TADABBUR KALAMULLAH : KISAH PEMILIK DUA KEBUN (Siri Akhir)
Kisah pemilik dua kebun ini diceritakan oleh al-Quran dalam Surah al-Kahfi. Kisah ini menceritakan berkenaan dua orang lelaki, yang salah satunya beriman kepada Allah SWT, akan tetapi dia diuji dengan kemiskinan dan kesempitan hidup. Lelaki yang beriman ini walaubagaimanapun, tetap teguh dengan keimanannya tanpa merasa ragu sedikitpun. Di pihak yang lain, ada seorang lelaki yang kufur kepada Allah SWT. Dia diuji dengan diberikan segala kemewahan hidup, mempunyai dua buah kebun yang sangat subur dan diberikan kekuasaan. Akan tetapi, lelaki ini kufur kepada Allah SWT dan bersikap angkuh lagi sombong terhadap rakannya yang hidup miskin.
Pemilik dua kebun yang subur itu diberi peringatan oleh rakannya yang beriman atas keangkuhan dan kekufurannya. Lelaki yang beriman itu mengecam keangkuhan rakannya itu dan menentang pendiriannya yang angkuh. Dia mengingatkan pemilik kebun itu berkenaan asal-usul kejadiannya daripada tanah, serta yang lahir daripada air mani yang hina. Dia turut menasihatkannya agar menunjukkan adab sopan terhadap Allah SWT yang telah mengurniakan nikmat kepadanya. Dia juga turut memberi amaran terhadap akibat daripada kesombongan dan keangkuhan pemilik kebun itu.
Akibat perbuatan pemilik kebun itu, Allah SWT lalu membinasakan segala tanaman serta harta bendanya. Firman Allah SWT:
﴿وَأُحِيطَ بِثَمَرِهِ فَأَصْبَحَ يُقَلِّبُ كَفَّيْهِ عَلَى مَا أَنْفَقَ فِيهَا وَهِيَ خَاوِيَةٌ عَلَى عُرُوشِهَا …﴾ [الكهف: 42]
Maksudnya : «Dan segala tanaman serta harta bendanya itupun dibinasakan, lalu jadilah ia membalik-balikkan kedua tapak tangannya (kerana menyesal) terhadap segala perbelanjaan yang telah dibelanjakannya pada kebun-kebunnya, sedang kebun-kebun itu runtuh junjung-junjung tanamannya; sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!”(42)»
Pemilik dua kebun itu lalu membolak balikkan tangannya tanda penyesalan. Dia mengetahui bahawa apa yang menimpanya adalah disebabkan kesalahan syiriknya dan akibat daripada maksiatnya.[1] Menurut Imam Qatadah seperti yang dinukilkan dalam Tafsir Ibnu Katsir, dia menepukkan kedua telapak tangannya seraya menyesalkan harta kekayaannya yang dibinasakan. Kemudian, firman Allah SWT :
﴿… وَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي لَمْ أُشْرِكْ بِرَبِّي أَحَدًا٤٢ وَلَمْ تَكُنْ لَهُ فِئَةٌ يَنْصُرُونَهُ مِنْ دُونِ اللَّهِ وَمَا كَانَ مُنْتَصِرًا٤٣﴾
Maksudnya : «… sambil dia berkata: “Alangkah baiknya kalau aku tidak sekutukan sesuatupun dengan Tuhanku!(42) Dan ia tidak mendapat sebarang golongan yang boleh menolongnya, selain dari Allah; dan ia pula tidak dapat membela dirinya sendiri(43)»
Ayat ini menggambarkan penyesalan lelaki pemilik dua kebun tersebut. Menurut Tafsir Ibnu Katsir, ayat ini bermaksud lelaki tersebut tidak ada baginya keluarga atau keturunan sebagaimana dahulu dia pernah membanggakan diri kerana mereka. Kemudian dalam penghujung kisah ini, ditonjolkan bahawa hanya Allah sahaja yang memiliki perlindungan dan kekuasaan dan tiada kekuatan sebenar melainkan kekuatan Allah dan tiada pertolongan sebenar melainkan pertolonganNya.
هُنَالِكَ الْوَلَايَةُ لِلَّهِ الْحَقِّ هُوَ خَيْرٌ ثَوَابًا وَخَيْرٌ عُقْبًا٤٤﴾ [الكهف: 32-44]
Maksudnya : «Pada saat yang sedemikian itu kekuasaan memberi pertolongan hanya tertentu bagi Allah, Tuhan yang sebenar-benarnya; Dia lah sebaik-baik pemberi pahala, dan sebaik-baik pemberi kesudahan yang berbahagia (kepada hamba-hambaNya yang taat)(44)»
PENGAJARAN :
- Kisah ini memiliki seruan agar manusia tidak bersikap ‘ujub (bermegah dengan diri) dengan pelbagai nikmat yang dikurniakan Allah SWT kepadanya.
- Cintakan harta dan dunia menyebabkan manusia meragui adanya kehidupan selepas kematian, dan merasakan seolah-oleah dunia ini akan kekal selamanya.
- Dunia ini berubah-ubah dan tiada satu makhluk pun yang kekal hidup diatas muka bumi ini.
[1] Sekumpulan Ulama Tafsir dan Ulum al-Quran. 2010. Al-Tafsir al-Maudhui li Suwar al-Quran al-Karim. Jil.4. UAE : Jami’ah al-Syariqah. 340