Signifikan Bunga Raya Pada Negara dan Masyarakat
Bunga raya tidak asing lagi dijumpai di Malaysia. Bersesuaian dengan negara ini iaitu iklim panas dan lembap yang berada di garisan khatulistiwa. Ia tidak bermusim dan akan berbunga sepanjang masa. Bunga raya atau nama saintifiknya Hibiscus rosa-sinensis L. tergolong dalam famili Malvaceae. Merupakan sejenis pokok renek yang boleh mencapai ketinggian 1.5m. Mempunyai pelbagai warna yang mampu menarik serangga untuk melakukan proses pendebungan. Bunga raya atau nama lainnya bunga kembang sepatu atau bunga sepatu juga sangat sinonim dengan masyarakat Malaysia yang menjadikannya sebagai tanaman hiasan dan banyak kelihatan di lukisan-lukisan mural. Ia juga mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang pengetahuan tradisional (traditional knowledge).
Keunikan bunga raya ini terletak pada kepelbagaian bentuk, warna dan spesies. Terdapat hampir 300 spesies bunga raya yang direkodkan. Kepelbagaian ini yang menjadikannya simbolik kepelbagaian kaum, agama dan bangsa di Malaysia yang hidup aman dan harmoni. Bunga raya diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai tahun 1960 oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Selari dengan lima kelopaknya yang melambangkan lima prinsip rukun negara. Warna merah melambangkan keberanian dalam menempuh apa jua cabaran serta keteguhan politik dan ekonomi negara. Bunga ini terus menjadi simbol kebanggaan dan kemegahan negara apabila ia menjadi lambang di logo-logo, lencana, bendera dan setem.
Hibiscus rosa-sinensis L. ini juga berkait rapat dengan pengetahuan tradisional (traditional knowledge) atau TK Pengetahuan tradisional (TK) ialah pengetahuan tentang penggunaan, kemahiran dan amalan yang dibangunkan, dikekalkan dan diwarisi dari generasi ke generasi dalam sesebuah komuniti, kebiasaannya sering menjadi sebahagian daripada identiti budaya atau spiritualnya. TK ini boleh dikenal pasti melalui kajian atau temu bual bersama generasi-generasi veteran (lama) dalam sesebuah komuniti. Ia juga sinonim dengan amalan orang asal. Seperti yang sedia maklum, orang asal menggunakan segala jenis sumber semulajadi di hutan untuk kelangsungan hidup mereka. Terdapat beberapa pecahan nilai TK dan salah satu yang sinonim dengan bunga raya adalah nilai perubatan.
Selain bunga raya menjadi lambang kemegahan negara, ia juga menjadi sumber perubatan pada masyarakat setempat. Setiap daripadanya mempunyai kepentingan dan fungsi tersendiri. Nilai perubatan paling biasa digunakan adalah daun bunga raya yang digunakan untuk mengubati demam panas. Hal ini selaras dengan komponen kimia yang terdapat pada tumbuhan ini iaitu bersifat anti-demam (antipyretic). Daun atau bunganya yang diramas dengan air, dilumurkan ke kepala dan diperap seketika untuk mengurangkan keguguran rambut selain menghitam dan menyihatkan rambut. Daunnya juga boleh disapukan pada bisul dan kudis untuk mengurangkan bengkak dan luka serta dijadikan sebagai tuam untuk melegakan sakit kepala dan bengkak. Ini merupakan antara nilai perubatan yang dikaji oleh FRIM. Setakat ini tiada laporan dilaporkan berkenaan kesan sampingan perubatan ini.
Setiap sumber semulajadi didunia ini umumnya dan di Malaysia khususnya mempunyai nilai-nilai TK yang tersendiri. Ada yang mempunyai kepentingan dalam aestetika, komersial, kosmetik dan sebagainya. Begitu juga bunga raya yang sangat signifikan pada negara dan masyarakat. Walaupun cabang TK ini menghadapi ketirisan ilmu disebabkan kurang kajian dan perginya orang-orang lama bersama ilmunya, seharusnya kita mendokumenkan segala ilmu apa yang masih ada dan boleh dikekalkan untuk rujukan dan pengetahuan generasi akan datang. Sememangnya ekonomi semakin memuncak dan teknologi semakin canggih, kurang manusia yang akan mencari akar dan merebusnya. Tetapi dengan cabang TK ini, ia boleh membawa kepada pengetahuan sains herba yang akan mengenalpasti komponen kimia apa yang membuatkan sesuatu tumbuhan itu mempunyai nilai perubatan yang diamalkan oleh orang lama suatu ketika dahulu.
Seperti bunga raya juga, warna, bentuk dan variasi spesies menjadi simbol keunikannya selain dapat mencantikkan landskap. Ia juga menyimpan nilai biodiversiti yang tersendiri. Oleh itu, berbangga menjadi anak Malaysia yang mengangkat bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara. Sememangnya Malaysia tanah yang kaya dengan khazanah alam semulajadi yang masih banyak belum terungkai.