanya insan bernama Muhammad ini jauh lebih pemurah dan dermawan daripada semua para dermawan yang ada sepanjang zaman. Betapa baginda SAW sering menggalakkan umatnya untuk membantu meringankan beban dan berkongsi nikmat dengan pihak yang memerlukan serta membelanjakan harta di jalan Allah SWT. Malah baginda sendiri merupakan contoh tauladan agung dalam bab tersebut sebagaimana yang diceritakan oleh ‘Abdullah bin ‘Abbas:
كَانَ رَسُولُ اللهِ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ في رَمَضَانَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ ﷺ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنَ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ
Rasulullah SAW merupakan manusia yang paling pemurah. Baginda menjadi paling pemurah pada bulan Ramadan. Sungguh, kemurahan baginda lebih laju daripada angin yang bertiup.
Maksudnya: Nabi Muhammad SAW merupakan seorang yang sangat bermurah hati untuk memenuhi keperluan sesiapa sahaja yang datang meminta. Bahkan dalam sebuah hadis, seorang lelaki pernah datang kepada baginda SAW untuk meminta pemberian, maka baginda SAW memberikan kepadanya sedekah. Kemudian sahabat yang sama ini datang meminta lagi, lalu baginda SAW tetap jua memberikan dengan penuh kasih sayang. Kemudian sahabat tersebut datang sekali lagi buat kali yang ketiga dengan hajat yang sama, maka baginda SAW pun berkata kepadanya: “Sudah tidak ada lagi padaku (barang untuk aku berikan). Sekiranya aku ada lagi (memiliki apa yang kamu perlukan), nescaya aku akan berikan padamu. Tetapi sekarang ini apa yang aku mampu berikan kepada kamu ialah sebuah nasihat.”.
Nasihat tersebut digenggam rapi oleh sahabat tersebut sehinggakan sahabat tersebut tidak pernah lagi didapati meminta-minta kepada orang lain. Bahkan beliau juga tidak pernah mengambil haknya dalam rampasan hasil daripada peperangan yang dilaluinya pada zaman Khalifah Abu Bakar dan Khalifah Umar dengan alasan untuk memelihara hatinya daripada mengharapkan suatu pemberian.
Pernahkah kita terfikir, atau berasa kagum dan takjub, bagaimana Nabi Muhammad SAW mampu memberikan segala harta yang baginda miliki tanpa ragu-ragu seolah-olah tiada langsung sekelumit keinginan terhadap harta dunia?
Namun tatkala kita mengetahui bahawa baginda SAW pernah disingkapkan padanya isi syurga yang penuh keindahan tidak terungkap dan pernah naik ke langit yang tinggi ketika peristiwa Isra’ dan Mi’raj, tahulah kita bahawa pasti baginda SAW benar-benar dapat merasakan bahawa kesenangan dunia dan seisinya ini langsung tiada nilai jika dibandingkan dengan nikmat syurga serta tiadalah kesukaran dunia berbanding kengerian neraka.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Nabi Muhammad SAW bersabda:
يُؤْتَى بِأَنْعَمِ أَهْلِ الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ النَّارِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، فَيُصْبَغُ فِي النَّارِ صَبْغَةً، ثُمَّ يُقَالُ لَهُ: يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ خَيْرًا قَطُّ؟ هَلْ مَرَّ بِكَ نَعِيمٌ قَطُّ؟ فَيَقُولُ: لَا، وَاللهِ يَا رَبِّ، وَيُؤْتَى بِأَشَدِّ النَّاسِ فِي الدُّنْيَا مِنْ أَهْلِ الْجَنَّةِ، فَيُصْبَغُ فِي الْجَنَّةِ صَبْغَةً فَيُقَالُ لَهُ: يَا ابْنَ آدَمَ هَلْ رَأَيْتَ بُؤْسًا قَطُّ؟ هَلْ مَرَّ بِكَ شِدَّةٌ قَطُّ؟ فَيَقُولُ: لَا، وَاللهِ يَا رَبِّ، مَا مَرَّ بِي بُؤْسٌ قَطُّ، وَلَا رَأَيْتُ شِدَّةً قَطّ
Dibawakan orang yang paling nikmat di dunia dalam kalangan ahli neraka pada Hari Kiamat lalu dicelup ke dalam neraka dengan satu celupan. Kemudian ditanyakan kepadanya: “Wahai anak Adam, adakah kamu pernah melihat sebarang kesenangan? Adakah kenikmatan pernah muncul dalam hidupmu”? Orang itu menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai Tuhanku!”. Dibawakan pula seseorang yang paling susah hidupnya di dunia dalam kalangan ahli syurga, lalu dicelup ke dalam syurga dengan satu celupan, lantas ditanyakan kepada beliau: “Wahai anak Adam, adakah kamu pernah melihat sebarang kesusahan? Adakah kesempitan pernah muncul dalam hidupmu”? Dia menjawab: “Tidak, demi Allah, wahai Tuhanku! Tidak pernah muncul kesusahan dalam hidupku dan saya tidak pernah melihat sebarang kesempitan”.
