Ustaz Apa Hukum Memakai Braces dan Veneer?
PENDAKAP GIGI (braces) adalah alat yang digunakan untuk meluruskan dan memperbaiki kedudukan gigi. Pakar Ortodontik menyatakan ia merupakan rawatan yang dibuat berdasarkan pengkelasan pergigian supaya susunan gigi yang dianggap tidak normal dibetulkan kepada susunan yang lebih baik.
Manakala, SARUNG GIGI atau lebih dikenali sebagai veneer ialah bahan lapisan buatan yang digunakan untuk dilekatkan ke atas permukaan gigi untuk memperbaiki struktur gigi dari sudut bentuk, panjang, lebar gigi atau warna selain dapat melindungi permukaan gigi daripada kerosakan.
Veneer mempunyai pelbagai fungsi yang digunakan untuk perubatan seperti memanjangkan gigi yang pendek akibat haus, mengisi segitiga hitam di antara gigi akibat renggang, memberikan warna, bentuk, simetri yang seragam, membuat gigi kelihatan lurus dan menguatkan gigi yang usang. Oleh itu, individu yang mengalami masalah gigi seperti patah, retak, jarang, tirus dan kuning sesuai menjalankan rawatan veneer gigi.
HUKUM MEMAKAI PENDAKAP GIGI
Hukum asal bagi sesiapa yang mengubah ciptaan Allah sama ada menjarangkan gigi, meminta dilukiskan tatu dan mencukur bulu kening adalah HARAM jika bertujuan untuk KECANTIKAN tanpa sebarang keperluan (hajiyyah).
Daripada Ibnu Mas’ud r.a, Rasulullah SAW bersabda:
لَعَنَ اللَّهُ الْوَاشِمَاتِ، وَالْمُسْتَوْشِمَاتِ، وَالْمُتَنَمِّصَاتِ وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ، الْمُغَيِّرَاتِ خَلْقَ اللَّهِ
Maksudnya: “Allah SWT melaknat wanita-wanita yang melukis tatu dan wanita yang meminta dibuat tatu, wanita-wanita yang mencukur bulu kening dan wanita yang meminta mencukur bulu kening dan wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan yang mana ia mengubah ciptaan Allah SWT.”
(HR Bukhari)
Imam Ibnu Hajar menyebutkan:
“Lafaz “المــُـتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ” membawa maksud mereka merenggangkan gigi untuk KECANTIKAN SEMATA-MATA tanpa sebab yang munasabah. Maka jelas lafaz ini sebagai syarat yang menyatakan bahawa pengharaman ini bergantung kepada niat seseorang itu melakukannya.”
Beliau juga menyebutkan:
وَالْمُتَفَلِّجَاتِ لِلْحُسْنِ يُفْهَمُ مِنْهُ أَنَّ الْمَذْمُومَةَ مَنْ فَعَلَتْ ذَلِكَ لِأَجْلِ الْحُسْنِ فَلَوِ احْتَاجَتْ إِلَى ذَلِكَ لِمُدَاوَاةٍ مِثْلًا جَازَ
Maksudnya: “Wanita-wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan difahami daripada hadis bahawa ia adalah perbuatan tercela, dia melakukannya untuk tujuan kecantikan. Jika ianya dilakukan kerana KEPERLUAN PERUBATAN maka DIHARUSKAN.”
(Kitab Fath al-Bari, 10/372)
Hukum memakai pendakap gigi atau sarung gigi demi menutup aib dan merawat kekurangan gigi adalah DIBOLEHKAN.
Imam Nawawi ada menghuraikan berkenaan lafaz “لِلْحُسْنِ”:
وَأَمَّا قَوْلُهُ الْمُتَفَلِّجَاتُ لِلْحُسْنِ فَمَعْنَاهُ يَفْعَلْنَ ذَلِكَ طَلَبًا لِلْحُسْنِ وَفِيهِ إِشَارَةٌ إِلَى أَنَّ الْحَرَامَ هُوَ الْمَفْعُولُ لِطَلَبِ الحَسَنِ أَمَّا لَوْ اِحْتَاجَت إِلَيْهِ لِعِلَاجٍ أَوْ عَيْبٍ فِي السِّنِّ وَنَحْوِهِ فَلَا بَأْسَ وَاللهُ أَعْلَمْ
Maksudnya: “Wanita yang menjarangkan gigi untuk kecantikan (لِلْحُسْنِ) memberi makna mereka buat perkara tersebut hanya untuk kecantikan dan di dalam hadis ini mengisyaratkan bahawa yang haram itu adalah apa yang dilakukan untuk tujuan kecantikan. Adapun sekiranya berhajat untuk merawat (suatu kekurangan) atau kerana aib pada gigi dan seumpamanya, maka tidak menjadi masalah dan Allah lebih Mengetahui.”
(Kitab Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 14/107)
KESIMPULAN
Pendakap gigi dan sarung gigi ialah satu rawatan yang dilakukan oleh doktor gigi dalam membetulkan SUSUNAN dan FUNGSI gigi yang mengalami masalah. Pendakap gigi membaiki kedudukan gigi di dalam rahang, manakala sarung gigi pula membaiki struktur dan permukaan gigi supaya dilindungi daripada kerosakan.
Melakukan apa-apa yang merubah ciptaan Allah secara kekal adalah HARAM jika bertujuan untuk kecantikan semata-mata tanpa sebarang keperluan. Namun, jika tujuannya bagi membaiki kekurangan, menutup aib serta sebagai rawatan maka DIBOLEHKAN.
Wallahua’lam.