ADAB MENGAJAR DAN MEMPELAJARI AL-QURAN
Mutakhir ini, kelas pengajian al-Quran semakin berkembang pesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Ramai umat Islam di seantero dunia yang ingin mempelajari dan membaca al-Quran dalam kehidupan mereka. Namun begitu, sebilangan besar mereka tidak mempelajari adab-adab penting ketika mengajar dan mempelajari al-Quran. Tahukah anda bahawa perkara utama yang perlu diambil perhatian tatkala ingin mendekatkan diri dengan al-Quran ialah menjaga adab-adab dengan kitab suci ini. Hal Ini kerana menjaga adab dengan al-Quran sama ada untuk membaca, menghafal dan bertadabbur ibarat kita menjaga adab dengan Allah s.w.t kerana kitab tersebut ialah kalam Allah yang mulia.
Aspek pertama yang perlu diambil cakna bagi orang yang mengajar dan mempelajari al-Quran ialah niat semata-mata untuk mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Bayyinah, ayat 5:
وَمَآ أُمِرُوٓاْ إِلَّا لِيَعۡبُدُواْ ٱللَّهَ مُخۡلِصِينَ لَهُ ٱلدِّينَ حُنَفَآءَ وَيُقِيمُواْ ٱلصَّلَوٰةَ وَيُؤۡتُواْ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَٰلِكَ دِينُ ٱلۡقَيِّمَةِ ٥
Maksudnya: Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah s.w.t dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan solat serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.
Begitu juga dalam Shahih al-Bukhari dan Muslim, bahawa Rasulullah s.a.w menyatakan, “Sesungguhnya setiap perbuatan itu berdasarkan pada niat dan seseorang itu akan dihitung berdasarkan apa yang dia niatkan”.
Seterusnya, orang yang mengajar dan mempelajari al-Quran hendaklah tidak menyertakan sebarang bentuk keduniaan termasuklah harta, pangkat dan kemewahan dalam niatnya. Ketika seseorang itu mengajarkan al-Quran kepada orang lain, tidak boleh dia mencampurkan niatnya dengan unsur ketamakan iaitu hanya semata-mata mengharapkan habuan dan harta daripada perkhidmatan yang diberikan. Perhatikanlah kepada hadis nabi s.a.w daripada Abu Hurairah r.a yang menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa menuntut ilmu yang membawa kepada keredhaan Allah s.w.t, tetapi dia tidak menuntutnya melainkan bagi mendapat habuan dunia, dia tidak akan mencium haruman syurga pada hari kiamat kelak”. (Direkodkan oleh Imam Abu Daud dengan sanad yang hasan).
Selain itu, bagi seorang guru al-Quran perlulah memiliki akhlak yang terpuji dan nilai-nilai murni dalam diri mereka. Hal ini disebabkan kerana akhlak merupakan salah satu elemen utama dalam proses kehidupan seseorang Muslim. Seorang guru yang berakhlak mulia akan mudah mendidik muridnya supaya berkelakuan baik. Guru al-Quran juga hendaklah berhati-hati dengan sifat hasad, riyak, takbur dan menghina orang lain. Dia juga perlu sentiasa bersikap lemah lembut, sabar, memuliakan orang lain dan berterusan melakukan kewajipan agama termasuklah dalam aspek menjaga penampilan diri.
Di samping itu, bagi pelajar yang mempelajari al-Quran pula mestilah menjaga adab-adab mereka terutama ketika sesi pembelajaran bersama para guru. Antaranya ialah mengelakkan diri daripada perkara yang dapat mengalihkan perhatian daripada pembelajaran al-Quran, melainkan terdapat keperluan yang perlu dipenuhi. Begitu juga hendaklah mereka membersihkan hati daripada niat yang tidak baik supaya mudah menerima al-Quran, menghafal dan mengambil faedah daripadanya. Sebagai pelajar al-Quran juga perlulah patuh kepada guru dan meminta nasihat daripadanya dalam setiap urusan. Bak kata seorang pujangga dalam sebuah ungkapan puisi:
Ilmu itu menjadi musuh kepada pelajar yang meninggi diri, Umpama banjir besar menjadi ancaman kepada tempat yang tinggi.
Secara tuntasnya, seorang penuntut ilmu atau pendidik perlulah berakhlak dengan akhlak mulia yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. Demikianlah antara adab ketika mengajar dan mempelajari al-Quran yang digariskan dalam ilmu adab berdamping dengan al-Quran, karya Imam an-Nawawi yang secara tidak langsung turut sesuai untuk diaplikasikan oleh semua muslim secara umum. Semoga dengan menjaga adab dengan al-Quran akan dipermudahkan lagi proses kefahaman dan penghayatan kita terhadap kitab suci terakhir ini.