Baginda SAW yakin dan mengerti bahawa muamalah dengan Allah SWT pasti tidak akan rugi, kerana gantiannya dijamin dan pastinya lebih baik. Firman Allah SWT dalam Surah Saba’, ayat 39:
وَمَآ أَنفَقۡتُم مِّن شَيۡءٖ فَهُوَ يُخۡلِفُهُۥۖ وَهُوَ خَيۡرُ ٱلرَّٰزِقِينَ ٣٩
Apa sahaja yang kamu nafkahkan), maka Dia akan menggantikannya (dengan memberikan yang lebih baik). Dia merupakan sebaik-baik pemberi rezeki.
Sabda Nabi Muhammad SAW sebagai formula dalam bersedekah:
مَا نَقَصَتْ صَدَقَةٌ مِنْ مَالٍ
Tidaklah sedekah itu mengurangkan harta.
Namun, berapa ramai daripada kita yang percaya tentang perkara ini? Berapa ramai yang benar-benar yakin dengan janji ini?
Logiknya jika kita mengeluarkan sebahagian harta kita untuk memberi atau menderma, pasti harta kita akan berkurangan. Itu asas pengiraan dalam matematik. Namun prinsip asas logika dan matematika Nabi Muhammad SAW ialah pada Surah al-Dhariyat, ayat 58:
إِنَّ ٱللَّهَ هُوَ ٱلرَّزَّاقُ ذُو ٱلۡقُوَّةِ ٱلۡمَتِينُ ٥٨
Sesungguhnya Allah lah yang Maha Mengurniakan Rezeki.
Kesimpulannya, jika kita menelusuri dan membaca sirah para Sahabat, kita akan mendapati betapa tingginya tahap kemurahan mereka tatkala agama dan keadaan memerlukan seakan harta itu diletakkan di tangan yang mudah untuk dihulurkan, bukan di hati yang sukar dikeluarkan.
Pernah suatu ketika, tatkala tentera Islām sangat memerlukan sokongan ekonomi kerana keadaan yang begitu sukar ketika itu, sehingga Nabi Muhammad SAW menzahirkan keperihatinan baginda tentang perkara tersebut.
Lalu Saidina Umar R.A datang membawa separuh daripada harta beliau. Hampir tidak mungkin bagi kita pada hari ini untuk memberikan setengah daripada harta kita ini di jalan Allah SWT.
Kemudian tatkala Saidina Umar R.A melihat Saidina Abu Bakar R.A datang menyerahkan hartanya, besar harapan Saidina Umar R.A ketika itu untuk memintas kemurahan sahabat baiknya, lalu Nabi Muhammad SAW bertanya kepada Saidina Abu Bakar R.A: “Apa yang kamu tinggalkan pada keluargamu”?
Saidina Abu Bakar R.A menjawab: “Saya tinggalkan pada mereka Allah dan Rasul-Nya”.
Mendengar jawapan tersebut Saidina Umar R.A pun berkata: “Demi Allah! Saya tidak akan mampu menewaskannya dalam apa jua hal sekalipun buat selamanya!”