TREND UMRAH YANG MERISAUKAN, PERGI DEMI CONTENT
Menunaikan umrah adalah antara ibadah yang sangat dituntut dalam Islam sekiranya seseorang itu berkemampuan. Namun, kebelakangan ini, seolah-olah sudah menjadi trend bagi mereka yang menunaikan umrah, kerana lebih sibuk membuat content untuk dimuat naik di media sosial masing-masing berbanding menghayati niat utama perjalanan umrah itu sendiri.
Menurut ahli agamawan, Dr. Kamilin Jamilin turut tampil menyuarakan keresahan beliau mengenai trend umrah yang agak merisaukan ini. Beliau berkata, akhir-akhir ini dilihat ramai selebriti mahupun orang awam sering kali memuat naik kandungan ‘content’ di media sosial apabila berada di Tanah Suci semata-mata demi ‘views’ dan ‘likes’ yang diidamkan.
Hal ini juga merisaukan kerana sepatutnya tanah suci Mekah dan Madinah ini menjadi medan keinsafan pada diri kita agar benar-benar merasa keagungan Allah SWT dan kemuliaan tanah suci itu sendiri agar berubah menjadi lebih baik seusainya pulang daripada sana. Yang menyedihkan kini, terdapat segelintir daripada kita pergi ke Mekah dan Madinah hanya sekadar seolah-olah pergi melancong sahaja, pergi sekadar seronok-seronok untuk mencari populariti dan duniawi tanpa ada sekelumit rasa keinsafan.
Hal ini demikian kerana, di Tanah Suci, kesemua umat Islam tanpa mengira pangkat, darjat, kaya atau miskin, kesemuanya adalah sama sahaja. Perkara ini merisaukan apabila kita acapkali memuatnaik video-video demi content semata kerana hati ini sifatnya berbolak-balik. Boleh sahaja diuji hati ini dengan sifat riak serta bangga diri kerana dapat menjejakkan kaki di bumi Makkah mahupun Madinah seperti kerap kali berkongsi pelbagai gambar jubah dan khimar yang dipakai seperti pergi ke majlis peragaan fesyen. Situasi sebegini amatlah berbeza ketika mana pada era media sosial masih belum diwujudkan.
Justeru, umat Islam seharusnya menzahirkan rasa beruntung dan bersyukur atas peluang untuk mengerjakan ibadat umrah di Mekah dan Madinah. Imam Al-Nawawi berpesan agar golongan yang ingin menunaikan haji dan umrah, meninggalkan perkara yang dilarang sebelum mengerjakan ibadat berkenaan. Beliau menyebut dalam karyanya, maksudnya: “Apabila seseorang itu telah berazam (untuk mengerjakan haji), hendaklah dia memulakan dengan bertaubat dari segala maksiat dan perkara-perkara yang makruh”, Al-Idhah fi Manasik al-Haj wa al-Umrah, 48.
Akhir kata, ingatlah terdapat banyak pahala yang dijanjikan Allah SWT sekiranya kita benar-benar menjaga ke’izzahan kedua-dua tanah suci tersebut. “Tempoh waktu antara satu umrah dengan umrah yang seterusnya merupakan penghapus dosa, dan haji yang mabrur akan menatijahkan balasan syurga”, Riwayat al-Bukhari (1773) dan Muslim (1349).
Semoga kita semua bersama dengan golongan yang mendapat petunjuk dari Allah SWT dan dikurniakan kefahaman yang baik dalam ibadah umrah dan haji agar pada akhirnya, kita semua meraih haji dan umrah yang mabrur dan mabrurah.
Tag:Umrah