SIAPA YANG PERTAMA?
Solat merupakan tiang agama bagi seluruh umat Islam di seluruh dunia tidak kira usia,pangkat,harta dan kedudukan. Tuntutan ini telah lama diterapkan di dalam kehidupan seharian kita malahan di dalam Al-Quran juga Allah menyebutkan kewajipan dan azab bagi sesiapa yang meninggalkan kewajipan ini dengan sengaja.
Jadi mungkin terbit persoalan di dalam diri kita, siapakah orang-orang yang pertama melaksanakan setiap solat fardu ini?
ORANG PERTAMA MENUNAIKAN SOLAT SUBUH
Manusia pertama yang mengerjakan solat Subuh adalah Nabi Adam A.S iaitu ketika baginda dikeluarkan daripada syurga lalu diturunkan ke bumi.
Nabi Adam dikeluarkan dari syurga atas kesalahan baginda memakan buah khuldi yang dilarang oleh Allah SWT. Semasa diturunkan ke bumi, yang pertama dilihat oleh Nabi Adam ialah kegelapan. Baginda merasa terlalu takut. Namun, apabila fajar menjelang persekitaran mulai terang dan Nabi Adam berasa syukur apabila hari mulai cerah lalu Nabi Adam melanjutkan rasa syukur itu dengan solat 2 rakaat.
- Rakaat pertama: Tanda bersyukur kerana baginda terlepas dari kegelapan malam.
- Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana siang telah menjelma.
ORANG PERTAMA MENUNAIKAN SOLAT ZUHUR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Zuhur adalah Nabi Ibrahim A.S, iaitu ketika Allah SWT memerintahkan baginda agar menyembelih anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail A.S sebagai melepaskan nazar baginda.
Seruan itu, datang ketika waktu tergelincirnya matahari yakni bertepatan dengan waktu Zuhur. Lalu Allah menggantikan kibas bagi menggantikan perintah asal iaitu mengorbankan anak baginda sendiri. Oleh hal itu, Nabi Ibrahim bersujud sebanyak 4 rakaat.
- Rakaat pertama: Tanda bersyukur bagi penebusan.
- Rakaat kedua: Tanda bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
- Rakaat ketiga: Tanda bersyukur dan memohon akan keredhaan Allah SWT.
- Rakaat keempat: Tanda bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibash
ORANG PERTAMA MENUNAIKAN SOLAT ASAR
Manusia pertama yang mengerjakan solat Asar adalah Nabi Yunus A.S iaitu ketika baginda dikeluarkan dari perut ikan Nun.
Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai dimana ketika ini telah masuk waktu Asar. Sebagai tanda syukur dilepaskan dari perut ikan Nun, Nabi Yunus menunaikan solat 4 rakaat sebagai tanda bersyukur kepada Allah dilepaskan dari 4 kegelapan. Kegelapan pertaman ialah dari kegelapan kesilapan yang dilakukan oleh Nabi Yunus.
Kegelapan kedua ialah kegelapan di bawah laut. Seterusnya, kegelapan malam dan yang terakhir ialah kegelapan di dalam perut ikan Nun.
ORANG PERTAMA MENUNAIKAN SOLAT MAGHRIB
Manusia pertama yang mengerjakan solat Maghrib adalah Nabi Isa A.S iaitu ketika baginda dikeluarkan oleh Allah SWT dari kejahilan dan kebodohan kaumnya di mana ketika itu sedang terbenamnya matahari yakni masuknya waktu maghrib.Bersyukur Nabi Isa, lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut iaitu:
- Rakaat pertama: Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
- Rakaat kedua: Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
- Rakaat ketiga: Untuk menyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah SWT semata-mata, tiada dua atau tiganya
ORANG PERTAMA MENUNAIKAN SOLAT ISYAK
Solat Isyak Waktunya dimulai setelah hilangnya mega merah sampai terbitnya fajar shadiq. Manusia pertama yang mengerjakan solat Isyak ialah Nabi Musa a.s.. Pada ketika itu, Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah SWT menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
- Rakaat pertama: Tanda dukacita terhadap isterinya.
- Rakaat kedua: Tanda dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
- Rakaat ketiga: Tanda dukacita terhadap Firaun.
- Rakaat keempat: Tanda dukacita terhadap anak Firaun
Kesimpulannya, solat itu mempunyai rahsia yang tersendiri yang kesannya boleh dirasai jika seseorang itu melakukannya dengan penuh ikhlas dan semata-mata kerana Allah dalam mencari keredhaan dari Nya. Solat juga dapat membentuk jati diri kita ke arah peribadi yang lebih mulia, menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat serta membentuk diri menjadi seorang yang lebih ikhlas dalam melakukan ibadah. Mulai saat ini, marilah kita memperbaiki solat kita ke arah yang lebih baik agar segala amalan kita diredhai oleh Allah SWT. Amin
Tag:ibadah, solat, ustazustazahcom