CARILAH LAILATULQADAR…
RAMADAN merupakan bulan yang sangat istimewa bagi para Muslim di seluruh dunia. Bagi mereka yang menjalankan amal ibadah dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan, maka Allah SWT akan memberikan balasan baik kepada hamba-hambaNya yang berusaha.
Sedar atau tidak, berbaki hanya beberapa hari sahaja lagi Ramadan yang dinanti-nantikan ini akan meninggalkan kita. Sungguh syahdu untuk berpisah dengan bulan yang sangat mulia. Justeru, digalakkan untuk kita meningkatkan amal ibadah ketika di ambang 10 malam terakhir kerana terdapat satu malam istimewa yang dipanggil malam Lailatul Qadar.
Mengikut nukilan Syeikh Muhammad Abduh, beliau menyebutkan bahawa maksud daripada kata “al-Qadar” itu adalah dengan makna “takdir” kerana pada malam itu, Allah SWT mentakdirkan agamaNya dan menetapkan arahan untuk NabiNya, dalam menyeru umat manusia ke jalan yang benar.
إِنَّآ أَنزَلۡنَٰهُ فِي لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَىٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ مِّنۡ أَلۡفِ شَهۡرٍ
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan.” (Al-Qadar 1-3) .
KELEBIHAN BERIBADAH PADA LAILATUL QADAR
Antara keistimewaan apabila kita beribadah pada malam LailatulQadar, ialah akan diganjarkan dengan pahala yang banyak dan dosa-dosa kecil diampunkan Allah SWT. “Sesiapa yang melakukan qiyam pada lailatul qadar dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran berserta keampunan nescaya akan dihapuskan dosa-dosanya yang terdahulu”, Riwayat al-Bukhari, 1901. Rentetan daripada itu, perkataan “Qiyam” yang dimaksudkan di dalam Hadis ini adalah seperti solat tarawih, bacaan al-Quran, berzikir, berdoa, beri’tikaf, membaca al-Quran, bersedekah, dan pelbagai amalan soleh yang lain.
Selain itu, malam Lailatul Qadar adalah malam yang mana ganjaran amalannya melebihi seribu bulan. Sebagaimana firman Allah SWT, dalam Surah al-Qadr ayat 3, “Malam al-Qadr itu lebih baik daripada seribu bulan”.
AMALAN 10 MALAM TERAKHIR RAMADAN
Pada malam LailatulQadar, malaikat akan turun ke bumi untuk mendoakan dan memberi salam kepada semua orang yang menghidupkan malam itu dengan beribadah kepadaNya. Antara amalan yang boleh dilipatgandakan pada 10 malam terakhir di bulan Ramadan adalah memperbanyakkan memohon keampunan kepada Allah SWT. Sebagaimana Sabda Rasulullah SAW,
“اللَّهُمَّ إنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ العَفْوَ فاعْفُ عَنِّي”
“Wahai Tuhan, Engkau Maha Pengampun, menyukai orang yang meminta keampunan kepadamu, ampunilah aku”, Riwayat At-Tirmizi. Walaupun malam Lailatul Qadar tidak dapat ditentukan secara pasti akan tanggal waktunya, akan tetapi kita dianjurkan untuk membaca doa ini setiap hari selama Ramadan.
Di samping itu, baginda SAW juga akan mengetatkan ikatan di pinggangnyapada 10 malam terakhir. “Adalah Nabi SAW apabila masuknya sepuluh hari terakhir (bulan Ramadan) baginda akan mengetatkan ikatan di pinggangnya, baginda menghidupkan malam harinya, dan baginda membangunkan ahli keluarganya (untuk beribadah)”, Riwayat Ibn Hibban, 3436.
Imam al-Hafiz Ibnu Rajab Rahimahullah berpendapat apabila menjelaskan hadis ini bahawa ia membawa erti baginda SAW bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah dan baginda SAW meninggalkan perbuatan bersama dengan para isteri serta mengasingkan dirinya daripada isteri-isterinya pada sepuluh malam terakhir Ramadan.
Selanjutnya, kita seharusnya sentiasa menghidupkan malam-malam terakhir Ramadan. Sebagaimana sabda baginda SAW, “Sesiapa yang menghadiri solat isyak dan solat subuh (secara berjamaah) pada lailatul qadar maka dia telah mendapatkan ganjaran darinya (beribadah pada malam al-qadr)”, Lathaif al-Ma’arif, 329 dan “Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya pada malam sepuluh akhir Ramadhan melebihi usahanya daripada malam-malam yang lain”, Riwayat Muslim, 2009.
Selain itu juga, Rasulullah SAW sering membangunkan kaum keluarganya untuk beribadah. Terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa baginda SAW mengetuk pintu Saidatina Fatimah R.A dan Ali bin Abi Talib R.A lalu berkata: “Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat?”, Riwayat al-Bukhari.
PENDAPAT ULAMA’ DALAM MENENTUKAN MALAM AL-QADAR
Berdasarkan sabda baginda SAW, “Carilah malam al-Qadar pada sepuluh malam terakhir pada malam yang ganjil”, Riwayat Ahmad, 85. Pendapat yang paling kuat mengikut para ulama bahawa malam al-Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan. Riwayat Muawiyah RA juga mengatakan “Bahawa Nabi SAW telah bersabda, malam al-Qadar berlaku pada malam ke-27”. Pendapat ini turut disokong oleh Ibn Abbas RA yang mengatakan bahawa surah al-Qadr mempunyai 30 perkataan. Perkataan yang ke-27 bagi surah itu adalah dhamir (هِيَ) yang kembalinya iaitu kepada Lailatul Qadar.
RAHSIA MENYEMBUNYIKAN LAILATUL QADAR
Allah SWT menyembunyikan LailatulQadar adalah kerana untuk memberi dorongan kepada umat Muslim agar mencari sendiri dan berusaha bersungguh-sungguh menunaikan ibadah pada setiap hari demi memburu malam Lailatul Qadar yang mulia itu.
Akhir kata, semoga kita memperbanyakkan amalan soleh pada 10 malam terakhir bulan Ramadan dan direzekikan ganjaran beribadah pada malam Lailatul Qadar yang lebih baik daripada seribu bulan.