PUASA YANG SIA-SIA
Kita sebagai manusia pastinya tidak terlepas daripada melakukan sebarang kesilapan dan dosa-dosa. Namun, pengampunan Allah SWT melebihi segala dosa yang telah dilakukan hambaNya sekiranya kita benar-benar dan bersungguh-sungguh dalam bertaubat kepadaNya. “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya Allah SWT menerima taubatnya”, Riwayat al-Bukhari (2661). Maka, yakinlah dengan janji Allah SWT yang pasti akan menerima taubat hamba-hambaNya.
Bulan Ramadan merupakan bulan yang terbaik bagi seseorang hamba yang mahu mentarbiah dirinya dan melipat gandakan amalan soleh kerana pada Bulan Ramadan terdapat banyak faktor yang menyebabkan seseorang itu dapat mendidik jiwa nuraninya untuk melakukan seribu satu kebaikan.
Namun alangkah sedihnya, terdapat mereka yang cukup rugi apabila masuk dalam bulan Ramadan, kerana golongan ini hanya mendapat lapar dan dahaga sahaja tetapi puasanya hanyalah sia-sia serta tergolong dalam golongan orang yang tidak diampunkan Allah SWT.
Antara golongan yang berkemungkinan puasanya adalah sia-sia ialah golongan yang sombong dan tidak menghormati bulan Ramadan. Hal ini demikian kerana, mengagungkan syiar Islam merupakan salah satu sifat ketakwaan bagi orang Mukmin. “Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syiar-syiar Allah, maka sesungguhnya hal itu timbul dari ketakwaan hati”, Surah Al-Hajj, 32. Namun, malang sekali ada dalam kalangan kita yang tidak menghormati bulan yang penuh kemuliaan ini dengan mengingkari kewajiban ibadah seperti tidak berpuasa atas alasan-alasan yang didasari semata hanya nafsu.
Selain itu, sebab lain yang membuatkan puasa seseorang itu menjadi sia-sia adalah kerana tidak meninggalkan perkataan dan perbuatan yang keji atau dusta. “Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan keji (dusta) serta mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat orang itu meninggalkan makan dan minumnya”, Riwayat al-Bukhari, 1770. Maka, seharusnya kita berusaha bersungguh-sungguh untuk tidak sesekali mengumpat dan berkata dusta kepada sesama manusia.
Selanjutnya, perbuatan tidak meninggalkan perkataan yang melalaikan dan lucah adalah punca puasa seseorang tidak diterima ibadah puasanya. Sabda baginda SAW, “Puasa bukanlah hanya menahan diri dari makan dan minum sahaja, akan tetapi puasa adalah dengan menahan diri daripada perkataan yang melalaikan dan lucah” Al-Targhib wa al-Tarhib, 2/154. Oleh yang demikian, seharusnya kita tidak melihat, tidak bercakap dan tidak melakukan perkara-perkara yang menyebabkan pahala puasa itu akan berkurang.
Tuntasnya, kita seharusnya memanfaatkan sebaik mungkin Bulan Ramadan yang sedang dijalani ini. “Apabila masuk Ramadan, dibukakan pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan” (Muttafaq ‘alaih). Hal ini demikian kerana dalam bulan Ramadan, orang akan lebih sibuk mengerjakan kebaikan daripada mengerjakan maksiat yang membolehkan mereka masuk ke dalam syurga melalui pintunya. Keadaan pintu neraka yang tertutup dan syaitan yang terbelenggu pula membolehkan seseorang lebih mudah menjauhkan diri daripada mengerjakan maksiat.
Maka, rebutlah peluang yang berbaki di 10 malam terakhir ini agar kita tidak tergolong dalam golongan orang yang rugi yang hanya berlapar makan dan minum sahaja namun puasanya sia-sia. Semoga Ramadan tahun ini menjadi Ramadan yang terbaik dalam kehidupan kita sebagai hambaNya.