SCAMMER : KEUNTUNGAN SEMENTARA YANG TIDAK BERKAT
KEJAHATAN YANG MEMUDARATKAN
Penipuan dalam talian telah menyebabkan berlaku banyak kemudaratan kepada masyarakat dan negara. Aktiviti ini merupakan satu jenayah yang mensasarkan pelbagai strata kehidupan masyarakat. Kelicikan penipuan dalam talian melibatkan kerugian yang bukan sedikit, bahkan terdapat banyak kes dilaporkan yang telah menyebabkan pesara kehilangan wang pencen seumur hidupnya.
Penipuan dalam talian dikatakan menjadi jenayah komersil utama negara dengan kerugian dicatatkan mencecah RM2.9 bilion sepanjang tahun 2017 sehingga Jun 2022.[1]
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, aktiviti penipuan dalam talian mendatangkan kerugian, dan kerugian yang dialami bukan sahaja memberi impak negatif ke atas ekonomi negara malah boleh menjadi pencetus kepada masalah sosial secara umumnya. Perbuatan ini juga mendatangkan masalah kepada individu atau keluarga daripada aspek kewangan yang turut menjejaskan kesihatan mental serta emosi mereka yang terbabit secara khasnya dalam kes ini.[2]
KESAN MAKAN HARTA SECARA ZALIM
Perbuatan penipuan atas talian telah menzalimi banyak pihak terutamanya mangsa tipu. Islam menegah perbuatan curang dalam urusan yang berkait dengan harta orang lain dan memberi ancaman dengan balasan buruk didunia dan azab yang menanti diakhirat. Allah Ta’ala murka terhadap mereka yang menipu dan mengambil harta orang lain secara batil. Hal ini dijelaskan dalam Surah al-Mutoffifin, firman Allah swt :
﴿وَيْلٌ لِلْمُطَفِّفِينَ﴾ [المطففين: 1]
Maksudnya : «Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan)»
Tafsir Fi Zilal dalam mentafsirkan ayat 1 hingga 6 surah ini, meletakkan dan mengkategorikan ayat ini di bawah tajuk ‘Allah mengisytiharkan perang ke atas penipu-penipu dalam dunia perniagaan’. Dalam Surah yang lain, Allah Ta’ala menyatakan larangan memakan harta orang lain secara salah. Firman Allah Ta’ala :
﴿يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ …﴾ [النساء: 29]
Maksudnya : «Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, …»
KEBERKATAN
Al-Barakah menurut kamus al-Muhit bermaksud berkembang, bertambah dan bahagia. Al-Qurtubi dalam mentafsirkan awal Surah al-Furqan menukilkan perkataan al-Zajjaj yang menyatakan : perkataan tabaraka (تَبَارَكَ) berada di atas wazan tafa’ala (تَفَاعَلَ)yang berasal daripada perkataan al-barakati (الْبَرَكَةِ) . Ianya membawa maksud melimpahnya segala kebaikan. Imam Baidhawi dalam tafsirnya menyatakan al-barakah mengandungi makna bertambah, selain bermaksud kekal[3]. Barakah dapatlah disimpulkan sebagai berkembang dan bertambahnya kebaikan, dengan diikuti kekalnya serta berterusan kebaikan tersebut kepada pemiliknya.[4]
Terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa akan dihapuskan keberkatan dalam urusan muamalah sekiranya terdapat unsur-unsur yang menyalahi syariat. Daripada Hakim bin Hizam r.a, Rasulullah SAW telah bersabda:
البَيِّعانِ بالخِيارِ ما لَمْ يَتَفَرَّقا -أوْ قالَ: حتَّى يَتَفَرَّقا- فإنْ صَدَقا وبَيَّنا بُورِكَ لهما في بَيْعِهِما، وإنْ كَتَما وكَذَبا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِما.
