RAMADAN BUKAN SEKADAR ADAT
Sedar atau tidak sebanyak 89 kali Allah mengulang lafaz يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا yang bermaksud “Wahai orang-orang beriman”. Lafaz ini juga yang terdapat dalam surah Al-Baqarah ayat 183. Allah SWT berfirman yang bermaksud “ Wahai orang-orang beriman diwajibkan puasa keatas kamu sepertimana diwajibkan keatas golong terdahulu sebelum kamu agar kamu bertakwa” (Al-Baqarah: 183). Maka dari ayat ini jelas bahawa Allah menyeru sesiapa dalam hatinya masih lagi ada iman kepada Allah SWT untuk melaksanakan ibadah puasa pada bulan Ramadan.
Namun, kita perlu sedar hakikat bahawa tidak semua orang pada hari ini yang melaksanakan ibadah puasa ialah orang yang beriman. Hakikatnya, ada dalam kalangan kita dimana dia berpuasa hanya semata-mata pada dirinya puasa itu sesuatu adat atau budaya yang telah dia lalui dan laksanakan sejak kecil. Dia merasakan bahawa bahawa puasa itu hanya sekadar cukup tidak makan dan minum sahaja kerana itu sahaja yang dia lihat daripada amalan yang dia kategorikan sebagai “Adat atau Budaya”. Sedangkan jelas dalam surah Al-Baqarah ayat 183, Allah menyerus kepada hanya mereka yang beriman kepada Allah sahaja untuk melaksanakan perintah puasa di bulan ramadan. Maka, apabila seseorang itu berpuasa kerana dia beriman kepada arahan Allah, dan dia juga yakin bahawa berpuasa itu merupakan suatu ibadah, maka mereka akan bersungguh-sungguh berpuasa serta memperbanyakan amal ibadah kepada Allah SWT oleh kerana mereka yakin inilah satu medium untuk menjadikan diri mereka makhluk yang bertakwa kepada Allah SWT.
Maka, mari kita sama-sama renungkan, sudah hampir 10 hari kita berpuasa di bulan ramadan pada tahun ini. Adakah kita tergolong dalam golongan orang yang berpuasa hanya kerana adat atau budaya semata atau sebaliknya kita melaksanakan ibadah puasa ini kerana kita yakin dan beriman dengan setiap apa yang diperintahkan oleh Allah SWT. Amal ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT sama sekali tidak sama seperti adat dan budaya kerana adat dan budaya ini adalah satu amalan yang kita lakukan tanpa kita perlu fikir kenapa perlu kita lakukan perkara tersebut. Berbeza dengan ibadah kerana setiap ibadah yang diperintahkan oleh Allah SWT kita perlu fikir apa hikmah disebaliknya. Apa yang pasti setiap amal ibadah yang dilakukan, tidak lain dan tidak bukan hanya untuk mendapat rahmat dan keredaan daripada Allah SWT. Mudah-mudahan, kita mampu menjadikan bulan ramadan ini sebagai bulan untuk kita memperbanyakan amalan agar kita dapat mengumpul seberapa banyak bekalan pahala untuk bertemu dihadapan Allah SWT kelak.