SERUAN DARI MASJID
Masjid adalah lambang tertegaknya syiar Islam disesuatu tempat. Kepentingan masjid dapat dilihat sekiranya kita menelusuri sejarah permulaan Islam di Madinah. Dalam perjalanan hijrah Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- ke Madinah, baginda telah mengasaskan Masjid Quba’ yang Allah -SubhanahuwaTaala- sifatkan sebagai Masjid yang dibina atas dasar taqwa semenjak ia mula dibina.[1] Pembinaan masjid juga menjadi salah satu daripada tiga perkara utama yang dilakukan oleh Baginda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- setelah tiba di Madinah. Masjid pada ketika itu menjadi pusat pentadbiran dan pusat komuniti umat Islam.
IMARAHKAN MASJID, TANDA KEIMANAN
Imarah dari sudut bahasa bermaksud memakmurkan sesuatu tempat.[2] Menurut Kamus Dewan Edisi keempat, imarah bermaksud mengimarahkan, menggerakkan atau menghidupkan suasana di masjid atau surau dengan pelbagai kegiatan berfaedah, yang biasanya berbentuk keagamaan.[3] Firman Allah SubhaanahuwaTaala dalam Surah al-Taubah ayat ke 18 :
﴿إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّهَ فَعَسَى أُولَئِكَ أَنْ يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ١٨﴾ [التوبة: 18]
Maksudnya : «Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk(18)»
Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyatakan, ayat ﴿إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّهِ﴾ merupakan dalil penyaksian bahawa orang-orang yang memakmurkan masjid-masjid Allah mempunyai keimanan yang sahih, kerana Allah swt telah mengikatnya dengan masjid dan mengkhabarkan tentangnya yang sentiasa melazimi masjid. Terdapat juga golongan salaf yang menyatakan : “Sekiranya kamu melihat seseorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlah prasangkamu kepadanya.”[4]
Hal ini seperti mana yang terdapat dalam hadis Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- daripada Abi Said Al-Khudri R.A bahawa Rasullullah -sallallahu’alaihiwasallam- bersabda:
إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَادُ الْمَسْجِدَ فَاشْهَدُوا لَهُ بِالْإِيمَانِ
Maksud: “Apabila kamu sekalian melihat seseorang yang sentiasa pergi ke masjid maka persaksikanlah keimanan untuknya.” (Riwayat al-Tirmizi : 3093)[5]
MAKSUD MENGIMARAHKAN MASJID
Dalam tafsir al-Maraghi, mengimarahkan masjid dalam ayat ke 18 surah al-Taubah juga membawa maksud sentiasa mendatanginya dan mendirikan ibadah didalamnya atau berkhidmat kepadanya dengan membersihkannya serta memperbaiki dan seumpamanya. Dari sudut yang lain pula, mengimarahkan masjid ialah menziarahinya dengan tujuan untuk beribadah didalamnya.[6] Mengimarahkan masjid mengandungi dua aspek, iaitu pertama dengan sentiasa melazimi masjid dan banyak mendatanginya manakala kedua adalah dengan membinanya.[7]
Menurut al-Qahtani dalam kitabnya al-Masajid menyatakan, yang dimaksudkan dengan memakmurkan masjid adalah membina, menjaga kebersihan, melengkapi kemudahan dan prasarananya, dan membuat penerangan. Juga termasuk kategori memakmurkan masjid adalah mendirikan solat didalamnya, banyak mengerjakan solat berjemaah di dalamnya, belajar dan mengajar ilmu-ilmu yang bermanfaat di dalamnya, ilmu yang bermanfaat yang paling agung adalah belajar dan mengajar al-Quran dan melakukan ketaatan lain, serta mengikhlaskan semua bentuk ibadah hanya untuk mencari redha Allah semata.[8]
MASJID LAMBANG KESATUAN UMAT
Firman Allah swt dalam Surah al-Taubah ayat ke 108;
﴿لَا تَقُمْ فِيهِ أَبَدًا لَمَسْجِدٌ أُسِّسَ عَلَى التَّقْوَى مِنْ أَوَّلِ يَوْمٍ أَحَقُّ أَنْ تَقُومَ فِيهِ فِيهِ رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ١٠٨﴾ [التوبة: 108]
Terjemahan: «Jangan engkau sembahyang di masjid itu selama-lamanya, kerana sesungguhnya masjid (Quba’ yang engkau bina wahai Muhammad), yang telah didirikan di atas dasar taqwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah Mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin)(108)»
Menurut Tafsir Ibnu Katsir, ayat ke 108 ini membawa maksud perintah Allah -SubhanahuwaTaala- kepada Rasulullah -sallallahu’alaihiwasallam- untuk solat di Masjid Quba’ yang dibangunkan sejak dari awalnya atas dasar taqwa, iaitu ketaatan kepada Allah -SubhanahuwaTaala- dan Rasulnya untuk menyatukan kalimat orang-orang yang beriman, serta menjadi benteng dan tempat kembalinya orang-orang Islam.[9]
Ayat ini juga turut berkait dengan peristiwa pembinaan masjid dhirar pada zaman Rasulullah yang bertujuan untuk memecahbelahkan perpaduan umat Islam. Lalu Rasulullah mengutuskan sejumlah orang untuk merobohkan masjid dhirar sebelum tibanya Rasulullah ke Madinah.