Maksudnya: “Pembeli dan penjual mempunyai hak khiyar (pilihan untuk meneruskan akad atau pun tidak) selagi mana mereka belum berpisah -atau Beliau berkata : sehingga berpisah-. Sekiranya mereka berkata jujur dan menjelaskan (kondisi barang dan harganya) dalam jual beli, kedua-duanya akan diberkati. Namun sekiranya mereka berdusta dan menyembunyikan (perkara yang sebenar), maka dihapuskan keberkatan jual beli mereka.” (HR al-Bukhari : 2079)
MUAMALAT ISLAM BERSIH DARIPADA UNSUR KEZALIMAN ATAU PENINDASAN
Dalam perkara yang berkaitan dengan transaksi muamalat dan urus niaga sesama manusia, terdapat elemen-elemen yang dilarang oleh Islam untuk dilakukan. Unsur-unsur yang dilarang ini boleh mempengaruhi serta menyebabkan sesuatu urus niaga itu tidak bertepatan dengan Syariah, haram dan terbatal. Elemen yang dimaksudkan adalah riba, judi (maysir), ketidakpastian (gharar), penipuan atau khianat, dan barangan atau perkhidmatan yang haram.[5]
KESAN MAKAN YANG HALAL VS HARAM
Dalam usaha kita mencari nafkah dan memperbanyakkan harta, hendaklah kita perhatikan serta meneliti sumber pendapatan dan harta agar setiap yang masuk ke dalam perut kita dan ahli keluarga terdiri daripada harta yang halal lagi baik. Sesungguhnya, memakan yang halal akan menambahkan cahaya pada hati serta melembutkannya. Selain itu, ia akan menimbulkan kegentaran dan kekhusyukan terhadap kebesaran Allah, mencergaskan seluruh anggota untuk beribadah dan berbuat taat, mengurangkan kecenderungan hati kepada dunia dan menambahkan ingatan terhadap akhirat. Manakala memakan yang haram atau syubhat pula akan menjauhkan seseorang daripada kebajikan.Hal ini kerana memakan yang haram dan syubhat itu mengeraskan serta menggelapkan hati, mengekang seluruh anggota badan badan daripada beribadat dan taat, serta menjadikannya sentiasa mencintai dunia. Perbuatan ini juga menjadi punca tidak terkabulnya doa, dan tertolaknya amalan.[6]
Kesimpulannya, hendaklah kita menjauhkan diri daripada terlibat dengan industri yang tidak patuh syariah, penipuan dalam talian, menzalimi orang lain dan mengambil harta secara batil, kerana kesan buruknya tidaklah terhenti setakat didunia bahkan kesannya akan berpanjangan sehingga hidup di akhirat.
[1] Mohd Fadhli Mohd Sulaiman. 19 Julai 2022. Utusan Online. Diakses pada 22 November 2022. https://www.utusan.com.my/nasional/2022/07/parlimen-nilai-kerugian-rm2-9-bilion-akibat-penipuan-dalam-talian/
[2] Izz Laily Hussein. 25Jun2022. Portal Berita Harian – Penipuan dalam talian jadi jenayah komersil utama negara. Diakses pada 21 November 2022. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2022/06/969890/penipuan-dalam-talian-jadi-jenayah-komersil-utama-negara
[3] Al-Baidhawi. Tafsir al-Baidhawi ( Anwaru al-Tanzil wa Asrar al-Takwil). 4/117
[4] Abdullah al-Marhul al-Sawalimah. 2003. Al-Barakatu fi al-Rizqi wa al-Asbab al-Jalibah laha fi Doui al-Kitab wa al-Sunnah. Madinah : al-Jami’ah al-Islamiah bi al-Madinah al-Munawwarah. 1/255
[5] Bank Muamalat Malaysia Berhad. T.th. Perbankan Islam Untuk Bukan Islam Dari Perspektif Syariah. 10. Diakses pada 23November 2022. https://www.muamalat.com.my/downloads/media-room/publications/PERBANKAN-ISLAM.pdf
[6] Habib Abdullah al-Haddad. 2014. Terj : An-Nashaaih Ad-Diniyah Wal -Wasaaya Al-Imaniya (Nasihat Agama Dan Wasiat Iman). Singapura : Pustaka Nasional PTE LTD Singapore. 375.