KERANA RIYAK
PENGERTIAN RIYAK.
Takrif riyak ialah menginginkan kedudukan disisi manusia dengan melakukan ketaatan kepada Allah,[1] dan orang yang riyak itu ialah orang yang beribadah dengan menunjuk-nunjuk kepada manusia dengan ibadahnya. Imam al-Ghazali rahimahullah menyatakan hakikat riyak itu ialah menuntut martabat kepujian didalam hati manusia dengan mengerjakan ibadah dan membuat amal kebajikan. Ianya bererti berbuat ibadah atau kebajikan supaya dipuji, diperbesarkan atau supaya dikasihi orang, atau supaya dikatakan orang soleh dan sebagainya.[2]
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, riyak didefinisikan sebagai suatu sifat atau sikap suka menunjuk-nunjukkan amal ibadah atau sesuatu kebaikan dengan tujuan mendapat pujian atau sanjungan daripada orang lain, bukan kerana Allah.
RIYAK ADALAH SYIRIK KECIL
Riyak dalam melakukan perbuatan-perbuatan baik iaitu amalan kebaikan ialah termasuk dalam maksiat hati. Ianya adalah suatu amalan yang dilakukan kerana manusia supaya manusia memujinya. Perbuatan riyak ini menghapuskan pahala amalan dan ia termasuk antara dosa-dosa besar.[3]
Riyak termasuk dalam syirik kecil[4] dan dinamakan juga syirik tersembunyi (خَفِي ) . Para ulama bersepakat mengharamkannya dan syarak juga mencelanya.[5]
Contoh celaan Allah terhadap orang yang riyak sebagaiman firman Allah swt :
﴿فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّينَ٤ الَّذِينَ هُمْ عَنْ صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ٥ الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ٦﴾ [الماعون: 4-6]
Maksudnya : «(Kalau orang yang demikian dikira dari bilangan orang-orang yang mendustakan ugama), maka kecelakaan besar bagi orang-orang Ahli Sembahyang(4) (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya;(5) (Juga bagi) orang-orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaannya)(6)»
Dalam menafsirkan maksud riyak berdasarkan ayat ini, hakikat riyak dinyatakan sebagai menuntut dunia dengan mengerjakan ibadah, dan menuntut martabat kepujian didalam hati manusia.[6] Riyak mempunyai beberapa jenis :
- Memperelokkan penampilan dengan tujuan mendapatkan kemuliaan dan pujian manusia.
- Memakai pakaian kasar untuk mendapatkan kedudukan zuhud didunia.
- Riyak melalui perkataan dengan menzahirkan celaan terhadap ahli dunia dan menzahirkan peringatan dan kesedihan terhadap amal kebaikan dan ketaatan yang terluput daripada dirinya.
- Menzahirkan solat dan sedekah, atau memperelokkan solatnya untuk diperlihatkan kepada manusia.
Beza diantara orang yang munafik dan orang yang riyak ialah, orang yang munafik menzahirkan keimanan serta menyembunyikan kekufuran, manakala orang yang riyak pula ialah mereka yang menzahirkan apa yang tidak ada dalam hatinya supaya manusia menganggap dirinya seorang yang beragama. Para ulama berkata, tidak mengapa untuk memperlihatkan amalan, sekiranya tujuan tersebut untuk supaya dicontohi oleh orang lain, atau untuk menjauhkan diri daripada tohmahan.[7]
Perkara-perkara yang fardu tidak dituntut untuk disembunyikan, kerana perkara yang fardu merupakan lambang dan syi’ar agama, serta meninggalkan perkara yang fardu itu melayakkan seseorang itu mendapat celaan dan dibenci. Begitulah juga wajibnya menghilangkan tohmahan dengan menzahirkan amalan.