Masjid perlu berperanan sebagai sebuah institusi penting bagi membangunkan masyarakat. Masjid tidaklah sekadar menjadi tempat solat semata-mata, tetapi ianya juga berperanan sebagai agen menyatu padukan masyarakat serta membantu menyelesaikan urusan mereka.
Masjid yang menjalankan fungsinya dengan baik akan memberikan banyak faedah kepada masyarakat umum seperti menjadi wasilah pembentukan kerohanian, keilmuan, pusat rujukan dan sebagai satu institusi yang menjalankan khidmat kepada masyarakat. Bukan itu sahaja, bahkan fungsi masjid boleh dikembangkan lagi menjadi medan atau solusi bagi memperbaiki masalah ekonomi dan sosial umat.[10]
Kesimpulannya, umat Islam perlu menyedari tanggungjawab mengimarahkan masjid turut terpundak dibahu seluruh umat Islam. Selain itu, masjid perlu berperanan lebih daripada sekadar pelaksanaan ibadah yang khusus sahaja, dan masjid perlu berfungsi secara aktif menjadi pusat komuniti yang penting dalam pembinaan individu dan negara seperti yang telah ditunjukkan pada era Nabi -sallallahu’alaihiwasallam-.
[1] Muhammad al-Khudari Bik. 1998. Terj. Nur al-Yaqin Kitab Sirah Rasulullah S.A.W. Kuala Lumpur : Prospecta Printers Sdn. Bhd.
[2] Kementerian Waqaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait. 2006. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah. T.tp : Tob’u al-Wizarah. 30/298.
[3] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=imarah
[4] Muhammad b. Ahmad b. Abi Bakr al-Khazraji Syams al-Din Al-Qurtubi. 1964. Tafsir al-Qurtubi. Tahqiq: Ahmad al-Burduni & Ibrahim Atfisy. Kaherah : Dar al-Kutub al-Misriyyah. 8/90
[5] Muhammad b. Isa b. Tsaurah b. Musa b. Dhahhak Al-Tirmizi. (1998). Sunan al-Tirmizi. (Abwab Tafsir al-Quran : Bab wa min Surah al-Taubah). Tahqiq : Basysyar ‘Awad Ma’ruf. Beirut : Dar al-Gharb al-Islami. 5/128
[6] Ahmad Mustafa Al-Maraghi. 1946M. Tafsir al-Maraghi. Mesir : Syarikat Maktabah wa Matba’ah Mustofa al-Bab i al-Halabi. 10/72
[7] Fakruddin al-Razi. T.th. Tafsir al-Kabir (Mafatih al-Ghaib). Mesir : Maktabah Abdurrahman Muhammad li Nasyri al-Quran al-Karim wa al-Kutub al-Islamiyyah. 16/9.
[8] Saeid b. Ali b. Wahaf al-Qahtani. Al-Masajid : Mafhum, wa Fadail, wa Ahkam, wa Huquq, wa Adab fi Dou ‘i al-Kitab wa al-Sunnah. 19
[9] Ibn Katsir. 1994. Terj. Tafsir Ibn Katsir. Tahqiq : Dr Abdullah b. Muhammad b. Abdurrahman b. Ishaq al-Sheikh. Bogor : Pustaka Imam asy-Syafi’i. 4/206
[10] Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. 2019. Bayan Linnas Siri Ke-206: Pengimarahan Masjid: Tugas Kita. https://muftiwp.gov.my/en/perkhidmatan/artikel-soal-jawab/3618-bayan-linnas-siri-ke-206-pengimarahan-masjid-tugas-kita (diakses pada 19 Mei 2022).