DIA TIDAK BAIK, KENAPA KITA PERLU BERBUAT BAIK
Sesungguhnya Allah SWT menyuruh setiap mukmin itu untuk berbuat baik kepada orang tuanya. Sungguh, amat berbeza tingkatan orang yang berbuat baik kepada orang tua kerana mengingati jasanya sahaja, dengan orang yang berbuat baik kepada orang tua kerana menurut perintah Allah SWT. Nilai yang lahir kerana perintah Allah SWT itu jauh lebih baik dan berkualiti.
Sekiranya ada anak yang dilahirkan oleh seseorang di dunia ini, dan sejak mula lahir anak itu telah dibuang seperti diberikan kepada mana-mana insan yang lain. Sehinggalah kemudiannya anak itu menjadi dewasa dan mungkin sudah menjadi senang serta mewah, barulah orang tuanya kembali kepadanya kerana menghadapi sesuatu kesusahan lalu meminta bantuan kepadanya. Apakah agaknya si anak itu akan berkata jikalau dasar berbakti kepada orang tua itu adalah hanya kerana mempunyai jasa, “Engkau dahulu buang aku, sekarang sudah susah baru cari aku?”
Namun, dalam agama Islam ianya tidaklah menjadi sehingga sebegitu rupa. Kita tetap perlu berbakti kepada orang tua kita walaupun dia telah membuang kamu sekalipun serta menjaga kamu. Kerana dasar sebenar berbuat baik kepada orang tua yang diajar Rasulullah SAW bukanlah kerana apa jasa mereka kepada kamu, tetapi kerana Allah SWT yang menyuruh kamu berbuat baik kepada orang tua kamu.
Terdapat banyak ayat al-Quran yang menyentuh berkenaan kewajipan anak-anak kepada ibubapa. Firman Allah SWT:
وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا ۚ إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلَاهُمَا فَلَا تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلَا تَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلًا كَرِيمًا
al-Isra’:23
Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan “Ha”, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”
Tambahan pula, seseorang yang sempat bersama atau berbakti kepada kedua ibu bapanya merupakan orang yang sangat bertuah dan beruntung. Ini kerana, Nabi SAW pernah menyatakan orang yang hina adalah orang yang sempat bersama ibu bapanya tetapi kesempatan yang ada itu tidak membolehkan dia untuk dimasukkan ke dalam syurga.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ ثُمَّ رَغِمَ أَنْفُ. قِيلَ مَنْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ: مَنْ أَدْرَكَ أَبَوَيْهِ عِنْدَ الْكِبَرِ أَحَدَهُمَا أَوْ كِلَيْهِمَا فَلَمْ يَدْخُلِ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Kehinaan, kehinaan, kehinaan.” Baginda ditanya: “Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Siapa sahaja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau keduanya namun tidak (menjadikannya sebab) masuk syurga.” [Riwayat Muslim (2551)]
Begitu juga dengan perintah Allah SWT untuk berbuat baik kepada kaum kerabat. Jikalau kaum kerabat itu tidak berbuat baik kepada kita, adakah kita tidak perlu berbuat baik kepada mereka? Tidak. Kita tetap perlu berbuat baik. Ini kerana yang menyuruh kamu berbuat baik kepada kerabat itu adalah Allah SWT, bukannya kerana kerabat itu berbuat baik kepada kamu.
Demikian juga kepada anak-anak yatim, orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat. Berkenaan jiran tetangga, kata Baginda Rasulullah SAW, “Saya diwasiatkan oleh Jibril tentang jiran tetangga sehingga saya menyangka seakan-akan jiran itu akan menerima warisan”. Seringkali Rasulullah SAW diingatkan oleh malaikat Jibril tentang jiran.
Firman Allah SWT:
وَاعْبُدُوا اللَّـهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا
al-Nisa’:36
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua. Dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong dan membangga-banggakan diri.”
Natijahnya, kita dituntut untuk berlaku baik kepada orang lain termasuklah kepada kedua ibu bapa. kaum kerabat, anak yatim, orang miskin dan jiran tetangga kerana tuntutan tersebut datang daripada al-Quran dan juga hadith Nabi SAW. Islam sentiasa mengajar umatnya agar sentiasa bersabar dalam setiap perkara yang menimpa serta berusaha bersungguh-singguh untuk menyelesaikannya dengan sebaik mungkin. Akhirnya, semoga Allah SWT menjadikan kita dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang sentiasa berlaku baik serta memasukkan kita ke dalam syurga di akhirat nanti.