Hal ini berbeza dengan amalan yang sunat. Amalan sunat dituntut untuk melakukannya secara sembunyi, kerana ianya merupakan perkara yang tidaklah dicela sekiranya meninggalkannya dan tidak dibenci. Riyak itu ialah apabila seseorang yang menzahirkan amalannya dengan tujuan untuk dilihat oleh manusia dan mendapatkan pujian melalui kebaikan yang dilakukan.[8]
Sabda Nabi -sallallahu’alaihiwasallam- :
” إِنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمُ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ ” قَالُوا: وَمَا الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: ” الرِّيَاءُ، يَقُولُ اللهُ عَزَّ وَجَلَّ لَهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ: إِذَا جُزِيَ النَّاسُ بِأَعْمَالِهِمْ: اذْهَبُوا إِلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا فَانْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً “(أحمد, أحاديث رجال من أصحاب النبي صلى الله عليه وسلم, حديث : 23630, حديث حسن)
Maksudnya : Sesungguhnya apa yang terlebih takut daripada apa yang aku takuti keatasmu ialah syirik kecil. Mereka bertanya : Apa syirik kecil itu wahai Rasulullah? Maka sabdanya (bermaksud) : iaitu riyak. Pada hari kiamat nanti ketika Allah Azza wajalla membalas sekalian hambanya dengan amalan mereka, ia berfirman kepada mereka yang riyak itu: “Pergilah kamu kepada mereka yang kamu perlihatkan amalan kamu kepadanya. Maka lihatlah adakah kamu dapat pada mereka pahala yang jadi balasan segala amalan kamu itu. (HR Ahmad : 23630).
Semoga kita sentiasa berusaha menjauhi sifat riyak dalam setiap amalan kebaikan dan ibadah kita, tidak kira sama ada dalam ibadah yang fardu mahupun sunat, agar segala amal yang dilakukan diterima disisi Allah subhanahuwaTa’ala. Sesungguhnya sesuatu amalan yang dinilai disisi Allah adalah amalan yang ikhlas dan menepati syariat. Abu Sulaiman rahimahullah pernah berkata, apabila seseorang hamba itu berjaya menegakkan keikhlasan dalam dirinya maka terhapuslah daripada banyak was-was dan riyak. Demikian juga kata Makhul rahimahullah : “Keikhlasan seseorang hamba memancarkan hikmah daripada hati dan lidahnya”.[9]
[1] Ihsan Muhammad Dahlan 2009. Siraj al-Tolibin Syarh ‘ala Minhaj al-‘Abidin. Lubnan : Dar al-Kotob al-Ilmiyah. 1/203.
[2] Abdul Somad al-Falimbani. 2014. Terj : Hidayah al-Salikin fi Sulukil Maslaki al-Muttaqin. Kelantan : Kota Bharu. 174.
[3] Abdillah al-Harari. 2017. Mukhtasar Abdillah al-Harari al-Kafilu bi Ilmi al-Din al-Doruri ‘ala Mazhabi al-Imam al-Syafie (Ringkasan Abdillah al-Haroriy Yang Merangkumi Ilmu Agama Yang Dhoruriy Berdasarkan Mazhab al-Imam al-Syafi’e). Beirut : Syarikah Dar al-Masyari’ li al-Tiba’ah wa al-Nasyr wa al-Tauzi’. 99
[4] Ihsan Muhammad Dahlan 2009. Siraj al-Tolibin Syarh ‘ala Minhaj al-‘Abidin. Lubnan : Dar al-Kotob al-Ilmiyah. 1/52
[5] Abdul Somad al-Falimbani. 2014. Terj : Hidayah al-Salikin fi Sulukil Maslaki al-Muttaqin. Kelantan : Kota Bharu. 173.
[6] Ahmad Mustafa al-Maraghi. 1946. Tafsir al-Maraghi. Mesir : Syarikah Maktabah wa Matba’ah al-Bab al-Halabi bi Misr. 30/238.
[7] Nukhbah min Ulama al-Tafsir. Wa Ulum al-Quran. 2010. Tafsir al-Maudhui li Suwar al-Quran al-Karim. UAE : Jami’ah al-Syariqah. 9/385
[8] Ibid.
[9] Zulkifli Mohamad al-Bakri. 2017. Syarah Hadis 40 Imam Nawawi & Tatmim al-Kafi. Nilai : Pustaka Cahaya Kasturi Sdn Bhd. 9