JANGAN TINGGAL SAHUR!
Menurut kamus dewan bahasa dan pustaka, sahur bererti makan selepas waktu tengah malam sebelum terbit fajar dalam bulan Ramadan dan juga dalam bulan yang lain bagi orang yang hendak berpuasa. Sebagaimana sabda Baginda SAW, “Bersahurlah kamu semua, sesungguhnya pada sahur itu terdapat keberkatan”, Riwayat al-Bukhari (1923).
Seperti yang sedia maklum, waktu sahur bermula daripada akhir malam sebelum waktu subuh sehingga terbit fajar al-sadiq. Sunnah untuk kita sebagai Muslim untuk melewatkan waktu sahur sehingga hampir kepada waktu subuh sebagaimana sabda baginda SAW, “Kami telah bersahur bersama Rasulullah SAW kemudian kami bangun untuk mendirikan solat, aku telah bertanya, berapa jarak antara keduanya? Maka baginda SAW bersabda: 50 ayat”, Riwayat Muslim (1097).
Rentetan daripada itu, Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith ini dengan menyebut “Maknanya, jarak antara kedua waktu tersebut adalah kadar bacaan 50 ayat al-Quran serta padanya galakan untuk melewatkan sahur sehingga sebelum waktu fajar”.
Terdapat banyak hadith yang menggalakkan perbuatan bersahur ini. Hal ini demikian kerana hukumnya adalah sunat muakkad yang sangat dituntut berdasarkan nas-nas yang menggalakkannya. Selain itu juga, dengan bersahur dapat membezakan antara puasa seorang Muslim dengan puasa seorang ahli kitab. “Perbezaan antara bagi puasa kita dan puasa ahli kitab adalah dengan makan sahur, Riwayat Muslim (1096).
Sudah terang lagi bersuluh, seseorang Muslim tidak seharusnya meninggalkan perbuatan bersahur walaupun sahurnya itu dengan segelas air, atau hanya dengan sebiji tamar. Namun demikian, sahur yang paling afdhal adalah sahur dengan tamar sebagaimana sabda baginda SAW, “Sebaik-baik sahur orang mukmin adalah dengan buah tamar”, Riwayat Abu Dawud (2345).
Pasti kita tertanya-tanya di manakah terletaknya keberkatan dalam bersahur itu? Menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani berkat pada sahur itu terletaknya dalam sudut yang pelbagai. Tamsilnya, bersahur adalah sunnah, kerana mengambil berkat mengikut perbuatan baginda SAW, dan pastinya akan memperoleh pahala serta ganjaran dariNya.
Umum mengetahui, dengan bersahur juga mampu menguatkan tenaga untuk melakukan ibadah puasa, serta menambahkan semangat untuk berpuasa. Melalui bersahur, ianya mampu menahan diri seseorang daripada melakukan perbuatan yang tidak baik lantaran terlalu lapar, dan penyebab memberi sedekah kepada yang meminta.
Selanjutnya, jelas kelebihan bersahur dapat melatih seseorang untuk mengerjakan solat sunat tahajud atau solat sunat yang lainnya. Kesempatan untuk bangun sebelum waktu Subuh di luar Ramadan adalah jarang berlaku. Maka, dengan bersahur, kita dapat menggunakan waktu yang singkat itu dengan seefektif yang mungkin dengan mengerjakan sekurang-kurangnya dua rakaat solat sunat Tahajud.
Tuntasnya, perbuatan meninggalkan sahur tanpa uzur syar’ie yang disebabkan oleh sikap tidak baik seperti malas untuk bangun pada awal pagi wajarlah dijauhi. Hal ini demikian kerana perbuatan tersebut merugikan diri orang yang berpuasa itu sendiri, seperti lemah tubuh badan, dan hilang semangat ketika berpuasa.
Akhir kata, kita digalakkan mengamalkan sahur adalah kerana kita menyayangi sunnah Nabi Muhammad SAW dan ingin mencapai puasa yang terbaik. Maka, selamat bersahur, dan jangan tinggal sahur walaupun hanya sebiji kurma dan segelas air.