Siri Kembara Mencari Pencipta Siri 1
Hilang Untuk Healing
Tanggal 30 Januari 2019, detik saya bertekad keluar dari zon selesa dan memutuskan untuk menziarahi rakan-rakan maahad yang berjuang menuntut ilmu di Afrika Utara iaitu bumi Maghribi selama 2 minggu.Tujuan asal saya ke sana untuk menaikkan semangat belajar yang mulai luntur dan pudar. Malah saya pernah terfikir dan berhasrat untuk menghentikan sahaja pengajian ijazah. Jadi saya beranggapan kembara ke negeri Ibnu Batutah ini mungkin menyuntik semangat kembali untuk berjihad dalam mencari ilmu. Idea ini tercetus setelah berbual santai bercerita isi hati bersama seorang senior yang cukup saya segani iaitu abang Izzat Ibrahim.
Beliau yang merupakan bekas Ketua Pelajar Perlis Mesir mencadangkan kepada saya untuk memulakan langkah lebih jauh dan tidak pegun di satu tempat. Selain itu, tambahnya ni juga peluang besar pada saya untuk mencari ibrah-ibrah serta belajar sesuatu sebagai sebuah pengalaman yang tiada galang gantinya. Saya teringat firman Allah di dalam surah al-Ankabut:-
قُلْ سِيرُوا فِي الْأَرْضِ فَانظُرُوا كَيْفَ بَدَأَ الْخَلْقَ ۚ ثُمَّ اللَّهُ يُنشِئُ النَّشْأَةَ الْآخِرَةَ ۚ إِنَّ اللَّهَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Katakanlah: “Mengembaralah kamu di muka bumi, serta lihatlah bagaimana Allah telah memulakan ciptaan makhluk-makhluk dari asal jadinya; kemudian Allah akan memulakan ciptaan itu semula (pada hari akhirat) dalam bentuk kejadian yang baharu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Surah al-Ankabut ayat: 20)
CHEFCHAOUEN, BANDAR PERMATA BIRU (جوهرة الزرقاء)
“SubhanAllah indahnya kota ini”. Ayat spontan yang terpacul daripada mulut aku sebaik tibanya Chefchaouen, sebuah kota yang terletak di pergunungan Rif di Maghribi. Keunikan struktur seni bina yang berwarna biru seolah-olah sebuah lukisan realiti yang dihamparkan di depan mata. Sangat berbeza sekali dengan permandangan kebiasaan aku di bumi Mesir yang kebanyakkan bangunan dan bandar yang majoritinya berwarna coklat tanah.
Aku tidak melepaskan peluang untuk mengambil foto di setiap sudut sebagai kenang-kenangan. Kecantikan dan keunikan setiap sisi kota ini mempunyai keajaiban yang tersendiri sehinggakan setiap foto-foto yang diambil tidak perlu disunting.
Aku juga turut mencuba segelas minuman yang masyhur di sini dipanggil za’za’. Za’za adalah campuran buah avokado yang dikisar dan dicampur aiskrim,madu dan coklat untuk dijadikan jus. Minuman tersebut sangat sesuai untuk membasahkan tekak ketika dahaga dan harganya sangat berbaloi sekitar 10 Maghribi Dirham sahaja (RM 5).
Aku meneruskan perjalananku dengan mendaki bukit Raas Ma’ (kepala air) untuk melihat keindahan kota ini dari atas. Bukit yang setinggi 500 meter ini membolehkan aku menjamu mata melihat bandar biru ini dengan lebih jelas. Terdapat juga sebuah Iglesia atau gereja lama di atas bukit ini. Ketenangan menyelinap ke dalam hatiku sebaik melihat pemandangan kota yang cantik ini. Penduduk kota ini rata-ratanya merupakan orang kampung dan tidak menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi namun mereka berjaya mengekalkan identiti kota ini dan menghargainya supaya sentiasa menjadi satu tarikan kepada pengunjung dan pelancong luar.
SEJARAH RINGKAS BANDAR CHEFCHAOUEN
Chefchaouen merupakan gabungan dua perkataan iaitu ‘Chef’ diantara, ‘chaouen’ dua tanduk. Terletak di antara dua pergunungan yang menyerupai dua tanduk. Bandar ini diasaskan pada 1471 oleh Moulay Ali ibn Rashid al-Alami, keturunan Abd as-Salam al-Alami dan Idris I, yang dikatakan dari susur galur keturunan Nabi Muhammad SAW, sebagai kasbah (kubu) kecil untuk melawan pencerobohan Portugis utara Maghribi.
Persoalannya yang tercetus ialah kenapa bandar ini berwarna biru? Menurut sejarah pada tahun 1492, orang-orang Yahudi telah diusir dari Sepanyol dan melarikan diri ke bandar ini dan mewarnakan rumah-rumah mereka dengan warna biru. Sekarang mereka telah berhijrah ke Israel. Selain itu, menurut penduduk setempat pemilihan warna biru juga dikaitkan dengan pantulan dari warna langit Maghribi yang jarang memiliki awan. Langit yang berwarna biru yang merupakan simbol dari kehidupan spiritual bangsa Arab Maghribi.
Benarlah kata pepatah Melayu “jauh perjalanan luas permandangan”. Apa yang menarik minat aku selama berada di sini ialah sikap kebersamaan warga tempatan untuk mendedahkan bandar mereka kepada seantero dunia. Usaha masyarakat kota ini dalam mencari identiti sendiri dengan mewarnakan setiap sudut bangunan dengan berwarna biru telah berjaya mempromosikan bandar ini ke seluruh dunia. Mereka tahu bagi mendapatkan bantuan kerajaan agak mustahil. Oleh itu, mereka usahakan sesama sendiri dan kesannya dapat kita lihat sekarang.
“Our uniqeness are our magic”. Magis kami adalah pada keunikan. Inilah frasa yang selalu diulang-ulang penduduk setempat di bandar ini. Perjalanan singkat ini mengajarkan aku bahawa dalam menginginkan sesuatu kita perlu menjadi sesuatu yang berbeza dan tiada pada orang lain. Dalam pada itu, sikap kebersamaan ini boleh diterapkan dalam pembangunan pelancongan di negara kita juga. Ini kerana dengan segala pembangunan yang pesat dan hebat di Malaysia, mungkin ramai yang masih belum sedar harga sebenar yang ada pada negara kita. Kita mempunyai pulau-pulau tercantik di dunia. Tempat-tempat warisan sejarah diseluruh negara seperti Taman Negara, Borneo, Penang, Langkawi, Terengganu dan banyak lagi. Dan kita sebagai rakyat Malaysia perlulah memainkan peranan dengan menggiatkan lagi usaha untuk mempromosikan negara kita dan insyaAllah satu hari Malaysia dipandang di mata dunia.